HUJUNG
minggu begini, Danisha hanya berehat di rumah sahaja. Tidak ada
keinginan untuk berjalan-jalan mahu pun pergi membeli-belah. Panggung wayang
pun sudah lama dia tidak jejak.
Sedang
dia asyik menonton televisyen, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi minta diangkat.
Di skrin tertera nama sahabatnya, Nina. “Assalamualaikum…” ucapnya sambil
bangun menuju ke balkoni.
“Helo
Nisha, kau boleh tolong aku tak?” Terus sahaja Nina bertanya. Dia merupakan
sahabat Danisha sejak belajar di kolej lagi. Walaupun jarang bertemu, mereka
selalu juga saling bertanya khabar dan bercerita.
“Hmm…
Tolong apa?” tanya Danisha perlahan. Dia amat berharap janganlah si Nina ini
hendak pinjam duit tengah-tengah bulan begini.
“Kau
tahu kan, aku pernah cakap nak ambil anak angkat?” Nina cuba mengingatkannya.
“Tahu,
tapi kenapa kau tanya?”
“Sebenarnya
aku dah janji dengan mak cik tu nak ambil hari ni,” beritahu Nina.
“Okey…
Kau nak aku temankan ke?”
“Taklah,”
jawab Nina sepatah.
“Habis
tu?” Danisha sudah mengerut kening. Kawan yang seorang ni selalu sahaja ada
masalah.
“Aku
tak jadi nak ambil budak tu. Tiba-tiba suami aku tak bagi pulak,” terang Nina
dengan nada kecewa.
“La…
Habis tu apa masalahnya?”
“Aku
nak minta tolong kau pergi ke rumah mak cik tu,” suruh Nina.
“Buat
apa?” Pantas sahaja Danisha bertanya.
“Aku
sebenarnya nak kau beritahu dia, yang aku tak jadi ambil budak tu.”
Terkulat-kulat Nina menyatakan permintaannya.
“Tak
naklah aku!” Cepat sahaja Danisha menolak.
“Kau
tolonglah aku…” Bersungguh Nina merayu kepada sahabatnya.
“Kau
telefon ajelah kalau dah macam tu,” Danisha memberi cadangannya.
“Aku
tak sampai hati nak beritahu mak cik tu,” balas Nina pula.
“Habis
tu, aku sampai hatilah?” Tiba-tiba Danisha rasa geram pula dengan si Nina ini.
“Kau
kan brutal sikit, mesti kau tak rasa apa-apa,” pujuk Nina dan mengharapkan
Danisha akan setuju.
“Brutal-brutal
aku, aku pun ada hati dan perasaan jugak!” tingkah Danisha, geram.
Sekeras-keras hatinya, ada juga lembutnya. Walaupun kadang kala dia bercakap
ikut sedap mulut, namun tidak bermakna dia mudah berbicara apabila tiba bab
begini.
“Tolonglah…
Nisha, hanya kau saja harapan aku,” rayu Nina lagi.
“Kau
ni kan, asyik nak susahkan aku saja,” sungutnya.
“Kali
ini aje. Tolonglah…”
“Yalah,
yalah!” Sudahnya Danisha setuju juga.
“Terima
kasih banyak-banyak. Nanti sepupu aku, si Azida akan temankan kau. Dia tahu
rumah mak cik tu,” ucap Nina dengan perasaan lega.
“Pukul
berapa dia nak ambil aku?” Terpaksa jugalah Danisha bertanya.
“Lagi
setengah jam dia datang ambil kau,” beritahu Nina. Tiba-tiba suaranya berubah
ceria dalam sekelip mata.
“Kalau
macam tu, aku tunggu dia dekat pondok pengawal sajalah.”
“Terima
kasih sekali lagi Nisha,” ucap Nina.
“Hmm…”
balas Danisha. Tanpa membuang masa dia terus bersiap. Dia pun kena cepat juga
kerana terpaksa menapak untuk pergi ke pondok pengawal apartmen yang dia
duduki.
*****
TIDAK
lama menunggu di pondok pengawal, sepupu Nina tiba sebagaimana yang dijanjikan.
Danisha melangkah longlai menuju ke keretanya.
“Apa
jugalah kakak sepupu awak tu?” tanya Danisha sebaik masuk ke dalam kereta.
“Nak
cakap pun buat sakit hati saja,” jawab Azida tetapi tetap melemparkan senyuman
kepada Danisha. Dia juga sudah jadi kawan Danisha walaupun tidaklah serapat
Nina.
“Rumah
mak cik tu dekat mana? tanya Danisha walau sebenarnya bukanlah dia hendak tahu
sangat.
“Dekat
Olak Lempit,” jawab Azida.
“Olak
Lempit? Dekat ceruk mana tu?” tanyanya sedikit pelik.
“Akak
tak pernah dengar ke? Atas sikit daripada Dengkil,” beritahu Azida. Terasa lucu
pula ketika Danisha menyebut nama tempat itu.
“Akak
nama saja dah bertahun duduk sini, tapi asyik terperuk di rumah saja.”
“Hmm...
sempat jugalah sejam lebih buat tahi mata kalau akak nak tidur,” tutur Azida
sambil tersenyum.
“Akak
memang mudah terlena kalau jadi penumpang ni. Nasiblah kalau akak tertidur dan
kau tak ada teman berbual,” beritahu Danisha jujur.
“Saya
tak kisah, lagipun saya dah biasa memandu tanpa berteman,” balas Azida pula.
Dalam
perjalanan, tiada banyak perkara yang dibualkan antara mereka. Begitu pun
kepala Danisha ligat berfikir bagaimana hendak menghadapi mak cik itu. Dalam
dia memikirkan ayat yang paling sesuai untuk disampaikan, tak sangka tidak
berapa lama kemudian dia terus terlelap.
*****
“KAK,
tak lama lagi dah nak sampai,” Azida mengejutkan Danisha apabila telah memasuki
kawasan kampung.
“Hmm…”
Perlahan-lahan Danisha menggosok matanya kemudian memandang sekeliling.
“Sekarang
ni kita dah nak dekat dengan rumah mak cik tu. Akak dah sedia nak jumpa dia
ke?” tanya Azida, sedikit ragu-ragu.
“Sebelum
sampai ke rumah mak cik tu, kita berhenti dekat mana-mana,” suruh Danisha.
“Kenapa
kak?” tanya Azida dan terus memberhentikan kereta di bahu jalan.
“Entahlah,
akak rasa lainlah. Takut pun ada jugak,” beritahunya.
“Tulah,
saya pun sama,” balas Azida.
“Macam
mana kalau mak cik tu marah bila dapat tahu Nina tak jadi ambil budak tu?”
tanya Danisha. Dia betul-betul rasa tak sedap hati.
“Tawakal
sajalah, kak. Kita bukan boleh buat apa pun kalau dia marah.”
“Azida
pernah berjumpa ke dengan mak cik tu?” tanya Danisha ingin tahu.
“Tak,
tapi dua minggu lepas memang ada datang sini dengan Kak Nina. Saja cari alamat
rumah mak cik tu, tapi tak singgahlah,” terang Azida. Kini dia memerhati rumah
mak cik itu yang tidak berapa jauh dari tempat mereka berhenti.
“Kita
nak cakap apa nanti, ya? Takkan nak terus cakap Nina tak jadi ambil budak tu?”
tanya Danisha pula.
“Saya
serahkan kepada akak, saya memang temankan akak aje.” Azida memang angkat
tangan kalau bab-bab begini.
“Jomlah
kita pergi sekarang. Lambat nanti, lewat pulak kita balik,” cadang Danisha.
Mahu tidak mahu dia kena juga berhadapan dengan mak cik itu.
Sampai
di hadapan rumah bercat kuning, Azida memberhentikan keretanya. Dengan perasaan
yang berdebar-debar, mereka berdua menyusun langkah.
“Assalamualaikum…”
Danisha memberi salam. Dua
tiga kali juga dia memberi salam, barulah pintu dibuka.
“Waalaikumussalam,”
jawab tuan rumah kemudian membuka pintu.
Danisha
dan Azida segera bersalaman dengan mak cik itu. Pada pandangan mata Danisha,
mak cik itu nampak serius sahaja air mukanya.
“Ya,
ada apa?” tanya mak cik yang agak berumur juga.
“Kami
datang pasal nak ambil angkat tu…” Danisha memulakan bicara.
“Ha,
tunggu sekejap,” potong mak cik itu dan terus berlalu tanpa mempelawa mereka
masuk ke dalam rumah.
Danisha
dan Azida terpaksa menunggu di luar rumah. Dalam kepala dia masih berkira-kira
bagaimana hendak menyusun ayat.
“Awak
ke yang nak ambil anak tu? Nah, ni budaknya,” ujar mak cik itu dan terus
serahkan budak perempuan berusia dalam lingkungan 3 tahun lebih ke tangan
Danisha.
Danisha
terpempan seketika. Ayat yang sudah disusun untuk dituturkan sudah hilang.
Melihat wajah comel budak itu buat dia terkedu.
Mata
budak perempuan itu tidak berkelip-kelip memandang Danisha. Tiba-tiba sahaja dia
tidak sampai hati hendak memberitahu perkara sebenar kepada mak cik itu. Apatah
lagi budak itu memandangnya dengan satu pandangan yang sukar untuk
dimengertikan. Seperti dia berkata, tolong bawa saya dari sini. Walau
sebenarnya tiada sepatah kata yang keluar dari mulutnya!
Tiba-tiba
mereka dikejutkan dengan kehadiran seorang budak lelaki pula.
“Jangan
ambil adik saya, jangan ambil…” rayunya sambil menangis teresak-esak.
Danisha
dan Azida saling berpandangan. Masing-masing masih tidak mampu hendak bersuara
dengan situasi yang dialami.
“Eh,
kau ni dah kenapa pulak?” tanya mak cik itu kepada si kecil.
“Acik,
saya nak ikut, saya nak ikut,” jerit budak lelaki itu sambil tarik baju
Danisha.
‘Ah
sudah!’ Danisha sudah serba salah. Dia datang untuk beritahu yang Nina tidak
jadi ambil budak itu. ‘Mampus aku kalau macam ni,’ desisnya.
“Susah-susah
awak ambil sekalilah si abang ni,” ujar mak cik itu pula.
Danisha
sudah tidak terkata. Melihat wajah kedua-duanya memang mengundang rasa kasihan.
Entah kenapa tiba-tiba dia rasa tersentuh sangat melihat kedua beradik ini. Mak
cik tadi sudah masuk semula ke dalam rumah. Tidak berapa lama kemudian dia keluar.
“Nah!
Ambil mykid bebudak ni. Dalam beg ni ada baju bebudak tu. Apa yang tak ada,
pandailah awak beli nanti.”
Azida
sudah pening. Dia berasa pelik apabila Danisha menerima sahaja pemberian mak
cik itu. Apa sudah jadi? Dia hendak menegur Danisha tetapi tidak tercakap.
“Selepas
ni jangan cari mak cik lagi. Acik tolong serahkan budak ni aje. Apa-apa hal,
pandailah kamu uruskan sendiri,” pesan mak cik itu dan terus menutup pintu.
Tidak sempat Danisha hendak berkata apa-apa.
“Akak,
apa cerita ni?” Terus sahaja Azida bertanya.
“Entahlah!
Akak pun tengah blur ni,” beritahu Danisha. Dia pun tidak tahu bagaimana dia
boleh diam saja dan tak bercakap apa-apa langsung.
“Habis
tu, nak buat apa sekarang ni? Siapa yang nak jaga bebudak ni?” soal Azida lagi.
“Nak
buat macam mana lagi? Terpaksalah akak jaga,” jawabnya sambil merenung wajah
bebudak itu.
“Biar
betul kak?” Azida bagai tidak percaya.
“Entahlah,
tiba-tiba rasa kasihan pulak. Jomlah kita cepat balik. Nanti akak fikir macam
mana,” ujarnya sambil memegang tangan si abang dan si adik.
Mahu
tidak mahu, Azida terpaksa membawa beg yang diberikan menuju ke kereta.
No comments :
Post a Comment