DANISHA
terduduk di tempatnya. Kepalanya juga sudah pening. Dia kena hadiri seminar
selama tiga hari di Port Dickson, tidak boleh tidak. Itu arahan Datuk Khalil
untuk semua staf di jabatannya. Sakit kepalanya memikirkan Aiman dan Aishah
yang terpaksa ditinggalkan.
Siapa
yang hendak tolong hantar Aiman ke sekolah? Dia sudahlah tidak boleh bercuti
langsung. Aishah memang boleh ditinggalkan di taska. Tapi, pada waktu malam,
siapa pulak yang kena menjaga mereka?
Sudahnya
terpaksa juga Danisha beritahu keluarganya pasal dia telah mengambil anak
angkat. Tak tahulah dia apa reaksi ayahnya apabila dia beritahu kelak.
Ayahnya
bukanlah seorang yang garang, malah dia juga manja dengan ayahnya. Namun, kalau
ada benda penting yang dirahsiakan, memang membuat ayahnya marah.
Dulu,
sewaktu dia memberitahu yang dia telah membeli apartmen, ayahnya memang marah
dan tidak berpuas hati. Sebenarnya ayahnya mahu Danisha membeli rumah di negeri
Johor sahaja, agar tinggal berhampiran dengan keluarga.
Tapi,
apabila Danisha pujuk dan ayahnya datang bertandang, hati orang tua itu sejuk
juga. Tiba-tiba ayahnya turut jatuh cinta dengan pemandangan sekitar apartmen
Danisha. Kawasan sekeliling tidak sesak dan sibuk, malah tahap keselamatan juga
terjamin.
“Kau
ni dah kenapa? Macam kucing nak beranak aje?” tanya Rani yang memang hendak
bersembang dengannya.
“Apa
lagi? Pasal anak-anak akulah!” jawabnya.
“Anak-anak
kau tu, kan baik aje?”
“Dia
orang okey, ni pasal seminar di Port Dickson. Petang Selasa dah kena mendaftar
pulak tu,” keluhnya.
“La…
suruhlah umi dan ayah kau datang tolong tengokkan mereka. Itu pun susah ke?”
“Masalahnya,
dia orang tak tahu pasal anak-anak tu,” beritahunya.
“Ya
ampun! Selama ini umi dan ayah kau memang tak tahulah kau bela anak angkat?”
tanya Rani. Matanya sedikit membulat kerana terkejut dengan penjelasan
sahabatnya.
“Eh!
Janganlah janganlah cakap kuat-kuat. Nanti satu ofis pulak bergosip pasal aku.”
Mata Danisha sudah pandang sekeliling. Selain Rani, hanya Iman dan Sofi sahaja
yang tahu pasal Aiman dan Aishah.
“Dah
berapa lama kau tak balik kampung?” tanya Rani lagi.
“Sebenaranya
aku tak pernah balik kampung sejak jaga bebudak tu,” beritahunya.
“Maknanya
dah nak masuk 3 bulan kau tak balik kampung? Bertuah punya anak!” Rani sudah
menggeleng. Mati-mati dia ingat keluarga Danisha sudah tahu pasal hal ini. Dia
juga kenal dan rapat dengan uminya. Sebelum berkahwin, dia juga selalu mengikut
Danisha balik ke kampungnya di Batu Pahat.
“Tapi
aku selalu telefon umi aku.”
“Habis
tu, kenapa tak cakap langsung?” soal Rani. Tidak sangka sungguh dia yang
Danisha sanggup rahsiakan perkara penting begini.
“Tak
tercakap, takut ayah aku marah.”
“Kalau
aku pun marah, tau tak? Dahlah tak tahu asal-usul mereka. Silap hari bulan, kau
dituduh menculik anak orang pulak!” ujar Rani sedikit beremosi.
“Kau
janganlah takutkan aku. Aku ada mykid bebudak tu, tau.”
“Setakat
mykid aje, apalah maklumat lengkap yang ada padanya?” soal Rani pula.
“Nama
lengkap anak dengan bin dan binti sekali. Tarikh lahir pun ada,” beritahu
Danisha pantas.
“Itu
semua orang lain pun tahu. Dekat mykid tu ada tak tulis maklumat lengkap ibu
dan ayah dia? Tak ada, kan?” Tiba-tiba Rani banyak tanya pulak.
“Kau
ni… apasal tiba-tiba ambil berat pulak?” soalnya.
“Aku
bukan apa, kalau terjadi sesuatu kepada budak-budak tu, kau jugak yang kena
bertanggungjawab.”
“Kau
janganlah doakan yang bukan-bukan. Takkan aku nak hantar bebudak tu dekat rumah
anak yatim?”
“Tak
adalah sampai macam tu. Paling-paling pun kau siasatlah latar belakang keluarga
bebudak tu. Jangan tau jaga aje.” Rani memberikan pendapatnya.
“Aku
nak siasat macam mana? Mak cik tu tak beritahu aku apa-apa langsung. Dia nak
lepas tangan macam tu aje.”
“Kau
pun silap jugak. Kalau aku, awal-awal lagi aku dah berterus terang dengan mak
cik tu. Tak adalah sampai salah faham begini. Sudahnya kau jugak yang kena
tanggung.”
“Aku
memang dah malas nak fikir semua itu. Sekarang ni aku dah jatuh sayang dengan
Aiman dan Aishah. Kalau ada yang nak rampas bebudak ni daripada aku, memang aku
lawan balik. Aku yang penat-penat jaga makan pakai dia orang.”
“Kalau
ayah dia orang yang menuntutnya, bagaimana?” tanya Rani, serius.
“Langkah
mayat aku dulu!” Danisha menjawab dengan yakin.
“Sudahlah
Nisha. Kau siapa nak pertahankan mereka?” tanya Rani lagi.
“Aku
ibu merekalah. Tak kiralah ibu angkat atau apa. Aku yang ambil berat tentang
kebajikan mereka.” Danisha masih mahu mempertahankan dirinya.
“Kita
tengok nanti apa akan berlaku andai apa yang aku cakap ni, benar-benar
terjadi.”
“Kau
ni tak baik tau. Saja nak bagi aku risau,” keluh Danisha. Apabila Rani
menyebutnya, memang terang-terang bulan dia akan kalah. Dia bukan sesiapa, jauh
sekali ada hubungan darah dengan Aiman dan Aishah.
“Aku
cakap ni supaya kau lebih bersedia menghadapi segala kemungkinan yang bakal
terjadi. Hari ini kau masih boleh bergelak ketawa. Esok-esok, kau menangis tak
berlagu pulak.” Rani mengingatkan.
“Tapi
kalau takdir aku tak dapat bersama mereka selamanya, nak buat macam mana kan?”
Danisha mengeluh berat.
“Sekarang
ni kau kena fikir bagaimana cara terbaik nak beritahu keluarga kau,” ujar Rani.
“Esok
pagi ajelah aku telefon ayah aku. Lagi lama aku rahsiakan, lagi serabut kepala
aku.”
“Sedar
pun. Aku tengok, muka kau pun sudah mengalahkan orang yang sakit jiwa pulak.”
Rani mengutuknya dalam ketawa.
“Hish
kau ni… aku punyalah cun. Kau kata aku macam orang sakit jiwa pulak?” Terasa
geram pula dia dengan Rani yang hendak bergurau.
“Tau…
sebab itu ada yang berkenan!” usik Rani lagi.
“Siapa
yang berkenan?” Bersungguh pula Danisha hendak tahu.
“Dah
gaharu, cendana pula. Dah sedar, pura-pura mimpi pulak!”
“Sudahlah,
tak ingin aku,” balasnya dengan muka mencuka. ‘Macam tak ada orang lain yang
hendak dipadankan!’
“Tak
ingin konon...” Rani sudah tersengih-sengih.
“Betullah
apa aku cakap,” balas Danisha yang masih tidak mahu beralah.
“Jangan
sombong sangat, nanti memakan diri.” Rani terus-terusan menyakat sahabatnya.
“Huh!
Macamlah kau tahu sangat apa akan berlaku selepas ini,” ujarnya sedikit geram.
“Tak
ada syarat dalam bercinta Nisha…”
“Pandailah
kau!” sangkalnya.
“Kita
boleh aje terjatuh cinta dengan musuh kita sekalipun. Tak ada yang mustahil
dalam hidup ini. Pak naga bisa aje bertukar kandaku sayang! ” Rani masih lagi
dengan sengihannya. Suka sangat dia mengusik sahabatnya itu.
Danisha
sudah terdiam. Dia memang malas melayan gelagat Rani. Nanti dia juga yang
terkena balik.
“Renung-renungkan…”
usik Rani lagi dan terus meninggalkan Danisha sendirian.
‘Kandaku
sayang? Hmm… baik aku teruskan kerja daripada memikirkan benda yang
bukan-bukan,’ desisnya dalam hati.
No comments :
Post a Comment