“ASSALAMUALAIKUM…” Encik Ibrahim yang mengangkat
telefon terus mengucap salam.
“Waalaikumussalam…
ayah,” balas Danisha perlahan.
“Hmm…
anak ayah ke? Ingat siapa tadi,” ujar Encik Ibrahim dengan gembiranya.
“Ayah
sihat?” tanya Danisha pula.
“Alhamdulillah…
cukup makan dan cukup rehat. Cuma tak cukup ceria saja,” jawab Encik Ibrahim
kemudian terus tertawa.
“Nisha
tahu macam mana nak buat ayah ceria.” Danisha berasa lega apabila ayahnya dalam
mood yang baik.
“Kenapa
dah lama tak telefon ayah?” tanya Encik Ibrahim lagi.
“Nisha
selalu telefon, tapi umi yang selalu angkat,” sangkal Danisha pula.
“Ada
benda penting ke sampai telefon ayah pagi-pagi Sabtu begini?”
“Ayah
dan umi datanglah rumah anak ni,” pujuk Danisha pula.
“Nak
perkenalkan calon ke?” duga Encik Ibrahim.
“Lebih
kuranglah, tapi lain sikit.” Sengaja Danisha berkata bergitu.
“Kenapa
macam ada benda yang Nisha sembunyikan dari ayah?”
“Sebenarnya
bukan nak rahsiakan daripada ayah dan umi, benda ni tiba-tiba aje datang
menjengah,” beritahunya.
“Nisha
nak beritahu apa sebenarnya?” soal Encik Ibrahim apabila anaknya bagai
berteka-teki pula.
“Boleh
tak esok ayah dan umi datang ke Sri Gombak?” suruhnya pula.
“Kenapa
pulak sampai suruh ayah datang ke sana?” soal Encik Ibrahim, sedikit pelik.
“Nak
cakap di telefon memang susah sikit. Ayah datanglah, anak ayah ada masalah
besar ni.” Danisha teraga-agak hendak berterus terang dengan ayahnya.
“Pasal
apa ni?” Encik Ibrahim sudah mula kerisauan.
“Ayah
dan umi datang ajelah. Nanti Nisha akan cerita semuanya dari A sampai Z,”
janjinya.
“Okey,
hari ini jugak ayah dan umi datang.” Encik Ibrahim terus memberi
persetujuannya.
“Betul
ni?” tanya Danisha untuk kepastian.
“Yalah,
takkan ayah main-main pulak?”
“Ayah
bawa baju lebih sikit. Kalau boleh Nisha nak ayah dan umi duduk lama sikit
dengan anak ayah ni,” pintanya lagi.
“Macam
lain aje bunyinya. Nisha sembunyikan sesuatu dari ayah ke?” Encik Ibrahim sudah
mula tidak sedap hati.
“Ayah
datang aje. Nisha janji akan beritahu semuanya kepada ayah,” janjinya lagi.
“Yalah,
sekarang jugak ayah dan ibu bersiap. Lepas tu terus pergi ke sana.”
“Terima
kasih ayah. Tapi ayah jangan kelam-kabut pulak. Pandu hati-hati ya,” pesannya.
“Insya-ALLAH…”
“Okey
ayah, Nisha tunggu kedatangan ayah dan umi,” ucap Danisha sebelum memutuskan
talian.
Seketika
dia menarik nafas lega. Apa yang penting dia sudah berjaya mengajak ayahnya datang
ke rumah. Selepas itu barulah berterus terang dan beritahu hal yang sebenarnya.
“Tadi
ibu cakap dengan ayah ibu ke?” tanya Aishah yang sejak tadi memang duduk di
sampingnya sambil menonton televisyen.
“Ha’ah,
ibu cakap dengan atuk. Petang nanti atuk dengan nenek datang,” beritahu Danisha
dengan gembiranya.
“Atuk
dengan nenek baik macam ibu ke?” tanya Aiman pula.
“Atuk
dan nenek baik sangat. Abang dan adik mesti dengar cakap atuk dan nenek tau,”
pesannya.
“Sebenarnya
ibu pergi kursus berapa hari?” tanya Aiman.
“3
hari aje. Nanti atuk yang akan hantar abang ke sekolah. Abang jangan lambat
bangun pulak.” Danisha mengingatkan.
“Jadi
atuk dan nenek jaga abang dan adik, ya?” Aishah pula bertanya.
“Hmm…
tapi atuk dan nenek tak tau lagi pasal ibu jaga abang dan adik,” beritahu
Danisha.
“Habis
tu, macam mana sekarang ni?” Aiman seperti risau sahaja.
“Ibu
tengah fikirlah ni, macam mana nak beritahu atuk dengan nenek.”
“Nanti
abang dan adik nak buat apa?” tanya Aiman lagi.
“Abang
dan adik tak payah buat apa-apa. Bila atuk dan nenek dah nak sampai, ibu akan
beritahu,” jelas Danisha kemudian berlalu menuju ke bilik tengah. Dia mahu memastikan
bilik itu bersih dan selesa untuk ayah dan uminya.
*****
ENCIK
IBRAHIM tiba di Kristal Heights kira-kira pukul 3.00 petang. Dia dan isterinya
memang tidak sabar hendak tahu apa yang mustahak sangat sampai Danisha menyuruh
mereka datang ke rumah.
Sebaik
tiba, Danisha menyambut kedatangan mereka dengan senyuman. Seperti selalu,
Danisha menyalam dan memeluk kedua ayah dan uminya.
“Apa
perkara mustahak yang Nisha nak beritahu ayah?” Belum sempat duduk, Encik
Ibrahim telah bertanya.
“Anak
umi dah jumpa calon suami ke?” sampuk uminya pula sambil melemparkan senyuman.
“Bukan
pasal tu,” sangkal Danisha perlahan.
“Habis
tu, pasal apa? Bukan main beria-ia suruh ayah dan umi datang sini.” Encik
Ibrahim memang sudah tidak sabar-sabar.
“Ayah
janji tak marahkan anak ayah ni dulu,” ujar Danisha pula.
“Ni
mesti Nisha dah buat salah dengan ayah,” duga Encik Ibrahim sambil menjegilkan
matanya.
“Mana
ada Nisha buat salah? Cuma tak beritahu ayah aje,” balas Danisha sambil
menundukkan kepalanya.
“Hmm…
apa sebenarnya yang Nisha nak beritahu?” soal Encik Ibrahim.
“Hari
Rabu sampai Jumaat minggu depan, Nisha ada kursus di Port Dickson. Tapi, petang
Selasa dah kena bertolak ke sana,” beritahunya.
“Ni
nak ajak ayah dan umi bercuti dekat sana ke?” tanya uminya pula.
Danisha
menggeleng.
“Habis
tu, kenapa suruh bawa baju lebih pulak?” soal Encik Ibrahim kehairanan.
“Sebenarnya
Nisha nak minta tolong ayah dan umi tengokkan rumah ni dan…” Dia tidak jadi
meneruskan kata-katanya.
Encik
Ibrahim yang merasakan sesuatu memandang tepat ke wajah anaknya. “Dan apa?”
“Dan
tolong jaga anak-anak sekali,” terkulat-kulat Danisha memberitahu ayahnya.
“Anak-anak?”
soal Encik Ibrahim, pelik.
“Aiman…
Aishah,” panggil Danisha, menyuruh kedua adik beradik itu keluar dari bilik.
Encik
Ibrahim dan isterinya saling berpandangan apabila Aiman dan Aishah sudah berada
di hadapan mereka.
“Ayah…
ini Aiman dan adik dia, Aishah. Salam atuk dan nenek,” Danisha memperkenalkan
mereka.
Aiman
dan Aishah terus menyalam dan mencium tangan ayah dan umi Danisha. Kemudian
duduk di sisi Danisha.
“Ini
apa cerita sebenarnya?” tanya Encik Ibrahim perlahan. Wajah kedua beradik itu
ditatap.
“Emak
Aiman dan Aishah dah meninggal dunia, Nisha tolong jaga mereka ni.” Danisha
cuba kuatkan dirinya untuk beritahu perkara sebenar.
“Dah
berapa lama Danisha jaga?” tanya Encik Ibrahim, perlahan sahaja suaranya. Sebaik
Danisha beritahu emak bebudak itu telah tiada, langsung hilang rasa marah di
hati.
“Dah
masuk 3 bulan,” beritahunya.
“Kenapa
tak beritahu ayah awal-awal?” soal Encik Ibrahim pula.
“Ayah
tak marahkan Nisha, kan?” tanya Nisha sambil pandang wajah ayahnya.
Encik
Ibrahim hanya mengeluh kemudian baru menjawab pertanyaan anaknya. “Nak marah pun,
Nisha dah pun buat keputusan sendiri.”
“Nisha
bukan sengaja nak rahsiakan daripada ayah dan umi. Semua ni berlaku terlalu
mendadak,” terang Danisha agar ayah dan uminya mengerti.
“Tapi
kenapa sampai tunggu dah 3 bulan, baru nak beritahu ayah dan umi?”
“Nisha
takut ayah marah dan tak setuju,” balasnya sambil pegang tangan Aishah.
“Nisha
ambil mereka ni ikut prosedur ke atau main jaga aje?” tanya Encik Ibrahim,
inginkan kepastian.
“Tak
tahulah nak cakap apa, tapi Nisha ada mykid Aiman dan Aishah.”
“Nisha
kenal ke saudara-mara bebudak ni?” tanya Encik Ibrahim lagi.
“Nisha
tak kenal dan tak ada maklumat langsung pasal mereka,” terangnya lagi.
“Kalau
ada apa-apa, susah jugak nanti,” ujar Encik Ibrahim kemudian merenung sayu anak-anak
itu. Memang dia tak duga langsung rupanya ini perkara yang ingin anaknya sampaikan.
“Sampai
bila Nisha nak jaga bebudak ni?” tanya uminya pula setelah asyik diam dan mendengar
sahaja. Hati tuanya turut terusik apabila memandang Aiman dan Aishah. Apatah
lagi apabila mengetahui mereka sudah tidak beribu.
“Sampai
mereka besarlah.”
“Habis
tu macam dengan kehidupan Nisha? Tak nak berkahwin dan punya keluarga sendiri?”
tanya Encik Ibrahim.
“Tak
adalah sampai macam tu, mestilah nak jugak ada keluarga sendiri. Cuma buat masa
ni memang tak sesiapa pun yang nakkan anak ayah ni,” ujar Danisha kemudian tertawa
dengan kata-kata sendiri.
“Tak
baik cakap macam tu,” tegur uminya pula.
“Aiman
ni dah sekolah ke?” tanya Encik Ibrahim pula.
“Dah,
itu yang nak tolong ayah hantarkan,” beritahu Danisha.
“Dia
sekolah dekat mana?”
“Nisha
hantar Aiman belajar di sekolah tahfiz dekat Taman Gombak Permai. Tak jauh pun
dari sini. Dia masuk pukul 7.30 pagi dan belajar sampai pukul 5.00 petang.”
“Lamanya
waktu dia belajar?” Terkejut Encik Ibrahim mendengarnya.
“Aiman
belajar mengaji sampai tengah hari. Selepas makan dan tidur, petangnya sambung
belajar mata pelajaran lain macam dekat sekolah biasa,” terang Danisha.
“Atuk…”
Tiba-tiba Aiman bersuara.
“Ya,
sayang…” sahut Encik Ibrahim.
“Ibu
kata kalau atuk datang sini, mesti solat dekat surau. Boleh tak abang ikut?” tanya
Aiman sambil merenung wajah Encik Ibrahim.
“Boleh
sangat. Mari sini duduk dengan atuk,” panggil Encik Ibrahim dengan gembiranya.
Aiman
segera duduk bersama dengan atuk barunya.
“Kalau
abang nak atuk ajar mengaji pun boleh,” beritahu Encik Ibrahim.
Riang
sekali hati Aiman apabila mendengarnya
Danisa
yang melihatnya berasa lega sangat. Dia tidak perlu risau meninggalkan Aiman
dan Aishah dibawah jagaan ayah dan uminya.
No comments :
Post a Comment