SEJAK
insiden Danisha membasuh Encik Hisham cukup-cukup, hidupnya lebih ceria dan
tidak lagi tertekan. Bosnya itu memang sudah tidak mengarahnya buat apa-apa.
Mereka berdua memang sama-sama mengelak dari bertembung di pejabat.
Masing-masing
buat tidak kenal dan buat hal sendiri. Kalau ada perkara mustahak yang Encik
Hisham ingin sampaikan kepada Danisha, dia akan beritahu melalui Iman sahaja.
Memang
Danisha sendiri yang marahkan lelaki itu dan meminta menukarnya ke bahagian
lain. Namun, sampai ke hari ini, dia tidak menerima sebarang surat pertukaran
dari bahagian sumber manusia. Kini dia hanya sibukkan diri memproses tuntutan
bayaran daripada kontraktor atau subkontraktor sahaja.
Apa
yang pasti dia memang tidak terlibat lagi dengan sebarang projek di bawah Encik
Hisham. Peliknya, Datuk Khalil pula yang selalu memintanya buat itu dan ini.
Dia juga terpaksa mengikut bosnya ke mesyuarat apabila diperlukan.
Sepertinya
Datuk Khalil sudah maklum pasal kes dia dan Encik Hisham. Begitu pun, setakat
ini Datuk Khalil tidak pernah bertanya apa-apa tentangnya.
“Kenapa
kau macam susah hati aje? Rindu nak bergaduh dengan pak naga ke?” Tiba-tiba
Iman bertanya.
“Hish
kau ni, mana ada! Sekarang ini aku rasa aman satu dunia. Buat kerja pun relaks
aje tanpa sebarang tekanan,” jawab Danisha sambil meneruskan tugasnya seperti
biasa.
“Hmm…
aku jugak yang sibuk sampai setiap malam mengigau pasal kerja yang bertimbun,”
keluh Iman. Walaupun ada banyak tugasan yang perlu disiapkan, tetap kena
bersembang juga untuk hilangkan kebosanan yang melanda.
“Aku
dengar macam ada QS baru akan masuk mulai minggu depan, betul ke?” tanya
Danisha pula.
“Betullah
tu. Kau ingat bila kau lepas tangan, QS yang ada ni cukup untuk buat kerja yang
melambak tu? Pak naga pun tahu sendiri apa tindakan yang perlu diambil,” jawab
Iman.
“Ingatkan
nak memperkuda-kuda QS yang lain pulak. Yalah, nak kaya cepat dan tak nak
keluar banyak kos tanggung gaji pekerja.” Danisha berkata sinis.
“Minggu
lepas semasa kau cuti, pak naga panggil mesyuarat tergempar,” beritahu Iman.
“Bincang
pasal apa?”
“Pasal
apa lagi? Pasal projek yang sedang dan akan dimulakanlah. Rani orang yang
paling berani bersuara sebab dia yang terkena tempiasnya bila kau dah tak nak
buat projek bawah pak naga.”
“Boleh
tahan jugak si Rani Mukerji tu!” puji Danisha.
“Kalau
aku pun akan bising, apabila kerja bertambah. Andai naikkan gaji sekalipun
takkan selesaikan masalah. Baik gaji yang nak ditambah tu, gajikan seorang lagi
QS,” ujar Iman.
“Apa
pasal tiba-tiba korang tak mata duitan pulak?” soal Danisha.
“Waktu
kerja kita 8 jam sehari, kita orang tak nak OT semata-mata nak siapkan kerja.
Lepas pukul 5.00 petang,mood kerja memang dah ke laut!”
“Ingatkan
aku sorang aje macam tu,” balas Danisha sambil tersenyum.
“Sebenarnya
aku pelik jugak. Apa yang kau cakap pada pak naga tu sampai dia tak kenakan kau
lagi?” Iman memang ingin tahu sangat. Pasti ada benda lain yang Danisha
sembunyikan.
“Rahsia!”
jawab Danisha kemudian berlalu menuju ke pantri.
“Wei,
kau janganlah nak sembunyikan daripada aku,” rayu Iman yang turut mengekori Danisha.
Dia juga mahu membasah tekaknya yang sudah kering.
“Sembuyikan
apa?” soal Danisha balik.
“Aku
fahamlah apa pasal dia dah tak arahkan kau buat apa-apa kerja. Tapi, kenapa dia
macam mengelak aje dari berselisih dengan kau?”
“Kau
ni kan, nampak aje!” ujar Danisha, geram.
“Mestilah
nampak. Yang buat aku bertambah pelik, selalu pulak aku tengok dia asyik
menghendap kau.” Begitulah mengikut pemerhatian Iman.
Bukan
sekali dua dia ternampak Encik Hisham asyik memerhati Danisha apabila
berkesempatan. Malah, hampir setiap hari. Mula-mula dulu dia ingatkan kebetulan
sahaja. Apabila sudah kerap begitu, memang dia dah syak sesuatu. Itu yang cuba
dia korek.
“Cakap
tu baik-baik sikit, ya. Kalau orang lain dengar, ingat apa pulak.” Danisha
mengingatkan Iman yang kadang-kadang terlepas cakap.
“Betullah
apa yang aku cakap! Kalau kau ada, memanglah dia tak tegur dan tengok kau.
Sebaik kau berlalu, mata dia asyik tengok kau aje,” cerita Iman
bersungguh-sungguh.
“Alah,
itu sebab dia sedang fikir macam mana nak kenakan aku balik. Pasal itulah dia
asyik curi-curi tengok aku.” Ada sahaja alasan Danisha.
“Kau
ni kan, kalau nak mengelak, ada aje jawapan. Tak nak cakap sudahlah.” Sudahnya
Iman mengaku kalah. Bengang hatinya apabila Danisha asyik mengelak dari
menjawab pertanyaannya.
Sekilas
Danisha memandang Iman yang sudah masam. ‘Benarkah apa yang Iman sampaikan?
Atau dia sengaja mereka cerita untuk menduga aku agar bercerita lebih lanjut?’
bisik hatinya.
*****
SETELAH
menyiapkan kerja sekolahnya, Aiman tercari-cari ibunya. Aishah memang sudah
terlena setelah kenyang minum susu dan penat bermain.
Apabila
mendapati Danisha tiada di bilik, Aiman mengagak pasti ibunya berada di tempat
kegemarannya. Benar seperti sangkaannya, lalu dia terus menghampiri Danisha.
“Ibu
tengok apa?” tanya Aiman kemudian duduk di kerusi menemani ibunya.
Danisha
hanya tersenyum tanpa menjawab pertanyaan Aiman. Dia memang meletakkan meja
kecil dan dua buah kerusi untuk bersantai di balkoni apartmennya. Dia juga suka
membaca buku di situ sambil menghirup udara segar.
Kadang-kadang
sekadar melihat keindahan dan kehijauan banjaran Titiwangsa yang memang nampak
jelas dari apartmennya. Genting Highlands pun boleh nampak juga, tetapi pada
waktu malam sahaja. Gemerlapan cahaya lampu di pusat peranginan dan taman tema
itu jelas kelihatan andai cuaca pada waktu malam memang baik.
“Ibu
suka banglo depan tu ke?” tanya Aiman lagi apabila Danisha begitu asyik
memandang ke arah Vila Kristal Heights. Banglo tiga tingkat dan rumah semi D
cuma dipisahkan dengan tembok tinggi dengan apartmen yang Danisha duduki.
“Suka
jugalah, tapi kalau ada banyak duit sekali pun, ibu tak naklah beli,” beritahu
Danisha.
“Kenapa
pulak?” tanya Aiman sambil menoleh memandang Danisha.
“Nanti
susah nak kemas, tiga tingkat pulak tu.” Danisha menjawab pantas.
“Kalau
dah kaya, mesti ada pembantu rumah. Nak risau apa?” Pandai sahaja Aiman memberi
pandangannya. Walaupun baru berusia enam tahun, dia memang lebih matang dari
usianya yang sebenar.
“Hmm…
tapi kalau rumah semi D tu, mungkin ibu akan beli kalau ada banyak duit la.”
Danisha sengaja menjawab begitu. Padahal, memang sampai pencen pun dia takkan
mampu memiliki rumah itu. Jangan cakap hendak bayar duit muka, bayaran bulanan
dan penyelenggaraan pun hampir setengah tahun gaji dia! Baik dilupakan.
“Tak
apa ibu… bila abang besar nanti, setiap bulan abang akan bagi duit kat ibu.
Campur dengan duit yang ibu simpan, mesti boleh beli rumah semi D tu,” ujar
Aiman dengan yakinnya.
“Terima
kasih sayang… tapi kalau tunggu abang besar, entah berapa juta pulaklah harga
rumah tu.” Danisha rasa kelakar pula mendengar kata-kata Aiman.
“Rumah
tu mahal sangat ke ibu?” tanya Aiman lagi.
“Mahallah!
Sekarang ni pun harganya dah cecah lebih 1 juta,” beritahunya.
“Mahalnya…
tak dapatlah abang nak tolong ibu beli rumah tu,” keluh Aiman seakan kecewa
pula.
“Tak
apalah, ibu cakap aje dan tak nak beli pun,” balas Danisha sambil pegang bahu
Aiman.
“Ibu
tak nak kahwin dengan orang kaya ke?” tanya Aiman dengan sengihan.
“Amboi
anak ibu ni, kecik-kecik dah pandai sebut pasal kahwin!” Terkejut Danisha
dengan pertanyaan Aiman yang tidak diduga langsung. Ingatkan Aishah sahaja
begitu.
“Yalah,
budak-budak lain ayah dia orang yang hantar ke sekolah. Abang pun kesian jugak
dengan ibu sebab terpaksa hantar dan ambil abang,” Aiman meluahkan rasa
hatinya.
“Tak
ada ayah pun tak apa. Janji anak ibu belajar rajin-rajin dan jadi orang yang
berjaya suatu hari nanti,” ucap Danisha. Dia memang tidak mengharapkan yang
bukan-bukan dalam hidup ini. Cukuplah andai dapat membesarkan Aiman dan Aishah
dalam kesederhanaan.
“Okey…
abang janji akan dapat nombor satu bila periksa nanti,” ujar Aiman
bersungguh-sungguh.
“Insya-ALLAH…
ibu pun selalu doakan abang,” balas Danisha sambil menggosok belakang Aiman.
“Sayang
ibu,” ucap Aiman sambil bangun dan mencium pipi Danisha pula.
“Besar
nanti abang nak jadi apa?” Danisha sengaja bertanya. Hendak tahu juga apa
cita-cita Aiman.
“Abang
nak jadi arkitek yang hafaz al-Quran dan jadi ustaz jugak.” Bersemangat sekali
Aiman memberitahu Danisha.
“Bagusnya
cita-cita anak ibu. Abang tahu ke kerja arkitek macam mana?” Sengaja Danisha
menduga si kecil. Bagi dirinya, Aiman mahu kerja apa pun dia tidak kisah.
Asalkan dia tamatkan pengajian dan hafaz al-Quran, itu sudah cukup baik.
“Tak
tahu sebenarnya, tapi ayah abang memang seorang arkitek. Abang nak jadi macam
ayah.”
“Abang
ni… sikit-sikit ayah. Berbulu telinga ibu mendengarnya,” balas Danisha. Aiman
memang tidak habis-habis memuji ayahnya.
“Ibu
ni… ayah abang memang baik. Kenapa ibu tak nak percaya?” tanya Aiman.
“Baik
apa kalau tak nak jaga anak sendiri!”
“Kan
dah cakap, ayah abang tak tahu,” ujar Aiman kemudian sengaja berkalih dan
memandang ke arah lain pula. Dia memang sudah merajuk.
“Yalah,
yalah… ayah abang baik, ayah abang pandai macam-macam!” ujar Danisha lebih
kepada memerli sebenarnya. Budak kecil, apalah tahunya. Akhirnya dia meraih
Aiman ke dalam pelukan.
“Abang
sebenarnya sayang sangat dengan ibu,” ucap Aiman, jujur dari hatinya.
“Ibu
pun,” balas Danisha sambil mengeratkan pelukan.
Seketika Danisha melemparkan pandangan ke arah
ibu kota yang cantik bercahaya. Pada ketika ini, dia berasa bagai bermimpi
pula. Tanpa bersusah payah mengandung dan merasai kesakitan bersalin, dia
memiliki anak-anak yang sering menggembirakan dirinya.
Dia amat bersyukur kerana berpeluang menjadi ibu
walau bukannya menjaga anak sendiri. Terasa bahagia apabila bibir comel Aiman
dan Aishah memanggilnya dengan panggilan keramat itu. Memang tiada lukisan yang
dapat menggambarkan perasaannya ketika ini. Bahagia dan bahagia…
No comments :
Post a Comment