Thursday, January 2, 2014

Mas Kahwinku RM22.50: Bab 10

KEESOKAN harinya, Danisha memang sengaja masuk lambat. Selepas menghantar Aiman ke sekolah, dia melepak di restoran di Sri Gombak. Sejak semalam telefon bimbitnya memang sengaja ditukar kepada silent mode. Sedar ada banyak panggilan masuk dari pejabat, tetapi dia biarkan sahaja.

Pukul 9.30 pagi, baru dia bertolak menuju ke pejabatnya di Prima Sri Gombak. Setelah memarkir keretanya, dia berlenggang-lenggang kangkung menuju ke pejabat. Dia memang sudah tidak sabar hendak tahu reaksi pak naga.

Sebaik masuk ke dalam pejabat, dia intai bilik bosnya. Tidak nampak pula batang hidungnya. Dengan rasa tidak bersalah langsung, dia menuju ke kubikelnya. Walaupun menyedari rakan-rakan lain memandang semacam, tetapi dia buat tidak reti sahaja.

“Nisha, kau ke mana semalam? Pak naga mengamuk tau tak?” beritahu Iman. Mukanya memang serius sahaja.

“Padan muka dia,” balas Danisha.

“Kau pergi ke mana sebenarnya? Petang semalam bos pergi cari kau dekatsite,” sampuk Rani pula. Dia juga telah datang ke kubikel Danisha, ingin tahu cerita sebenarnya.

“Ada apa-apa terjadi dekat ofis yang aku tak tahu ke?” soalnya pula.

“Bos balik dengan muka merah padam! Sampai loceng amaran kebakaran berbunyi, tau tak? Yang kau tak reti-reti nak jawab panggilan dari ofis tu, kenapa?” marah Iman.

“Bomba datang tak?” soalnya pula kemudian terus tertawa. ‘Ambik kau pak naga!’ desisnya.

“Nisha… seriuslah sikit. Apa yang kau dah buat sampai pak naga mengamuk?” Iman masih hendak tahu cerita di pihak Danisha.

“Mana ada buat apa-apa. Aku balik rumah dan tidur puas-puas,” jawabnya selamba.

“Ya ampun… kita orang punyalah risaukan kau. Entah pengsan ke apa ke dekat site tu,” ujar Iman sambil menampar lengan Danisha.

“Aku kan dah kata nak kenakan dia. Memang aku kenakan sungguhlah.”

“Patutlah dia mengamuk sakan!” ujar Rani pula.

Tiba-tiba telefon di meja Iman berbunyi. Dia segera mengangkatnya.

Danisha dan Rani terasa pelik pula apabila Iman meletakkan telefon tanpa sempat berkata apa-apa.

“Siapa yang telefon?” tanya Danisha.

“Bersedialah Nisha, pak naga suruh kau masuk bilik dia,” beritahu Iman.

“Waktu mana pulak dia dah ada dalam bilik? Tadi tak nampak pun,” soal Danisha pula.

“Dah, tak payah banyak tanya. Baik kau pergi cepat,” suruh Iman.

“Aku memang nak buat perhitungan dengan dia pun!” balasnya sambil mengangkat kening.

Danisha segera bangun menuju ke bilik bosnya. Dia terus sahaja masuk memandangkan pintu memang telah sedia terbuka.

“Tolong tutup pintu tu,” suruh Encik Hisham sambil menjelingnya.

Danisha berpatah balik dan terus menutup pintu. Kemudian berdiri di hadapan meja bosnya.

“Tak payah nak berdiri pulak. Duduk dekat kerusi tu,” arah bosnya.

Danisha akur dengan arahan bosnya. Walaupun turut berdebar-bebar, dia cuba berlagak tenang.

“Awak ke mana semalam?” tanya Encik Hisham sambil pandang tepat ke wajahnya.
“Pergi Sierramaslah,” jawabnya.

“Bila ofis telefon, kenapa tak jawab?” tanya bosnya, serius.

“Saya sibuk mengira pokok,” jawabnya acuh tak acuh.

“Kalau sibuk sekali pun, takkan tak reti-reti nak jawab?” marah Encik Hisham.

“Saya nak cepat siapkan kerja. Tak ada masa nak jawab telefon.” Mendatar sahaja suaranya.

“Awak tahu tak, saya dekat sini risaukan awak?”

“Oh! Ya ke?” Danisha sengaja buat muka terkejut.

“Nisha… tak payahlah awak nak kelentong saya. Awak ke mana sebenarnya?” tanya Encik Hisham yang kini telah berdiri.

“Mana ada saya tipu bos?” Danisha masih mahu bermain tarik tali.

“Awak pergi ke mana semalam?” Encik Hisham mengulangi soalannya. Kali ini nadanya lebih keras.

“Kira pokoklah.” Danisha masih mengekalkan jawapan yang sama.

“Jangan nak bohong dengan saya. Semalam saya pergi ke site, bayang awak pun tak ada di situ!” tengking Encik Hisham sambil menepuk meja.

Terkejut Danisha dibuatnya. Dia memang dah agak pak naga pasti akan buat spot check.

“Cakaplah ke mana awak pergi?” ulang bosnya lagi.

“Saya balik rumah, tidur…” Sudahnya Danisha berterus terang sahaja.

“Balik rumah tidur?” Encik Hisham menjegilkan matanya. Tak sangka sungguh dia.

“Bos, kalau bos tak sukakan saya, saya boleh berhenti. Tak payah nak aniaya saya!” Danisha berkata dengan beraninya.

“Masa bila pulak saya aniaya awak?” tanya Encik Hisham dengan suara yang lantang.

“Bos suruh saya pergi sorang-sorang ke Sierramas tu, bukan aniaya saya ke namanya?” bidasnya.

“Saya suruh awak buat kerja, bukan menganiaya awak,” ujar Encik Hisham keras.

“Tak guna bos belajar tinggi-tinggi sampai ke luar negeri, tapi otak letak dekat lutut!” Berani sungguh Danisha berkata begitu kepada Encik Hisham. Saat ini dia memang mahu lepaskan segala rasa geram di hati.

“Awak jangan nak menghina saya,” balas Encik Hisham pula. Bahang kemarahannya semakin hangat.

“Bos dah pergi tempat tu semalam, kan? Takkan tak faham-faham lagi,” ujar Danisha.

“Boleh tak awak jangan cakap belit-belit dengan saya,” ujar Encik Hisham.

“Kononnya risaukan sayalah, kan? Tapi sampai hati hantar saya sorang-sorang buat kerja di site. Saya ni perempuan, Encik Imran tu lelaki. Kalau dia dan pekerja dia berniat jahat kat saya, agaknya ada orang tahu ke?” soal Danisha geram.

“Awak cakap pasal apa ni?” Wajah Encik Hisham sudah berubah, telinganya juga sudah kemerah-merahan. Pasti sahaja sedang menahan marah.

“Bos pun tahu Gully D tu bersebelahan ladang kelapa sawit, kan? Kalau saya kena rogol atau kena bunuh, tak ada siap pun yang tahu! Bos nak bertanggungjawab ke?” soal Danisha.

Saat itu juga Encik Hisham terkedu dengan penjelasan Danisha. Dia memang tidak tahu hendak balas apa. Dia memang tidak terfikir langsung isu keselamatan yang Danisha maksudkan.

“Kalau dah jaki sangat dengan saya, cakap aje. Tak payah nak dera saya. Tukar saja saya ke bahagian mana sekalipun, saya tak kisah,” beritahunya kemudian menarik nafas panjang.

Encik Hisham masih senyap.

“Saya juga macam orang lain, ada hati dan perasaan. Ada amanah perlu dijaga dan ada tangggungjawab perlu dipikul. Andai terjadi sesuatu kepada saya, siapa yang akan pikul semua tanggungjawab tu?” soalnya.

Encik Hisham masih senyap seperti tadi. Saat ini dia sudah tidak sanggup hendak memandang gadis di hadapannya ini.

Tiba-tiba mata Danisha sudah berkaca-kaca. Dia memang mahu lepaskan rasa geram dan marah yang terbuku di hati. Tidak sangka pula bertukar jadi sesi meluahkan perasaan. Rasa marah di hati sudah bertukar sebak dengan bicara sendiri.

Encik Hisham terpaku di tempatnya. Bicara Danisha sebentar tadi menusuk ke dalam kalbunya. Seketika dia mengurut dadanya yang sedari tadi bergelora tidak menentu.

Dia tidak sangka sungguh apa yang dia buat terhadap gadis itu ada risiko lain yang dia sendiri tidak terfikir langsung. Mujur tiada apa-apa yang berlaku terhadap Danisha. Kalau tidak, bagaimana dia hendak berhadapan dengan keluarganya?

“Saya nak guna bilik air bos sekejap,” beritahu Danisha dan terus menuju ke sana. Danisha membasuh mukanya dan cuba bertenang. Dalam keadaan begini, dia tidak mahu keluar. Dia perlu sembunyikan dari rakan-rakan yang dia telah luahkan rasa marah sampai mengalirkan air mata!

Setelah berasa okey, dia keluar dari bilik air. Wajahnya memang tidak menampakkan yang dia baru lepas menangis.

“Kalau dah tak ada apa-apa, saya nak keluar.” Danisha terus beredar tanpa menunggu arahan dari bosnya. Dia sengaja menghempas pintu bilik Encik Hisham dengan kuat. Staf-staf lain memang terkejut dengan tindakannya.

*****

SEBAIK sampai di mejanya, Rani dan Iman memang sudah menanti. Seperti biasa mereka ingin mengetahui berita terkini dan hiburan sensasi daripadanya.

“Nisha, kau okey ke?” tanya Iman apabila melihat dia dalam keadaan serius sahaja.

“Aku okeylah,” jawabnya sambil membetulkan duduknya.

“Tapi kenapa pak naga ketuk meja?” sampuk Rani pula.

“Kau terdengar ke?” tanya Danisha.

“Mahunya tak dengar? Kuat gila kau…” ujar Rani.

“Apa lagi? Sebab marahkan akulah,” jawabnya.

“Ini mesti kes berat, sampai ketuk meja bagai,” duga Iman pula.

“Apa yang penting, aku dah lepaskan geram aku kat dia. Dia nak mengamuk, lantak dialah.”

“Beraninya kau, Nisha…” ujar Rani pula.

“Aku berani kerana benar. Kalau semua orang takut nak tegur dia, habislah kita.”

“Betul, aku sokong kau. Nanti yang teruk kerja kita jugak!” sokong Iman.

“Kau sokong apa?” soal Danisha pula.

“Sokong apa kau buat tulah!”

“Kau tahu ke aku buat apa dengan pak naga tu?” tanya Danisha balik.

“Kau marahkan dia, kan?”

“Entahlah! Aku pun tak tahu nak cakap apa. Rasanya aku luahkan perasaan aku,” ujar Danisha kemudian terus tertawa.

“Kau ni Nisha… janganlah cakap belit-belit pulak.” Rani sudah pelik dengan penjelasan Danisha.

“Hehe… aku memang basuh dia cukup-cukup! Aku siap bagi dia peluntur dan pewangi sekali. Aku jamin selepas ni dia takkan berani nak kenakan aku lagi,” beritahunya. Dia memang rasa puas sangat dapat kenakan pak naga. Cerita pasal Encik Imran itu, sekadar alasan sahaja.

“Kalau betullah macam tu, aku tabiklah kat kau,” puji Rani.

“Kalau dah macam tu, Puan Rani Mukerji nak tunggu Shah Rukh Khan panggil baru nak balik tempat kau ke?” usik Danisha pula.

“Kalau abang Shah Rukh Khan yang panggil, kerja sampai esok pagi pun tak apa!” gurau Rani kemudian terus beredar.


Danisha dan Iman sama-sama tersenyum mendengar jawapan Rani.


YOUR SINCERELY:

SAFIE MOKHTAR


No comments :

Post a Comment