TEPAT
jam 8.30 pagi, Danisha sudah tiba di Gully D, Sierramas Homes Resort. Dia
memarkir keretanya di bawah pohon ketapang. Encik Imran dan dua orang
pekerjanya memang sudah ada menanti di situ.
“Assalamualaikum
Encik Imran,” ucap Danisha sebaik menghampiri lelaki itu.
“Waalaikumussalam.
Cik Nisha seorang aje ke?” tanyanya seakan pelik pula. Pokok banyak hendak
dikira, pasti sahaja mengambil masa andai Danisha sahaja yang datang.
“Dah
bos suruh saya seorang, nak buat macam mana?”
“Ingatkan
Encik Hisham hantar dua orang stafnya, cepat sikit siap kerja kita,” ujar Encik
Imran pula.
“Sebenarnya
apa masalah projek ni? Saya tengok okey aje. Pokok semuanya subur, apa yang
klien tak puas hati?” Danisha bertanya ingin tahu situasi sebenar.
“Entahlah
Cik Nisha. Encik Hisham mahu pastikan kuantiti pokok dalam tuntutan bayaran
sama dengan kuantiti yang ditanam disite. Bukan ikut kuantiti yang ada dalam
pelan pembinaan. Katanya ada yang telah berubah kuantitinya,” terang Encik
Imran.
“Betullah
tu, tapi kalau tengok keadaan sekarang, macam mana nak kira? Pokok teduhan dan
palma, bolehlah kita kira satu-satu. Penutup bumi tu, ingat senang ke nak kira?
Lainlah kalau baru tanam sebab kita masih boleh nampakpoint-pointdia. Sekarang
ni sudah menjalar dan menutup semua ruang.” Danisha sudah menggeleng kepala.
Memang sah pak naga hendak kenakan dirinya.
“Saya
pun tak tahu nak cakap apa. Kalau saya banyak songeh, nanti lagi lambat klien
nak buat bayaran,” keluh Encik Imran. Dia terpaksa mengikut sahaja dan tidak
berani membantah.
“Terang-terang
cakap, tak kuasa saya nak kira semua pokok yang ada di sini. Kalau kita kira
satu-satu, sampai esok pagi pun tak siap,” ujar Danisha sambil matanya liar
memandang sekeliling.
“Habis
tu, nak buat macam mana ni?” tanya Encik Imran. Dia juga sependapat dengan
Danisha.
“Macam
nilah Encik Imran, saya memang percayakan Encik. Apa yang bos saya suruh tu, saja
nak ikut syarat aje.”
“Tak
payah kiralah kalau macam tu?” Encik Imran sudah garu kepala.
“Encik
Imran ada bawa pelan terbina tak?” tanya Danisha pula.
“Ada.”
“Bagi
saya tengok. Saya nak bandingkan dengan pelan pembinaan ni,” pinta Danisha.
Encik
Imran segera mengambil pelan tersebut di keretanya kemudian menyerahkannya
kepada kepada Danisha.
Danisha
membuka pelan itu di atas bonet keretanya. Dia meneliti helaian demi helaian
sambil membandingkan dengan pelan pembinaan yang dia bawa. Sesekali dia menoleh
memandang keadaan sekeliling pula.
“Saya
tengok kuantiti pokok dalam pelan terbina sedikit berkurang dibandingkan dengan
pelan pembinaan. Encik Imran buat tuntutan ikut kuantiti dalam pelan terbina,
kan?” tanya Danisha untuk kepastian.
“Betullah
tu. Takkan saya nak tuntut lebih pulak kalau kuantiti yang saya tanam memang
berkurang,” jawab Encik Imran jujur.
Danisha
hanya tersenyum mendengarnya. “Saya rasa kita tak payah buang masa buat kerja
bodoh,” ujar Danisha.
“Apa
maksud Cik Nisha?” tanya Encik Imran yang kurang faham.
“Bagi
kat saya borang senarai pokok yang kita nak kira tu. Saya nak sahkan dan tanda
tangan saja,” ujar Danisha.
“Kalau
Encik Hisham tanya, apa saya nak cakap?” soal Encik Imran pula.
“Cakap
aje kita dah kira. Kalau dia tak percaya jugak, suruh dia kira sendiri.
Percayalah cakap saya, mati hidup balik, dia takkan buat!” ujar Danisha dengan
yakinnya.
“Saya
tak beranilah Cik Nisha.” Encik Imran menyatakan kebimbangannya.
“Saya
tanya Encik Imran sekali lagi. Encik hantar tuntutan bayaran projek ini ikut
kuantiti sebenar yang encik tanam, kan?” Danisha mengulangi pertanyaannya.
“Ya,
Cik Nisha,” akuinya.
“Kalau
macam tu, saya nak balik rumah buat tahi mata. Kalau kita betul-betul pergi
kira, sampai petang pun tak habis, kan? Saya pasti Encik Imran ada banyak kerja
lain yang hendak dibuat.” Danisha sudah mencampak pelan yang dibawanya ke dalam
kereta.
“Macam
mana kalau Encik Hisham telefon saya?” tanya Encik Imran pula.
“Kita
kan sibuk mengira pokok? Tak payah jawab panggilan dia!” Selamba sahaja Danisha
menjawabnya.
Encik
Imran terdiam seketika. Mukanya memang macam orang blur.
Danisha
tertawa melihatnya. “Encik Imran, ada kalanya kita ni jangan lurus bendul
sangat. Nanti orang pijak kepala kita!”
“Okeylah
kalau Cik Nisha dah cakap macam tu. Terima kasihlah kerana memudahkan urusan
saya,” ucap Encik Imran dengan perasaan lega.
“Kalau
malam nanti tiba-tiba Encik Hisham telefon, jangan lupa beritahu saya kirim
salam!” pesan Danisha kemudian terus masuk ke dalam keretanya dengan perasaan
puas.
*****
SETELAH
bersolat maghrib dan memberi anak-anak makan, Danisha duduk berehat sambil
menonton berita. Aishah juga duduk di sebelahnya sambil memeluk teddy bearnya.
Aiman pula sedang tekun membuat kerja sekolah.
Tiba-tiba
dia teringat pula pasal baki akaunnya. Siapalah yang tersilap bankin? Bukan
sedikit duit, memang sebulan gaji dia. Ini yang buat dia pelik.
Pada
mulanya dia rasa hendak guna sahaja duit itu. Apabila difikir balik, dibuatnya
betul ada orang tersilap bankin dan pihak bank dapat mengesannya, payah dia
nanti.
“Ibu…”
panggil Aiman mencantas lamunannya.
“Ada
apa, abang?” Danisha menoleh memandang Aiman yang duduk di meja tulisnya.
“Ibu
tak nak tengok buku komunikasi abang ke?” tanya Aiman pula. Buku itu adalah
catatan ustazah berkenaan perkembangan pelajarannya setiap hari.
“Maaf
sayang. Dah banyak hari ibu tak tanda tangan buku komunikasi abang. Bagi kat
ibu buku tu,” pinta Danisha.
Aiman
segera bangun dan menyerahkan buku tersebut kepada Danisha. Patutnya dia semak
setiap hari agar dapat pantau kelemahan Aiman. Selepas itu bolehlah buat
ulangkaji dan latihan bersama dengannya. Kebelakangan ini dia memang sibuk dan
penat sangat sampai terlupa pula.
Danisha
membelek helaian demi helaian. “Kenapa abang tak beritahu ibu yang abang tak
lancar baca surah Al-Insyirah? Bukan ke hari tu dah lancar?” Seingat Danisha,
Aiman memang sudah hafaz surah itu dan beberapa surah yang lain juga.
“Abang
tengok ibu macam penat aje sebab itu abang tak beritahu. Lagipun abang sian
dengan ibu,” jawab Aiman jujur.
Danisha
pandang wajah polos Aiman. ‘Bagaimana Aiman yang masih kecil ini begitu
memahami diriku?’ detiknya. Tiba-tiba teringat pula pak naga yang hari-hari
buat dia angin semacam. Hendak marah balik, tetapi terpaksa dipendam.
“Kenapa
ibu macam sedih aje?” tanya Aiman sambil duduk di sisi Danisha.
“Taklah.
Sebenarnya ibu suka sangat dapat anak macam abang,” puji Danisha buat Aiman
tersenyum. Senyuman itu yang selalu jadi penawar kepada Danisha yang asyik
tertekan dengan bebanan tugas di pejabat.
“Ya
ke? Abang pun suka sangat dapat jumpa ibu yang sayangkan abang dan adik,” puji
Aiman pula sambil mencium tangan Danisha.
Danisha
rasa terharu sangat dengan tindakan spontan Aiman. “Mari ibu ajar abang hafaz
surah ni,” tutur Danisha sambil menyeka air matanya yang tiba-tiba sahaja sudah
bergenang.
“Tak
apalah ibu. Sebenarnya abang dah pandai dan dah hafaz pun…” ujar Aiman pula.
“Pulak?
Cuba baca, ibu nak dengar,” suruh Danisha untuk kepastian.
Aiman
terus membaca surah Al-Insyirah dengan lancarnya.
“Bagusnya
anak ibu, tapi kenapa ustazah tulis tak lancar?” tanya Danisha, pelik.
“Semasa
ustazah tanya, manalah abang tahu surah Al-Insyirah tu sama dengan surah Alam
Nasyrah. Lagipun kalau ustazah asyik tulis lancar aje, nanti ibu tak ajar
abang. Abang nak ibu dapat pahala jugak sebab ajar abang.”
Danisha
terdiam mendengar penjelasan Aiman. Memang dia tak sangka sungguh budak sekecil
Aiman boleh terfikir sampai begitu sekali. Sudahnya dia raih Aiman ke dalam
pelukan. Berkali-kali pipi si kecil diciumnya.
“Kenapa
abang ni baik sangat?” tanya Danisha kemudian merenggangkan pelukan. Tak pernah
dia rasa terharu dan sebak begini.
“Sebab
ayah abang baik dan selalu ajar abang yang baik-baik aje,” tutur Aiman.
“Boleh
tak kalau abang tak payah puji dan sebut ayah abang tu?” Tiba-tiba Danisha rasa
muak mendengar kata-kata pujian Aiman terhadap ayahnya.
“Ayah
abang memang baiklah, ibu…” puji Aiman lagi.
“Kalau
ayah abang baik, dia tak akan biarkan abang dan adik sampai tak ada orang nak
jaga.”
“Memanglah
sebab ayah abang tak tahu. Kalau ayah tahu, mesti sekarang ni dia sedang cari
abang dan adik,” terang Aiman mempertahankan ayahnya.
“Yalah
tu…” perlinya kemudian melemparkan pandangan ke arah balkoni.
“Kalau
ibu tak percaya, tak apalah tapi ayah abang memang baik.”
‘Aiman,
Aiman…’ keluhnya. Namun, sesuatu yang patut dia akui, kedua beradik ini memang
baik dan pandai mengambil hatinya. Pastinya kerana diasuh dari kecil, tetapi
tetap kena tinggal dan bagai anak terbuang pula.
Kadang-kadang
Danisha rasa geram juga apabila mengingatkan tindakan nenek mereka yang tidak
mahu menjaga cucu sendiri. Bukannya budak-budak ini menyusahkan pun. Biasalah
andai mereka bising dan bergaduh sesama sendiri semasa bermain. Andai baik
sahaja, memang bukan kanak-kanak normal namanya. Entah apalah cerita di sebalik
semua yang berlaku.
No comments :
Post a Comment