Sunday, January 12, 2014

Mas Kahwinku RM22.50: Bab 28

HARI Sabtu, Danisha pulang ke rumah orang tuanya di Batu Pahat. Sejak semalam lagi, ayahnya telah mengingatkan supaya balik juga walaupun tidak lama. Hendak tak hendak, terpaksa juga Danisha patuh kepada arahan ayahnya.

Pada asalnya dia mahu bertolak pada awal pagi supaya tidak kelam-kabut. Namun, akhirnya pukul 9.00 lebih juga baru dia bergerak. Sudahnya, dia tiba di Batu Pahat kira-kira pukul 1.30 petang.

Sewaktu sampai di rumah, Haji Ibrahim masih belum balik dari surau lagi. Umi yang menyambut kepulangannya berasa sangat gembira. Berkali-kali anak gadisnya itu dipeluk dan dicium.

Danisha terasa pelik juga, tetapi tidak tertanya. Dia sedar umi rindukan dirinya yang sudah lama tidak balik. Dia juga rindukan uminya walaupun sering bertanya khabar.

“Anak umi sihat?” tanya Hajah Rohani.Ayat biasa yang sering diutarakan.

“Macam nilah, asyik tak cukup makan aje,” guraunya kemudian tertawa.

“Ada-ada aje jawapan anak umi ni,” ujar umi yang kini telah memegang tangan Danisha pula.

“Sedapnya bau. Umi masak asam pedas ke?” tanya Danisha.Air liurnya memang sudah kecur.

“Mestilah umi masak makanan kegemaran anak kesayangan umi.”

Danisha bertambah terharu saat terpandang bekas yang berisi sambal ikan bilis di atas meja. Uminya telah siap-siap memasaknya untuk dibawa sebagai bekalan apabila pulang nanti. Bagai tahu-tahu sahaja yang anak gadisnya tidak rajin ke dapur.

“Nisha tak sabar nak makan lauk-lauk yang umi masak,” ujar Danisha yang terus sahaja membuka tudung saji. Ikan pari masak asam pedas memang menyelerakan. Di Sri Gombak, dia tidak berpeluang makan asam pedas yang sesedap masakan uminya.

“Tunggulah ayah balik dulu, boleh kita makan sama-sama,” ujar Hajah Rohani pula.

“Yalah. Nisha pun nak solat dulu,” beritahu Danisha, kemudian menuju ke bilik.

Ketika memasuki biliknya, dia berasa terharu sangat. Walaupun dia jarang balik ke kampung, umi tetap menjaga biliknya dengan baik. Cadar pun telah siap bertukar, malah langsung tiada habuk di biliknya.

Selesai bersolat, Danisha terus menuju ke dapur. Dia memang tidak sabar untuk merasa asam pedas kesukaannya. Umi dan ayahnya memang sudah berada di meja makan menunggunya.

“Laa… maaflah. Ayah dan umi terpaksa tunggu Nisha pulak,” ujar Danisha sambil menarik kerusi.

“Tak ada susah pun,” balas Hajah Rohani sambil menyenduk nasi ke pinggan Danisha. Danisha memang makan dengan berseleranya. Seronok sungguh dia melihatnya.

“Macam mana bekerja di syarikat Datuk?” Haji Ibrahim bertanya tentang kerjanya.

“Macam biasalah. Ada masanya sibuk jugak dan banyak kerja yang perlu disiapkan,” beritahunya.

“Yalah, kerja baik-baik di situ. Sekarang ni bukan mudah hendak bertukar tempat kerja,” nasihat Haji Ibrahim.

“Kalau ada peluang pun, Nisha takkan pergi. Tempat kerja sekarang dekat dengan rumah, tak adalah nak tempuh kesesakan jalan raya.”

“Tambahlah lagi.” Hajah Rohani bersuara apabila menyedari nasi di pinggan Danisha sudah tinggal sedikit.

“Nak tambahlah ni…” Danisha sudah tersenyum. Hari ini memang banyak dia makan.

Selesai makan dan menolong uminya berkemas, dia berbaring sahaja di bilik. Waktu yang ada dia gunakan untuk berehat sepuasnya.

Tadi, dia tunggu juga ayahnya membuka mulut namun hampa. Ingin terus bertanya tujuan ayahnya memanggil dia balik, tetapi berasa segan pula. Sudahnya, dia diamkan sahaja walaupun hati masih tertanya-tanya.

*****

SELEPAS solat asar, Haji Ibrahim memanggil Danisha untuk minum petang. Dia memang ada perkara yang hendak disampaikan kepada anak gadisnya itu. Dia sengaja tidak memberitahunya sewaktu makan tengah hari tadi. Takut anaknya itu terkejut dan tersedak pula.

“Ni ayah ada perkara mustahak nak beritahu Nisha,” sebut Haji Ibrahim sambil merenung lembut wajah anak gadisnya.

“Ayah nak beritahu pasal apa?” tanya Danisha yang sudah duduk berhadapan dengan ayahnya. Dadanya turut berdebar-debar.

“Sebenarnya, pada minggu lepas ada orang datang meminang anak gadis ayah ni,” beritahu Haji Ibrahim dengan tenang.

“Meminang? Siapa?” tanya Danisha terkejut. ‘Angin tak ada, salji tak ada, ada pulak lelaki nak meminang aku?’ desisnya. Dia memang terkejut sungguh, tetapi masih berlagak selamba.

“Katanya, dia dah lama kenal anak ayah ni. Sejak dari zaman kolej lagi,” beritahu Haji Ibrahim, membuka cerita pihak lelaki.

“Lelaki tu datang sendiri berjumpa ayah ke?” soal Danisha. Matanya memandang tepat ke wajah ayahnya yang tersenyum sahaja. ‘Kenal sejak kolej, siapa pulak?’ Dia tertanya lagi.

“Taklah, dia datang bersama pak cik dia,” beritahu Haji Ibrahim.

‘Huh! Siapalah lelaki yang berani itu?Orang lain merisik dahulu, baru meminang. Dia pulak terus meminang? Boleh datang sekali pulak tu!’ Danisha berbicara sendiri.

“Dengar tak, ayah cakap ni?” tanya Haji Ibrahim apabila Danisha tiba-tiba senyap pula.

“Siapa sebenarnya yang meminang tu?” Danisha memang hendak tahu sangat.

“Zaiful Nurhizam,” beritahu ayahnya.

“Zaiful Nurhizam?” soal Danisha balik. Dia memang tiada idea langsung siapa lelaki yang ayahnya maksudkan.

“Laa… dah kawan sekolej, takkan Nisha tak ingat pulak?” tanya Haji Ibrahim, sedikit terkejut dengan reaksi anak gadisnya.

“Oh, dia! Kenal... kenal…” Terpaksalah Danisha mengaku, padahal tidak pasti lagi siapa gerangannya. Sedaya upaya dia cuba mengingat kembali, namun masih buntu.

“Kamu setuju ke tidak?”

“Ayah ni… baru aje beritahu, terus nak tahu keputusan!” tingkah Danisha, tetapi dengan nada yang perlahan. Otaknya masih ligat berfikir.

“Tapi tulah, ayah pun rasa pelik jugak dengan si Zaiful ni,” kata Haji Ibrahim.

“Pelik pasal apa pulak?”

“Katanya dia dah lama tak berjumpa Nisha. Tapi, dia memang ikhlas hendak memperisterikan anak ayah ni secepat mungkin,” terang Haji Ibrahim. Bagi dirinya, walaupun pertama kali Zaiful datang ke rumah, dia memang sudah berkenan. Baik orangnya dan mempunyai pekerjaan yang bagus juga.

“Bagilah Nisha masa untuk buat keputusan,” balasnya. Pada saat ini, dia memang sudah tidak senang duduk.

“Satu lagi, dia akan setuju aje berapa pun hantaran yang pihak kita minta. Tapi, pasal mas kahwin dia hanya nak beri RM 22.50 aje,” beritahu ayahnya lagi.

“Hah! RM 22.50 aje?” Tersentak Danisha dibuatnya.

“Hish kamu ni, apa salahnya dengan mas kahwin tu? Lagi murah mas kahwin seorang gadis itu, lagi bagus dan berkat,” ujar Haji Ibrahim.

“Nisha tahulah. Tapi, takkan RM 22.50 aje? Macam nak main-main pulak.”

“Dia tak main-main. Dia hanya ikut mas kahwin yang dia pernah sebutkan kepada Nisha semasa di kolej dulu,” sangkal Haji Ibrahim.

“Ada-ada saja si Zaiful ni,” sungutnya.‘Ingat aku ni teruk berbenar ke, sampai banyak tu aje mas kahwin yang dia nak bagi?’ Sempat juga Danisha mengomel di dalam hati. Jumlah itu memang boleh buat dia berangin satu badan.

“Ayah sampaikan aje, terpulanglah kepada Nisha untuk buat keputusan.”

“Nilai mas kahwin negeri Johor memang RM 22.50 ke?” tanya Danisha bagai tidak berpuas hati pula. Padahal, dia belum beri persetujuan lagi.

“Betullah tu, tapi boleh aje kalau nak tambah atau tukar dengan benda lain. Ikut budi bicara dan persetujuan bersamalah,” terang Haji Ibrahim.

“Ya ke?” balasnya.Tidak tahu pula dia pasal hal itu.

“Pada ayah, jumlah itu tak ada salahnya,” jawab Haji Ibrahim pula.

Danisha diam semula. Tidak tahu hendak membalas apa. Bagi dirinya, melampau sangatlah kalau mahu beri sebanyak itu sahaja.

“Ini cincin tanda yang dia beri. Nisha peganglah dulu. Kalau anak ayah setuju, kira cincin tu jadi cincin tunang terus,” ujar Haji Ibrahim sambil menghulurkan kotak baldu kepada Danisha.

“Ada pulak macam tu? Tak pernah dibuat orang!” sungut Danisha, tetapi tetap menyambut kotak cincin yang dihulurkan. ‘Cantik!’ detiknya sewaktu membuka kotak itu.

“Dia saja buat begitu sebab bukan senang dia hendak datang lagi ke sini,” terang Haji Ibrahim.

“Tengoklah macam mana,” balas Danisha.

“Asyik belek aje cincin tu, cubalah pakai,” suruh ayahnya.

Dalam malu-malu, Danisha menyarung cincin itu ke jari manisnya.

“Hmm… memang padan dan sedang elok aje di jari anak ayah. Ke Nisha memang sama-sama beli cincin tu dengan dia?” usik Haji Ibrahim.

“Mana ada?” Cepat sahaja Danisha menafikannya.

“Mana nak tau? Orang sekarang panjang aje akal dia bila tiba bab-bab begini.” Senyuman di bibir Haji Ibrahim semakin melebar.

“Anak ayah takkan buat macam tulah!” sangkal Danisha sambil cuba menanggalkan cincin itu.

“Kenapa pulak dengan kamu ni?” tanya Haji Ibrahim sebaik perasan wajah Danisha yang sudah berubah.

“Apasal tiba-tiba ketat pulak?” Danisha masih cuba menanggalkan cincin itu, tetapi tetap tidak berjaya.

“Hmm… maknanya cincin tu dah jumpa tuannya. Anak ayah terima ajelah. Terang-terang cakap, ayah memang berkenan dengan si Zaiful ni untuk dibuat menantu,” ujar ayahnya. Kemudian tertawa pula melihat anaknya yang masih berusaha menanggalkan cincin di jarinya.

“Ayah ni… tolonglah,” rayu Danisha.

“Tak payah susah-susah nak tanggalkan. Jari tu pun macam tau-tau aje cincin tu adalah miliknya,” sakat Haji Ibrahim lagi.

Sudahnya Danisha berlari ke dapur. Dia menyapu tangannya dengan cecair pencuci pinggan agar cincin mudah dilucutkan.

“Ya ALLAH! Apa kena dengan cincin ni?” keluh Danisha. Jarinya sudah merah, namun cincin masih tidak dapat dilucutkan kerana tersekat di ruas jari.

“Dah tanggal?” tanya Haji Ibrahim yang turut menuju ke singki.

Danisha menggeleng.

“Kalau macam ni gayanya, ayah memang dah tahu keputusan apa yang patut ayah berikan,” ujar Haji Ibrahim kemudian terus ketawa lagi.

“Ayah ni teruklah!” jerit Danisha.Geram dia dengan gelagat ayahnya.

“Dahlah tu. Rasanya sampai tahun depan pun cincin tu takkan lucut jugak. Ayah terima ajelah pinangan Zaiful ni.” Tidak habis-habis Haji Ibrahim menyakat anaknya.

Danisha sudah terduduk di tepi singki. ‘Hantu betul! Cincin apa yang lelaki itu bagi sampai tak boleh tanggal langsung?’ Danisha memang geram sungguh.

Kini, dia sudah duduk di kerusi makan. Jarinya bukan sahaja sudah merah, malah sudah membengkak pula. Akhirnya dia mengalah. Dia tidak lagi mencuba untuk menanggalkan cincin itu.

Tiba-tiba dia teringat isu mas kahwin tadi. ‘Apa pasal lelaki itu beria-ia hendak beri RM22.50 jugak?’ Hatinya berbicara. Saat itu, baru dia teringat sesuatu.

‘Zaiful ini mesti ada kena-mengena dengan abang senior yang suka mengusik aku dulu. Ya, tidak salah lagi!’ Hanya lelaki itu yang terbayang di ruang mata Danisha ketika ini.

Tidak semena-mena, kenangan pahit manisnya sewaktu di kolej terimbau kembali. Satu-satu menerjah dan terpapar di ruangan mata. Wajah-wajah yang sudah lama dilupakan perlahan-lahan muncul menggamit memori.

YOUR SINCERELY:

SAFIE MOKHTAR


No comments :

Post a Comment