DANISHA
menanti kedatangan Sofi dengan harapan menggunung. Dia sudah tidak sanggup
menahan rindu yang tidak tertanggung. Berada di rumah buat dia terkenangkan
memori bersama Aiman dan Aishah.
Di
pejabat, dia memang tidak dapat memberi sepenuh tumpuan terhadap kerjanya.
Akhirnya, dia terpaksa juga mengambil cuti. Buat apa dia datang ke pejabat,
andai hanya melangut di tempatnya.
Begitupun,
dia tidak boleh terlalu kerap mengambil cuti. Sekarang ini dia bekerja dengan orang,
bukan bekerja sendiri. Andai dia kerap mengambil cuti dan prestasi kerja menurun,
dia juga yang kena tanggung risikonya.
Memang
dia boleh mencari kerja di tempat lain, namun pasti sahaja tidak sama.Nanti dia
juga yang terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana baru. Itu pun, belum tentu tempat
baru itu kena dengan jiwanya.
“Macam
mana?” tanya Danisha sebaik Sofi muncul di muka pintu apartmennya.
“Aku
dah berjumpa dengan peguam tu. Lelaki tu pun ada sama,” beritahu Sofi sambil menanggalkan
kasutnya.
Dia
terpaksa juga pergi ke pejabat peguam itu demi sahabat yang seorang ini. Tidak diturutkan,
merana pulak si Danisha ini. Dia pun tidak tahan apabila Danisha asyik
merayu-rayu kepadanya.
“Lelaki
tu cakap apa?” Tidak sabar-sabar pula Danisha hendak tahu.
“Kut
ya pun, bagilah aku duduk dulu. Buatkan air untuk hilangkan dahaga aku ni,”
tegur Sofi yang sedikit rimas dengan Danisha yang asyik bertanya. Kalah orang
yang mati laki!
“Maaflah
tapi air untuk kau, aku memang dah siap-siap buat.” Danisha termalu sendiri. Kemudian
segera menghidangkan air minuman kepada Sofi.
Sofi
hanya tersenyum melihat gelagat sahabatnya yang seorang ini. Gaya penampilan
dan tindakan selalunya brutal. Begitupun, apabila bab-bab begini, mengalahkan kucing
hilang anak. Mengiau-ngiau, tidak henti-henti!
“Apa
ceritanya?” Danisha bertanya setelah memberi ruang untuk Sofi berehat dan
menghirup air oren yang telah dia sediakan.
“Kalau
kau nak bersama dengan budak-budak tu, boleh aje diuruskan,” beritahu Sofi
dengan gaya selambanya. Bagaikan masalah Danisha dapat diselesaikan dengan
begitu mudah sahaja.
“Betul
ke apa yang kau cakap tu?” Wajah Danisha sudah berubah ceria.
“Ya,
tapi ada syaratnya.”
“Apa
pun syaratnya, aku setuju aje.” Pantas sahaja Danisha memberi persetujuan.
“Kau
ni… aku tak sebut lagi apa syaratnya, kau main setuju pulak,” marah Sofi.
‘Memang Danisha ini sudah terdesak sungguh!’ desisnya.
“Apa
syaratnya?” Danisha pantas bertanya. Dia memang duduk dekat-dekat dengan Sofi.
“Kahwin
dengan ayah budak-budak tu,” terang Sofi, kemudian ketawa di hujung
kata-katanya.
“Itu
kerja gila namanya! Kenal pun tak, alih-alih ajak berkahwin?Tak naklah aku kalau
macam tu.” Terus merudum harapan Danisha.
“Tadi
bukan main nak setuju aje,” tempelak Sofi sambil menggeleng. Kadang-kadang dia
pun tidak faham dengan sahabatnya yang seorang ini.
“Yalah,
takkan sampai kena ikut syarat mengarut tu?” tingkahnya.
“Kau
nak ke tidak?” soal Sofi pula.
“Payahlah
kalau kena berkahwin pulak,” keluh Danisha. Muka yang tadinya ceria semacam,
kini memang telah mencuka pula.
“Hmm...
yang bagusnya, tawaran lelaki tu tiada tarikh luput!” tambah Sofi lagi.
“Syarat
yang mengarut, memanglah tak ada tarikh luput. Saja nak kenakan akulah tu.”
Danisha sudah mengeluh panjang.
“Dia
bukan nak kenakan kau. Itu aje caranya supaya kau dan dia sama-sama boleh
menjaga budak-budak tu. Tak adalah yang bising dan menyibuk,” terang Sofi.
“Alah,
mesti ada cara lain.”
“Itu
anak dia dan dah jadi tanggungjawab dia untuk jaga budak-budak tu. Dulu, dia
dah kehilangan mereka. Apabila dah berjumpa, mestilah dia tak nak berpisah
lagi.” Sofi cuba membuat Danisha faham situasi lelaki itu.
“Amboi,
hendak pulak lelaki tu bercerita dengan kau.” Danisha berasa pelik pula
mendengarnya.
“Dah
aku bertanya, mestilah dia bercerita. Lupa pulak aku, dia kirim salam dengan
kau. Dia pun nak ucap banyak-banyak terima kasih sebab jaga anak dia selama
ini.”
“Terima
kasih aje ke? Yang aku berhabis jaga anak dia, tak nak hulur pulak,” balasnya
geram.
“Tahi
hidung masin betullah kau ni. Kata ikhlas jaga budak-budak tu, sekarang
ungkit-ungkit pulak.” Naik pening Sofi dengan sahabatnya ini.
“Paling-paling
pun, bagilah aku jaga budak-budak tu setiap hujung minggu atau semasa cuti
sekolah ke.” Danisha meluahkan keinginannya. Dapat berjumpa pada hujung minggu
pun sudah cukup baginya.
“Aku
ada cakap, tapi dia tak setuju. Kau tu duduk sorang-sorang, bahaya katanya.
Lagipun dia risaukan keselamatan anak-anaknya.”
“Sekarang
baru lelaki tu nak risau?” tanya Danisha dengan perasaan bengang.
“Suka
hati kaulah nak cakap apa pun. Tapi kan, aku rasa kau patut pertimbangkan
tawaran lelaki tu,” cadang Sofi dengan senyuman meniti di bibirnya.
“Pertimbangkan?
Baik tak payah kalau begitu gayanya,” balas Danisha.
Hening
seketika antara mereka. Sofi sambung menghirup air orennya. Tekak dia haus
kembali apabila asyik bercakap tanpa henti.
Danisha
pula melemparkan pandangan ke banjaran Titiwangsa. Mujur semua banglo dan rumah
semi D yang dibina di Vila Kristal Heights hanya tiga tingkat. Dapatlah dia menikmati
pemandangan hijau melalui balkoni apartmennya. Andai apartmen juga yang
tersergam di situ, memang tiada apa yang indah dipandang.
“Aku
sebenarnya bukan mahu mengada-adakan cerita, tapi ayah budak-budak tu memang
handsome gila…” beritahu Sofi. Dia memang ingin melihat reaksi Danisha yang
telah bermuram durja.
“Handsome,
tapi gila buat apa?” Danisha berasa geram pula dengan telatah Sofi. Dalam keadaan
dia tertekan begini, lagi mahu mengusiknya.
“Kau
sendiri jugak yang cakap, wajah dan senyuman Aiman cukup manis. Kalau anak dia
dah buat kau tertawan, ayahnya pasti buat kau tertambat!” gurau Sofi lagi.
Namun, tidak dinafikan lelaki itu memang kategori sedap mata memandang.
“Buat
apa muka lawa, kalau sebelum ini tak ambil berat pasal anak sendiri?” bidas
Danisha pula.
“Mana
tau, dulu bini dia yang bawa lari anak-anak dia? Kan aku dah cakap yang dia
terpisah dengan anak-anak dia,” balas Sofi pula.
“Entah-entah,
kau yang reka cerita nak sedapkan hati aku,” ujar Danisha pula.
“Kau
terima ajelah tawaran ayah budak-budak tu.Lagipun, kau kan nak bersama mereka?”
cadang Sofi. Melihat keadaan sahabatnya itu, dia tahu Danisha terlalu rindukan Aiman
dan Aishah.
“Ini
soal hati dan perasaan. Berkahwin nanti, aku kena taat dan sayang suami aku.
Perasaan itu kena ada sebelum berkahwin lagi. Kalau tak, terseksa jiwa dan raga
aku. Tambah parah kalau aku sayang pada yang lain,” luah Danisha.
“Kejap,
kau sayang pada orang lain? Siapa?” Pantas Sofi bertanya. Dia memang pantang
kalau terdengar Danisha sukakan sesorang. Mesti dia mahu tahu juga.
“Aku
cakap aje. Mana ada aku sayangkan sesiapa.” Segera Danisha menafikan.
“Kau
jangan nak berahsia dengan aku pulak,” ujar Sofi yang sudah mula mengesyaki
sesuatu.
“Mana
ada?” nafinya.
“Baik
kau cakap cepat. Siapa orangnya? Pak naga ke?” Sofi cuba serkap jarang.
“Tak
adanya aku nak suka kat dia.” Cepat sahaja Danisha menafikan.
“Sudahnya
dia jugak yang kau suka.Kalau Iman dan Rani tahu, mahu dia orang gelakkan kau!”
Sofi sudah tertawa.
“Eh!
Masa bila pulak aku kata sukakan pak naga tu? Kau jangan nak memandai pulak.”
Danisha sudah gelabah.
“Hmm…
mulut memang boleh menafikan, tapi aku dapat rasakan yang kau memang suka dekat
pak naga tu,” balas Sofi kemudian sambung ketawa.
Dia
bukan budak kecil yang tidak tahu apa-apa. Wajah Danisha memang tidak bereaksi
seiring dengan apa yang dia ucap. Nampak sangat dia cuba berselindung.
“Kau
ni pandai aje,” sangkal Danisha lagi.
“Aku
kenal kau bukan baru Nisha. Sejak zaman kolej lagi.Apa rahsia kau yang aku tak
tahu?”
Danisha
senyap lagi. Memang Sofi tahu banyak perkara pasal dirinya. Pada Sofilah tempat
dia berkongsi cerita dan masalah selain umi dan ayahnya. Begitupun, pasti
sahaja ada yang disembunyikan dan dirahsiakan.
Andai
sahabatnya itu pandai meneka apa dalam hatinya, memang hebat sungguhlah si Sofi
ini. Tapi, rasanya dia memang tidak tahu rahsia hati yang tidak pernah
diluahkan kepada sesiapa pun.
“Termenung
pulak dia. Apa keputusan kau?” tanya Sofi sambil menepuk bahu Danisha.
“Kau
ingat, pasal nikah kahwin ni boleh jawab sekarang jugak ke?” marahnya.
“Tapi
jangan fikir lama-lama pulak walaupun tak ada tarikh luput. Dibuatnya ayah
budak-budak tu jatuh cinta dengan gadis lain, melepas pulak kau. Tak pun
terpaksa jadi isteri kedua pulak.”
“Kau
ni… sengaja nak buat aku tension!”Danisha sudah berasa tidak senang. Sofi bagai
sengaja mendesaknya agar segera membuat keputusan.
“Benda
ni sebenarnya mudah aje.Kalau kau kahwin, selesai masalah. Yang nak fikir pasal
hati dan perasaan tu buat apa? Cuba tengok orang dulu-dulu, elok aje walaupun tak
pernah bercinta sebelum berkahwin.”
“Kau
cakap senanglah, sebab kau tu dah berkahwin,” balas Danisha pula.
“Susah-susah,
kau suruh aje ayah kau cari calon. Lepas tu proses anak sendiri, lagi puas hati.
Tak ada sesiapa nak berebut anak selepas ini,” ujar Sofi.
“Kau
ni… ke situ pulak?”
“Dah
budak-budak tu memang bukan anak kau, buat apa kau nak susah-susah
fikir?Lama-lama nanti, budak-budak tu pun dah tak ingatkan kau lagi.”
“Budak-budak
tu lain, tau tak? Aku tak pernah sayang orang lain macam aku sayang dia orang.”
Danisha meluahkan apa yang dirasa kepada Sofi.
“Berapa
kali aku nak cakap? Kau sayang macam mana pun, tetap anak orang. Kau upahlah
peguam paling hebat sekalipun, kau takkan berjaya rebut daripada lelaki tu.”
“Aku
bukan nak berebut dengan ayah dia.Aku cuma nak tolong jaga.”
“Jadi,
apa keputusan kau sebenarnya?”Bingung Sofi kalau begini gaya Danisha.
“Tengoklah
macam mana,” ujar Danisha sambil mengeluh berat.
Hati
dan perasaan bukan boleh dipaksa. Andai berkahwin tanpa apa-apa rasa di hati, apalah
maknanya? Danisha berbicara sendiri.
“Cinta
dan kasih itu, boleh dipupuk. Andai sudah berkahwin dan ada yang jadi pengikat
hubungan, aku rasa tiada masalah.” Sofi memberi pendapat peribadinya setelah
mereka berdua menyepi seketika.
Danisha
cuba merenung kata-kata sahabatnya itu. Memang ada benarnya, tetapi dia tidak sanggup
mempejudikan nasibnya dengan berkahwin dengan orang yang tidak dikenali.
“Dahlah
Nisha! Daripada aku melayan kau, baik aku balik. Anak-anak aku pun dah menunggu
di rumah tu.” Akhirnya Sofi bangun setelah menghabiskan air minumannya.
“Habis
tu macam mana sekarang ni?” tanya Danisha lagi.
“Lagi
nak tanya? Cepat-cepat kahwin dan proses anak sendiri!” usik Sofi lagi.
Danisha
segera menutup pintu sebaik Sofi keluar dari apartmennya. Geram sungguh dia
dengan telatah Sofi.
No comments :
Post a Comment