Sunday, January 12, 2014

Mas Kahwinku RM22.50: Bab 26

SEPERTI biasa, selepas mandi dan bersolat, Danisha segera memasak air. Sementara menunggu air mendidih, dia menyapu roti dengan myonis. Dia buat beberapa keping, kemudian memasukkannya ke dalam bekas.

Sebaik air mendidih, dia bawa ceret ke bilik air dan tuang ke dalam baldi. Begitulah rutin hariannya setiap pagi. Andai dia tidak sempat hendak membuat bekalan, dia beli sahaja kuih ataupun nasi lemak.

“Aiman, bangun sayang. Kita nak pergi sekolah ni,” panggilnya.

Danisha masih di bilik air. Tangannya dicelup ke dalam baldi untuk merasai suhu air setelah memasukkan air paip. Dia kena pastikan airnya dalam keadaan suam sahaja.

“Aiman… jangan buat ibu lambat pergi kerja,” bebelnya lagi.

Tiba-tiba, Danisha perasan sendiri.‘Ya ALLAH! Kenapa dengan aku ni?’ Saat itu juga dia berasa sedih sangat. Dia segera keluar dari bilik air. Hampir sahaja dia terhantuk ke pintu.

Saat terpandang jubah Aiman yang tergantung di pintu almari, lagi membuat dia berasa sebak. Dia memang tidak dapat menahan rasa rindu kepada Aiman dan Aishah. Tidak sangka rutin hariannya sebelum ini tetap dilakukan. Bagai terlupa mereka sudah tiada di sisi.

Akhirnya, dia duduk di sofa. Rasa rindu kepada budak-budak itu semakin parah. Padahal, baru kelmarin sahaja mereka berpisah. Semalam, dia tidur ditemani bantal peluk Aiman dan teddy bear Aishah. Sekejap dia memeluk bantal, sekejap memeluk teddy bear pula.

Baru kini dia sedar, bagaimana rasanya apabila berjauhan dengan orang disayangi. Lebih teruk, dia tidak akan dapat bersama budak-budak itu lagi. Saat ini, kerinduan Danisha terhadap mereka semakin menebal.

Apabila teringat gelagat manja Aishah, lagi buat dia bertambah sebak. Walaupun masih kecil, sebenarnya Aishah lebih beranidaripada Aiman. Mereka berdua suka berlakon dan meniru dialog cerita upin ipin yang popular itu. Aishah cukup pandai meniru watak Mei Mei. Tiba-tiba, terukir jua senyuman di bibirnya.

‘Dapat ke aku ulang waktu itu kembali?’Dia tertanya di dalam hati. Kadang-kadang, dia marahkan budak-budak itu apabila asyik bergaduh ketika bermain.Apabila budak-budak itu diam sahaja, dia risau pula. Takut ada yang tidak kena dengan mereka.

Apabila sudah tidak tahan, Danisha cuba menelefon Sofi. Dua, tiga kali dia mendail, baru panggilannya berjawab.

“Helo, ada apa telefon aku pagi-pagi ni?” tanya Sofi sebaik menyedari Danisha yang menelefonnya.

“Nanti kau beritahu bos, aku ambil cuti kecemasan hari ni,” beritahu Danisha.

“Apasal suara kau lain aje? Kau sakit ke?”

“Aku rasa macam nak demam,” beritahu Danisha lemah.

“Larat tak nak pergi klinik?” tanya Sofi, sedikit cemas. Risau pula dengan keadaan sahabatnya.

“Doktor pun tak boleh ubat penyakit aku ni…” beritahu Danisha dengan sedih.

“La… ini mesti pasal Aiman dan Aishah. Kau ni dah teruklah Nisha.”

“Nak buat macam ni?”

“Aku dah pernah cakap dengan kau.Anak orang tetap anak orang. Sebanyak mana pun kau sayangkan mereka, takkan jadi anak sendiri.”

“Kau tolong aku, Sofi. Aku betul-betul rindukan mereka,” rayu Danisha.

“Tengoklah macam mana. Nanti aku tanya peguam ayah budak-budak tu. Mana tau ada caranya.” Sofi memberi sedikit harapan kepada sahabatnya.

“Tolong ya, aku dah tak boleh tahan. Apa saja yang aku buat dalam rumah ni, pasti terbayangkan mereka,” pohon Danisha.

“Tak fahamlah aku dengan kau ni. Susah-susah, kau kahwin ajelah! Buat anak sendiri, habis cerita.” Sudahnya Sofi buat lawak bodoh pagi-pagi begini.

“Kau ni… ada ke cakap macam tu?”

“Dah susah sangat, baiklah berkahwin dan bina keluarga sendiri. Buat apa nak kenang-kenang lagi anak orang tu?” saran Sofi.

“Kau tak tahu perasaan aku,” tutur Danisha. Dia masih dengan rasa sedihnya.

“Aku pun ada anak Nisha…” balas Sofi.

“Kau lain!” sangkal Danisha.

“Memanglah lain. Kau tu aje yang tak nak kahwin-kahwin,” komen Sofi.

“Jangan lupa beritahu bos. Nanti aku nak tutup telefon aje. Malas nak jawab panggilan daripada sesiapa pun.” Danisha mengingat Sofi.

“Okeylah, kau rehat aje di rumah tu. Nanti aku beritahu pak naga yang kau sakit tenat! Tengok apa reaksi dia…” usik Sofi, kemudian terus ketawa.

“Suka hati kaulah!” balas Danisha kemudian terus mematikan telefonnya.

*****

TIBA-TIBA Danisha berasa terlalu sepi dan sunyi. Ingin sekali meluahkan segala rasa di hati, tetapi tidak mampu. Mahu berbicara, tetapi tiada sesiapa di sisi.

Akhirnya, Danisha memandang sepi pokok bunga yang kian layu. Saat itu juga baru dia tersedar, rupanya sudah beberapa hari dia tidak menyiramnya.

Dia bingkas bangun untuk segera menyiramnya. Pokok bunga itu adalah pokok kesayangannya. Budak-budak dua orang itu yang menemaninya ketika pergi ke nurseri di Sungai Buloh. Pokok itu juga selalu berbunga walaupun dia jarang meletakkan baja.

Selalunya, dia akan suruh Aiman tolong siramkan. Air minuman Aiman yang tidak habis, disuruhnya tuang ke dalam pasu bunga. Danisha memang sentiasa memastikan Aiman membawa air masak yang baru ke sekolah.

Tidak semena-mena, dia berasa sedih mengingatkan cerita Aiman. Setiap hari, kawan-kawannya sentiasa membawa air yang berlainan ke sekolah. Andai bukan air milo, pasti air oren ataupun air ribena. Dia pula, setiap hari hanya membawa air kosong.

Danisha selalu memujuknya dengan berkata, air kosonglah yang paling baik untuk kesihatan. Seperti selalu, anak itu memang tidak akan membantah dan setia dengan air kosongnya. Tidak kisah walau tiada kawan sekelas yang mahu berkongsi minuman dengannya.

Saat ini, kenangan bersama Aiman dan Aishah menghambatnya lagi. Dia memang selalu meluahkan perasaan hatinya kepada Aiman. Walaupun tidak mengerti sangat, anak itu tetap setia menjadi pendengar. Tetap sudi mendengar keluhannya.

Kini, tiada lagi yang akan mendengar dia berceloteh. Dia memang rindu sungguh dengan Aiman dan Aishah. Kenangan bersama mereka sudah tinggal sejarah. Ketika ini, diri sendiri yang bercakap, diri sendiri juga yang menjadi pendengar!

*****

SEMINGGU selepas perpisahan itu, Danisha masih lagi tidak dapat menerima kenyataan. Dia terlalu rindu dengan budak-budak itu. Terasa kosong dan sunyi hidupnya. Dia tidak pasti sampai bila dia harus begini.

Tiada lagi tazkirah daripada Aiman, ustaz kecil kesayangan. Tiada juga omelan dan bebelan si kecil, Aishah. Kehadiran kedua insan ini, benar-benar telah mengubah hidupnya. Ia membuat dia lebih menghargai orang di sekeliling.

Persepsinya terhadap sesuatu perkara juga terarah kepada yang lebih positif. Budak yang kecil, tidak semestinya cetek akalnya. Orang dewasa pula, belum tentu matang pemikirannya.

Perpisahan dengan mereka pula, menyedarkan dirinya yang dia sebenarnya tidak bisa hidup sendiri. Untuk meneruskan hidup, masih memerlukan sokongan dan dorongan keluarga dan rakan-rakan.

Saat ini, dia cuba membuang perasaan rindunya dengan menyibukkan dirinya dengan kerja. Cuba melupakan kenangan bersama mereka, namun tetap tidak mampu melakukannya. Apabila terdetik, teringat dan terkenang juga.

*****

“AWAK okey ke, Nisha?” Tiba-tiba, seseorang menyapanya. Danisha menoleh ke arah empunya suara yang menegurnya. Terkejut dia, apabila mendapati Encik Hisham berdiri berhampiran mejanya.

“Err… saya okey,” jawabnya sambil menundukkan kepalanya.

Sekelip mata dadanya kian berdebar-debar. Dia juga berasa tidak selesa apabila terus-terusan diperhati dan direnung Encik Hisham.

“Tapi, saya tengok awak seperti ada masalah sahaja.” Hisham cuba mengorek.

“Saya okey. Encik Hisham nak saya buat apa-apa ke?” tanya Danisha, sekadar berbahasa membuang debaran di hati.

“Tak, saya datang ke sini sebab saya tengok awak asyik mengelamun dan macam risaukan sesuatu.”

“Tak ada apa-apalah. Saya cuma rasa penat sikit.” Danisha beralasan.

“Hmm… Anak buah awak sihat?” tanya Hisham lagi.

Danisha terdiam dan bagai tidak mendengar pertanyaan bosnya. ‘Kenapalah saat diri sedih begini, dia bertanya pula?’ detiknya dalam hati.

“Danisha?” panggil Hisham sekali lagi sambil mengetuk mejanya.

Danisha terkejut. “Hah? Mereka okey dan baik-baik aje.” Terpaksa dia berbohong.

Bagi dirinya, biarlah Encik Hisham tidak tahu apa yang terjadi sebenarnya. Lagipun, perlu apa dia hendak ambil berat tentang budak-budak itu?

“Saya tak tahu apa masalah awak. Kalau awak rasa tak sihat, esok ambil saja cuti,” saran Hisham pula kemudian terus beredar.

Danisha hanya tersenyum sendiri mendengar saranan bosnya.Cuti tidak akan menyelesaikan masalahnya. Dia perlu berjumpa dengan Aiman dan Aishah untuk melepaskan rindunya.

Dia memandang meja sebelah yang kosong. Teman berboraknya tiada di tempatnya. Si Rani, pengunjung tetapnya pada setiap pagi juga tidak muncul.

Dia ingin sekali melihat, tetapi tiada siapa yang muncul. Ingin sekali mendengar, tetapi tiada siapa yang mahu berbicara. ‘Adakah aku yang tiba-tiba rabun atau telinga aku yang tiba-tiba tersumbat? Kenapa ofis ini bertukar sepi? Mana perginya Rani Mukerji? Mana Iman yang sentiasa menemani?’ Hatinya tertanya-tanya.

Seketika baru dia teringat. Patutlah geng-geng bergosipnya tiada, rupa-rupanya mereka berkursus dua hari. Dia yang sudah tiada moodhendak memulakan tugas, terpaksa mencari semangat yang hilang.

Andai Encik Hisham sudah datang menegurnya, situasinya memang sudah parah. Dia mengeluh sambil memandang fail dan dokumen yang ada di atas mejanya.

Semakin hari, semakin bertambah kerja yang tertangguh. Semuanya perlu diselesaikan dalam masa yang ditetapkan. Perlahan-lahan, dia memulakan tugasnya. Terasa seperti tidak tahu pula apa kerja yang mana patut didahulukan.

*****

SELEPAS makan malam, Danisha termenung lagi. Kenangan bersama Aiman dan Aishah masih mengintai dan menjerut rasa. Dia tidak boleh terus begini.

Sesuatu perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini dengan segera. Sekurang-kurangnya, dia boleh mencuba nasib. Siapa tahu, ayah budak-budak itu tergerak hati memberi peluang kepadanya berjumpa dengan mereka.

Tanpa berlengah, dia terus menelefon Sofi. Sahabatnya itu kena juga membantu. Dia memang tiada orang lain yang boleh diharapkan.

“Hmm… ada apa telefon aku ni?” tanya Sofi.

“Boleh tak kau berjumpa dengan peguam dekat Bangsar tu?” Danisha terus kepada hajatnya.

“Apa lagi ni?” keluh Sofi.

“Aku nak sangat berjumpa dengan budak-budak tu. Kau tolonglah berbincang dengan peguam tu,” rayunya.

“Kau ni… macam-macam!” sungut Sofi.

“Kau tolonglah aku. Sekali ini aje. Lepas tu, aku takkan kacau kau lagi.”

“Kau nak aku buat apa?”

“Kau tolong tanyakan, boleh tak aku nak berjumpa dengan budak-budak tu. Lagi satu, kalau boleh aku nak jaga dia orang ni. Setiap hujung minggu pun jadilah.”

“Amboi, banyak pulak permintaan kau ni!”

“Bolehlah…” rayu Danisha.

“Tengoklah macam mana. Tapi, aku tak janji permintaan kau tu akan tertunai,” balas Sofi.

“Terima kasih Sofi. Jasa kau akan aku kenang sampai bila-bila,” ucap Danisha.

“Hmm… sama-sama,” balas Sofi.

Danisha berasa amat lega apabila Sofi mahu membantunya. Kemudian, dia terus menuju ke balkoni. Seperti selalu, dia mahu mengambil angin di situ. Juga mahu melepaskan rasa rindu yang walang pada angin lalu.

Dia melontarkan pandangan ke arah ibu kota. Selepas itu, ke arah Vila Kristal Heights pula. Tiba-tiba, dia ternampak kelibat kanak-kanak seakan melambai-lambai ke arahnya. Perasaan hatinya seperti Aiman dan Aishah. Dia memang tidak dapat melihat dengan jelas.

Walaupun dia tidak memakai cermin mata, namun penglihatannya pada waktu malam memang terbatas juga. Apabila dia perhatikan sekali lagi, tiada pula kelibat orang di situ. ‘Adakah aku tersalah tengok kerana terlalu rindu kepada mereka? Sampai lampu bollard di halaman rumah orang, kusangkakan Aiman dan Aishah?’

Danisha tidak tahu kenapa susah sangat membuang perasaan yang bertandang ini. Dia betul-betul tidak sangka. Ketika ini, dia mengalahkan orang putus cinta pula!

YOUR SINCERELY:

SAFIE MOKHTAR


No comments :

Post a Comment