MATA
Danisha tidak lepas dari terus memerhati Aiman dan Aishah. Mereka berdua begitu
gembira dapat bermain di gelongsor. Kedua beradik itu memang jarang dapat
bermain bersama rakan yang lain. Danisha memang tiada masa hendak membawa
mereka ke taman permainan.
Ketika
ini, Danisha tidak pasti apakah dia mampu meneruskan hidup ini tanpa mereka di
sisi. Sedih di hatinya memang tidak terkira, tetapi terpaksa disembunyikan.
Lebih
kurang lima bulan dia membesarkan mereka, selama itu juga dia merasa hidupnya
lebih bererti. Memang pada awalnya tunggang-langgang juga dia dibuat
budak-budak itu. Tetapi, mereka jugalah yang sentiasa mewarnai dan merceriakan
hidupnya.
Rasa
seperti cepat benar masa berlalu. Masih teringat saat pertama kali memandang
Aishah dan menyuapkan nasi ke mulut si kecil. Juga mengajar Aiman mengaji
walaupun bukan setiap malam. Kenapa semua itu terpaksa dia lepaskan begitu
sahaja?
“Kau
tak beritahu budak-budak tu lagi ke?” Sofi bertanya perlahan.
Melihat
keceriaan Aiman dan Aishah, dia dapat rasakan sesuatu. Budak-budak itu bagai
tidak tahu mereka akan berpisah dengan Danisha.
“Aku
tak sampai hati dan tak sanggup beritahu mereka!” tutur Danisha dengan sedih.
Dia
membuang pandang ke arah lain, kemudian meraup wajahnya. Air mata hanya tunggu
empang pecah sahaja. Sedaya upaya cuba ditahan agar tidak menitis.
“Kau
okey ke?” tanya Sofi sambil memegang tangan Danisha dengan eratnya.
Bukan
dia tidak tahu sahabatnya itu amat menyayangi bebudak itu. Kalau dia di tempat
Danisha, tidak dapat dia bayangkan. Walaupun sahabatnya itu bukanlah kategori
yang lemah lembut, dia tetap mempunyai naluri keibuan yang sama seperti wanita
lain.
“Entahlah,
malam tadi pun aku tak tidur langsung. Aku takut tak puas tengok wajah Aiman
dan Aishah,” jawabnya dengan sebak. Tiba-tiba, dia rasa hendak bawa lari sahaja
budak-budak itu.
Sofi
tidak terkata mendengarnya dan hanya mampu mengeluh. Kasihan dengan Daniha,
tetapi tidak mampu hendak berbuat apa-apa. Ayah bebudak itu ternyata lebih
berhak dan tidak boleh disangkal lagi.
“Nanti,
kau jangan lupa suruh peguam tu pesan dekat ayah bebudak tu tau,” sebut Danisha
perlahan.
“Kau
ni… nak pesan apa lagi?” tanya Sofi sambil menggeleng.
“Kalau
Aiman demam, pakaikan dia sarung kaki. Walaupun badan dan kepala dia panas,
tapi kaki dia akan sejuk dan akan naik bengkak-bengkak,” Danisha mengingatkan
lagi.
“Ya,
aku ingat,” balas Sofi. Sebelum ini dia memang sudah diingatkan pasal hal itu.
“Jangan
lupa pulak,” ulang Danisha lagi sambil memerhati Aiman dan Aishah yang asyik
bermain dengan riangnya.
“Aku
rasa kau ni dah parahlah! Hari-hari membebel pasal bebudak tu buat kau tak
cukup tidur, tak cukup rehat. Bila ayah dia orang dah nak ambil, berat hati
pulak nak lepaskan,” komen Sofi.
“Memanglah,
tapi aku tetap sayangkan mereka,” balas Danisha pula.
Sofi
diam sahaja tanpa membalas bicara Danisha. Dia sedar semua ibu memang begitu,
asyik hendak membebel itu ini. Tidak kira sama ada ibu kandung mahupun ibu
angkat, semuanya sama. Semuanya dilakukan kerana sayang dan terlalu prihatin.
“Ibu,
lepas kita makan-makan ni, ibu nak bawa abang dan adik pergi mana?” tanya Aishah.
Dia kembali duduk di kerusi, begitu juga dengan Aiman.
“Anak
ibu ikut Auntie Sofi, ya. Ibu nak pergi outstation. Hari ini ibu lambat balik,”
terang Danisha sambil mengelap peluh di dahi Aishah dengan sapu tangan.
“Lambat
sangat ke, ibu?” tanya Aishah lagi.
“Lambatlah
jugak. Anak ibu jaga diri baik-baik dan jangan susahkan Auntie Sofi tau,” pesan
Danisha dan cuba berlagak biasa.
“Okey…
ibu pun hati-hati jugak,” balas Aishah sambil mengukir senyuman.
Danisha
cuba menahan sebak di dada dengan melemparkan pandangan ke arah lain. Dia tidak
mahu anak-anak itu perasan kesedihannya. Selebihnya, dia memang tidak sanggup
hendak memandang wajah polos Aiman dan Aishah. Nanti dia juga yang akan rindu.
“Ibu…
Kenapa adik tengok ibu macam nak nangis aje?” tanya Aishah sambil memegang
lengan Danisha.
“Memanglah
ibu sedih dan nak nangis, sebab terpaksa tinggalkan anak-anak ibu,” balasnya
dengan tenang.
Padahal,
saat ini dia sedang berlawan dengan perasaan sendiri. Dia memang tidak sanggup
berjauhan dengan anak-anak ini. Kasih yang wujud bukan mudah dilupakan begitu
sahaja.
“Oo…
nanti ibu rindu, ya?” sebut Aishah dengan gaya manjanya.
“Alah,
malam nanti kan jumpa jugak?” Aiman pula bersuara.
“Hmm…
ingat pesan ibu. Dengar cakap Auntie Sofi,” ulang Danisha lagi.
“Ya,
ibu…” Aiman dan Aishah serentak menjawab.
Danisha
yang sudah tidak tahan terus memeluk dan mencium mereka berkali-kali.
“Jom,
kita dah lambat ni,” ajak Sofi. Nanti tidak pasal-pasal terlewat pula dia
serahkan bebudak ini. Anak sendiri juga sedang menantinya di rumah.
Danisha
terus memegang erat tangan Aiman dan Aishah. Mereka melangkah perlahan menuju
ke tempat letak kereta.
“Kenapa
satu baju bebudak ni pun kau tak bawa?” tanya Sofi, ketika ini Aiman dan Aishah
telah masuk ke dalam keretanya.
“Nanti
bebudak tu banyak tanya pulak. Lagipun, pandailah ayah dia orang beli yang
baru,” jawab Danisha acuh tak acuh.
“Macam-macamlah
kau ni.”
“Sekurang-kurangnya
ada jugak benda untuk aku pegang dan kenang. Kalau aku beri, apa yang tinggal?”
jawab Danisha sedikit sedih.
“Kut
ya pun, bawalah satu atau dua persalinan. Aku bukannya nak suruh kau bagi semua
baju bebudak tu,” komen Sofi.
“Ah,
tak nak aku! Lagipun, semua tu aku beli pakai duit aku.” Dalam keadaan begini, Danisha
masih mahu menang.
“Buruk
siku betullah kau ni!” sungut Sofi. Tidak sangka sungguh dia, rupanya sampai
begitu teruk perangai Danisha.
“Suka
hati akulah.”
“Tak
faham betul aku dengan kau ni. Apa-apa nanti aku telefon kau,” ujar Sofi
kemudian masuk ke dalam keretanya.
“Bye
ibu…” Aiman dan Aishah sama-sama mengucapkannya kepada Danisha sambil
melambaikan tangan.
“Bye
sayang…” balas Danisha sambil cuba menahan air mata agar tidak menitis di
hadapan mereka.
Saat
ini, dia cuba menguntum senyuman paling manis. Biarlah anak-anak itu tidak tahu
yang dia sebenarnya sedang menangis hiba. Mulut memang merelakan pemergian
mereka, tapi hati, hanya TUHAN yang tahu.
Selepas
kereta bergerak, Danisha segera menuju ke keretanya. Sebaik masuk, dia
menghamburkan tangisnya yang sudah tidak tertahan. Dia menangis sepuasnya.
*****
SETELAH
menunaikan solot zuhur, Danisha menelefon uminya. Umi dan ayahnya perlu
diberitahu pasal budak-budak itu. Sebelum ini, dia memang tidak sampai hati
hendak membuka mulut.
“Assalamualaikum…”
Uminya mengucap salam sebaik mengangkat telefon.
“Waalaikumussalam…
Umi sihat?”
“Alhamdulillah…
bebudak tu, bila nak bawa jumpa umi?” tanya umi. Dia juga sudah rindu dengan
keletah dua beradik itu.
Tiba-tiba
Danisha rasa sebak sangat dengan pertanyaan uminya.
“Nisha,
kenapa ni?” tanya uminya yang terkejut apabila dia diam sahaja.
“Aiman
dan Aishah tak ada kat rumah,” beritahunya.
“Tak
ada? Dia orang ke mana?” tanya uminya sedikit terkejut.
“Sebenarnya
bebudak tu dah balik ke rumah ayah dia orang,” beritahu Danisha dengan sedih.
“Hah!
Bila?”
“Pagi
tadi,” jawab Danisha sambil mengesat air mata yang sudah membasahi pipi.
“Ni,
apa cerita sebenarnya?” tanya uminya ingin tahu.
“Hari
tu, tiba-tiba Nisha terima surat peguam. Ayah bebudak tu menuntut anak-anaknya,”
beritahu Danisha.
“Macam
mana pulak ayah bebudak tu tahu Nisha yang jaga mereka? Siap tahu alamat
bagai,” soal uminya.
“Tulah,
entah dari mana dia dapat alamat rumah semua.” Danisha juga turut
tertanya-tanya. Dia sememangnya tidak meninggalkan alamat mahupun nombor
telefon kepada mak cik yang menyerahkan bebudak itu.
“Hmm…
nak buat macam mana? Betul ke lelaki tu ayah bebudak tu?” tanya umi untuk
kepastian.
“Dalam
surat tu turut ada salinan sijil kelahiran bebudak tu. Nisha hanya pegang mykid
Aiman dan Aishah aje.”
“Habis
tu, selama ni ayah bebudak tu di mana?” Banyak tanya pula umi Danisha ini.
“Entahlah
umi, Nisha tak tahu,” keluhnya. Itu yang buat dia berasa pelik.
“Hmm…
dah anak orang, nak buat macam mana? Sabar ajelah,” pujuk uminya.
“Tapi
Nisha yang jaga dia orang selama ni!”
“Memanglah
Nisha yang jaga, tapi yang lebih berhak tetap ayah bebudak tu.”
“Kalau
dah macam tu, buat apa suruh mak cik tu serahkan sebagai anak angkat?” Danisha
masih tidak berpuas hati.
“Mungkin
pada masa tu, ayah bebudak tu pun tak tahu.” Umi memberikan pendapatnya.
“Nisha
yang susah-susah jaga dia orang. Senang-senang aje nak ambil balik,” sungutnya
walau dalam keadaan sedih.
“Mungkin
sebelum ini dia terpisah dengan anak-anaknya. Bila dapat tahu anak-anak dia
dijadikan anak angkat, mesti dia siasat dan cari,” duga uminya lagi.
“Okeylah
umi, Nisha nak beritahu itu aje.”
“Nisha
nak cakap dengan ayah ke?” tanya umi pula.
“Tak
apalah. Nanti umi kirim salam ajelah pada ayah,” pesannya.
“Yalah,
jaga diri baik-baik.” pesan uminya pula.
Sebaik
memutuskan talian, Danisha menyambung tangisnya. Tidak sampai sehari, rindu
kepada Aiman dan Aishah bagai tidak tertanggung. Bagaimana pula hari-hari
seterusnya? Mahu sasau dia dibuatnya.
No comments :
Post a Comment