Sunday, January 12, 2014

Mas Kahwinku RM22.50: Bab 24

MENGGIGIL tubuh Danisha saat membaca surat yang baru dibukanya. Petang tadi, dia tidak berkesempatan membeleknya dan tidak teruja langsung hendak membukanya. Padahal, jarang sekali dia menerima surat selain bil kad kreditnya.

Ini bukan lagi membuat dia terkejut, malah sentap terus. Terasa badannya jatuh terjelepok ke lantai. Terasa kelam segala pandangannya. Dia tidak sanggup berpisah dengan anak-anak itu. Setelah kasih dicurah, kenapa tiba-tiba mahu merampas mereka darinya?

Surat dari pejabat peguam itu ditatap lagi. Nasib baik dia tergerak hati hendak mengambil surat. Bagaimana pada minggu lepas dia boleh terlupa periksa peti surat suratnya? Surat itu bertarikh 18hb Mac, Isnin minggu lepas. Dia kena menyerahkan budak-budak itu ke pejabat peguam pada hari Sabtu 30hb Mac.

Hari ini, sudah hari Selasa 26hb. Dia hanya ada tiga hari sahaja untuk bersama budak-budak itu. Tiba-tiba otaknya sudah menjadi beku. Tidak boleh berfikir langsung untuk mencari jalan penyelesaian. Memang malam ini dia tidak boleh tidurlah jawabnya.

Paling menghairankannya, bagaimana pihak peguam tahu dia yang mengambil anak-anak itu sebagai anak angkat? Siap tahu alamat rumah lagi. Ini yang buat dia musykil sangat. Kes bank in duit dalam akaun dia masih tidak diketahui, kini sudah ada masalah baru pula.

Buat seketika, dia bagai tidak tahu hendak menghubungi siapa untuk membantu menyelesaikan masalahnya ini. Saat dia gelisah tidak menentu, tersebut nama Sofi di mulutnya. Hanya dia sahabat yang paling hampir dan tahu pasal Aiman dan Aishah melebihi sahabat yang lain.

Dia kena segera beritahu Sofi berkenaan surat peguam itu. Kelam-kabut dia menelefon Sofi untuk minta nasihat dan bantuan. Surat yang diterima benar-benar buat dia dalam tertekan.

“Sofi, kau kena tolong aku!” Tanpa salam dan perkenalkan diri, Danisha terus menyatakan tujuan dia menelefon Sofi.

“Ni apa cerita? Angin tak ada, ribut tak ada, minta tolong dengan aku pulak?” tanya Sofi.

Panggilan daripada Danisha memang mengejutkannya. Dia memang jarang sekali menelefonnya tengah malam begini. Mujur dia masih belum tidur lagi.

“Kau tau tak? Aku dapat surat peguam,” beritahu Danisha dengan suara bergetar.

“Kau tak bayar hutang ke?” soal Sofi pula. Bagi dirinya, hanya sebab yang satu itu mengundang surat daripada peguam pihak bank.

“Bukan pasal itulah. Ini surat peguam pasal bebudak tu,” ujar Danisha.

“Cuba kau cakap betul-betul,” pinta Sofi.

“Ayah bebudak tu menuntut anak-anaknya,” terang Danisha dengan sedih.

“Hah? Bila kau dapat surat tu?” Pantas Sofi bertanya. Patutlah sahabatnya itu risau semacam.

“Hari ni, tapi sebenarnya dah lama surat tu sampai. Aku yang tak check di peti surat.”

“Apa yang tertulis dalam surat tu?” tanya Sofi untuk kepastian dan supaya dirinya lebih jelas dengan perkara itu.

“Hari Sabtu ni, aku dah kena hantar bebudak tu di pejabat peguam untuk diserahkan kepada ayahnya,” beritahu Danisha.

“Kat mana pejabat tu?”

“Ikut alamat dalam surat ni, pejabat peguam tu dekat Bangsar,” beritahu Danisha.

“Hmm... jadi, kau nak aku buat apa?” Sofi sudah mengeluh memikirkan masalah sahabatnya itu.

“Tolonglah fikirkan sesuatu,” pinta Danisha.

“Aku dah pernah ingatkan kau. Sekarang terpaksalah ikut aje dan serahkan bebudak tu,” balas Sofi. Apa lagi yang mampu dilakukan, selain menurut sahaja arahan dalam surat itu.

“Takkan tak boleh nak halang?” soal Danisha pula.

“Kau sebenarnya memang tak ada hak ke atas anak itu. Nak tak nak, terpaksa serahkan bebudak tu dulu. Lepas tu, mungkin kita boleh buat rayuan.” Sofi menyatakan tindakan yang patut Danisha ambil buat masa ini.

“Tak boleh ke nak tangguhkan?” soal Danisha lagi.

“Nak tangguh apanya? Ayah bebudak tu boleh aje terus datang ke rumah kau. Tiada siapa boleh halang dia untuk mengambil anak-anaknya,” jawab Sofi.

“Maknanya, aku kena hantar jugaklah bebudak ni?”

“Hanya itu pilihan yang kau ada. Nanti, tak pasal-pasal dia saman kau pulak. Kau boleh aje dituduh menculik anak dia,” ujar Sofi.

“Macam tu ke? Tak sangka pulak boleh jadi macam ni,” keluh Danisha.

“Bila kau kena hantar bebudak tu?” tanya Sofi pula.

“Sabtu ni… itu yang aku tension sangat!” beritahu Danisha. Saat ini, air matanya memang sudah keluar membashi pipi.

“Ada apa-apa kau nak aku tolong ke?” tanya Sofi yang sudah bersimpati.

“Mestilah ada. Aku memang tak sanggup nak hantar bebudak tu ke Bangsar,” beritahu Danisha sambil menyeka air matanya.

“Okey, aku akan tolong kau hantar bebudak tu. Esok kau bawa surat tu ke ofis. Aku pun nak baca jugak surat peguam tu,” suruh Sofi.

“Yalah. Terima kasih Sofi,” ucapnya.

“Sama-sama. Kau tu janganlah tension sangat,” pesan Sofi sebelum meletakkan telefon.

*****

HARI Jumaat, Danisha memang terpaksa mengambil cuti kecemasan. Dia tiada punya masa lagi untuk bersama budak-budak itu. Sehari yang tinggal ini, akan dia luangkan untuk bersama mereka.

Aiman juga dia tidak hantar ke sekolah tahfiz. Dia pun tidak tahu bagaimana mahu menjelaskannya kepada ustazah tentang persekolahan Aiman. Sayang sekali budak itu tidak dapat meneruskan persekolahannya di situ.

Danisha pun tidak tahu ke mana Aiman dan Aishah akan dibawa pergi. Itu yang membuat hatinya bertambah sayu. ALLAH hanya pinjamkan sekejap sahaja bebudak itu kepada dirinya.

Hari-hari yang masih bersisa memang Danisha lewati dengan berbagai perasaan di kalbu. Sehabis boleh, dia sentiasa menunaikan apa sahaja permintaan anak-anak. Setiap saat yang ada, diluangkan untuk mereka berdua.

“Kenapa hari ini ibu baik sangat?” Aiman bertanya sambil duduk di sisinya.

“Ibu memang sentiasa baik!” Danisha memuji dirinya sendiri.

“Ustazah tak marah ke bila ibu tak hantar abang ke sekolah? Hari ini bukannya cuti,” tanya Aiman lagi.

“Tak apa, hari ni ibu cuti. Tak seronoklah kalau abang dan adik tak ada,” jawab Danisha pula.

“Kenapa hari ini ibu cuti pulak? Ibu kan selalu ada banyak kerja?”

“Saja, lagipun ibu dah lama tak bercuti dan berehat,” jawab Danisha sambil mengariskan senyuman di bibir.

“Hari Sabtu dan Ahad, kan cuti jugak?”

“Tak cukup… ibu nak bersama-sama anak ibu. Esok ibu kena outstation. Malam-malam baru balik,” beritahunya.

Danisha memang terpaksa berbohong. Dia hanya ada alasan itu sahaja untuk menyerahkan mereka kepada Sofi pada pagi esok. Selepas itu, bolehlah Sofi terus menghantar bebudak itu ke Bangsar.

“Habis tu, siapa nak jaga abang dan adik?” tanya Aiman.

“Kawan ibu akan tolong jaga abang dengan adik,” beritahu Danisha sambil memandang sayu wajah Aiman.

“Alah… tak seronoknya. Siapa kawan ibu tu?” soal Aiman pula.

“Auntie Sofi. Abang dengan adik jangan nakal-nakal tau,” pesan Danisha.

“Nanti abang dengan adik tinggal dekat rumah Auntie Sofi ke?” Aiman bertanya lagi.

“Ha’ah, tapi sebelum tu dia akan bawa abang dan adik pergi jalan-jalan,” jawab Danisha sekadar menyedapkan hati Aiman.

“Oh! Seronoknya.” Aiman gembira sekali mendengarnya.

“Hari ini, abang nak makan apa? Nanti ibu akan masakkan.”

“Hmm… Boleh tak ibu masak ketam? Abang dah lama tak makan. Tengok dalam TV, macam sedap aje,” pinta Aiman.

“Okey…” Hampir sahaja air mata Danisha menitis saat mendengarnya. Namun, segera dia tahan.

Dia memang sudah berasa sebak. Apatah lagi, bila teringat dirinya yang hanya memasak ikan dan ayam sahaja. Kadang-kadang sahaja dia memasak udang.

Ketam memang dia sendiri tidak pernah beli pun. Bertambah sedih apabila pernah memberi bebudak itu makan telur goreng dengan kicap sahaja. Namun, Aiman dan Aishah tidak pernah bersungut.

“Bila kita nak pergi beli ketam tu, ibu?” Pertanyaan Aiman mencantas lamunannya.

“Kejap lagilah. Kita tunggu adik bangun, lepas itu kita terus pergi.”

“Okey. Sekarang abang nak buat latihan dalam buku yang ibu beli,” beritahu Aiman dan terus menuju ke meja tulisnya.

“Yalah,” balas Danisha.

YOUR SINCERELY:

SAFIE MOKHTAR


No comments :

Post a Comment