PINTU
bilik diketuk perlahan, kemudian Danisha menanti di muka pintu sebelum
diizinkan untuk masuk. Andai Datuk Khalil, boleh sahaja dia terus masuk setelah
mengetuk pintu. Tetapi, tidak dengan si naga seorang ini. Macamlah dia
berpangkat besar sangat di syarikat ini.
“Hmm…
masuk!”
Setelah
mendengar suara itu, baru Danisha menunjuk muka.
Encik
Hisham memandang sinis Danisha yang terkulat-kulat di hadapannya. “Awak ni QS
cabuk ke? Kerja yang senang macam ini pun boleh silap!” marahnya sambil
melempar dokumen di tangannya ke atas meja.
Danisha
yang masih berdiri hanya memandang dokumen yang hampir sahaja jatuh ke lantai.
Entah apa juga yang tidak kena dengan BQ yang dia buat.
Hari
ini, naik buntang matanya membetulkan angka-angka yang asyik berubah. Apabila
kerjanya sudah hampir siap, ada pulak perubahan pada pelan lukisan asal.
Terpaksa dia ubah lagi keterangan dan kuantiti di dalam BQ.
‘Mahunya
cepat siap saja, tetapi sesuka hati tukar pelan lukisan. Ingat aku ni kuli
batak dia ke?’ Sempat juga dia membebel di dalam hati.
“Awak
ni sebenarnya tahu buat kerja ke tidak?” sergah bosnya apabila dia diam sahaja.
“Bahagian
mana yang salah? Kalau bos marah-marah tapi tak cakap apa salah saya, macam
mana saya nak tahu?” tanya Danisha perlahan. Padahal, dalam hati nak suruh
bosnya buat sendiri sahaja. Mahu tak mahu terpaksa juga dia mengambil dokumen
tadi dan pura-pura menelitinya.
“Awak
semak balik pelan lukisan tender tu, selepas itu betulkan apa yang salah di
BQ.”
“Saya
buat ikut pelan lukisan itulah. Apa lagi yang tak betul?” Suara Danisha sudah
berubah nada.
“Awak
lagi nak tanya saya? Bila saya suruh semak tu, semaklah. Janganlah nak banyak
cakap pulak. Saya nak hari ini awak kerja lebih masa siapkan semua tu.” Encik
Hisham mengarah dengan tegasnya.
“Mana
boleh paksa-paksa pulak?” bangkang Danisha. Berani pula dia kali ini. Lagipun
siapa yang boleh tahan kalau setiap hari asyik dia saja yang kena sembur.
Lama-lama nanti, mahu terbakar mukanya dek terkena percikan api amarah pak
naga.
“Awak
tu bukannya ada suami dan anak-anak yang menunggu di rumah,” marah bosnya lagi.
“Oh
anak aku! Hari Isnin sajalah saya betulkan,” ujar Danisha kemudian
terkocoh-kocoh meninggalkan bilik bosnya.
Encik
Hisham terlopong, tidak sempat berkata apa-apa. Apatah lagi menghalang Danisha
dari pergi.
Danisha
yang sudah terlepas dari kandang, kelam-kabut mencapai beg tangannya. ‘Aduhai…
macam mana boleh terlupa nak ambil Aiman ni?’ Dia berbicara sendiri. Sepantas
kilat dia keluar dari pejabat dan menuju ke tempat letak kereta.
Sekilas
dia memandang jam di dashboard. Tak sangka sudah pukul 5.20 petang. Semalam dia
terlambat mengambil Aiman sampai budak itu sorang-sorang saja yang tinggal di
sekolah. Mujur si Aiman ini mendengar kata dan tidak keluar dari kawasan
sekolah.
Sebaik
sampai di sekolah tahfiz, kelihatan Aiman sedang duduk menyandar pada tiang di
koridor. Dia hanya memerhati budak-budak lain yang bermain di halaman sekolah
yang tidaklah begitu luas. Wajahnya yang monyok terus bertukar ceria apabila
menyedari kedatangan Danisha.
“Maaf
abang, ibu terlambat lagi hari ni.” Danisha terus memohon maaf sambil menggalas
beg sekolah Aiman.
“Tak
apa, tapi janganlah selalu.”
“Tadi
abang beli apa di kantin?” Saja Danisha bertanya sambil mengurut dadanya.
Semput dibuatnya akibat berlari memanjat bukit, jalan pintas menuju ke sekolah.
“Abang
beli 2 biji karipap. Satu abang dah makan,” beritahu Aiman sambil tersenyum.
“Kenapa
tak habiskan?” tanya Danisha sambil membalas senyumannya. Dia cukup suka dengan
senyuman Aiman yang manis. Besar nanti pasti ramai yang tergoda. Memang jadi
ustaz handsome apabila besar nanti!
“Satu
lagi abang tinggalkan untuk adik. Adik kan, suka makan karipap jugak?”
“Cukup
ke makan satu aje?” tanya Danisha.
“Ustazah
abang cakap, makanan untuk satu orang memang cukup untuk dua orang,” beritahu
Aiman.
“Hmm…
baiknya anak ibu. Selalu ingat dekat adik dia,” puji Danisha. Aiman sememangnya
begitu, suka berkongsi dengan Aishah. Cuma Aishah yang kadang-kadang tidak mahu
berkongsi langsung!
*****
HARI
AHAD, setelah memasak dan mengemas rumah, Danisha terpaksa membuat kerja
ofisnya yang tak siap-siap. Sebenarnya dia memang malas hendak membuatnya,
tetapi terpaksa juga mengingatkan pak naga yang pasti akan bertanya tentangnya.
Semalam
dia memang penat sungguh dan berehat sahaja. Rumah sengaja dia biarkan berselerak
tidak berkemas. Dia memang rasa tidak sihat, tapi malas pula hendak ke klinik.
Setelah menelan panadol, dia tidur dengan lena.
“Ibu
ni… asyik buat kerja aje. Bila balik rumah, tak payahlah buat kerja ofis.” Si
kecil kesayangan Danisha sudah mula mengomel.
“Di
ofis ibu tak sempat nak semak. Balik rumah kenalah sambung kerja ibu sebab hari
Isnin dah kena hantar. Adik nak ibu kena marah dengan bos ibu ke?”
“Hari
ini hari Ahad, patutnya ibu berehat. Asyik-asyik buat BQ, adik pun nak BQ
jugaklah!”
“Apa?”
tanya Danisha terkejut sambil menoleh memandang si kecil yang duduk di sofa.
“Tapi
BBQ la…” tutur si kecil dengan manjanya.
Tergelak
Danisha mendengarnya. “Yalah, lain kali ibu buat BBQ yang paling sedap sekali
untuk anak ibu yang comel ni,” janjinya.
“Adik
suka, adik suka! Sayang ibu…” ucap Aishah dan terus bangun memeluk Danisha.
“Hmm…
ini mesti nak apa-apa kalau dah begini gayanya.” Danisha sudah masak dengan
perangai Aishah.
“Ibu,
boleh tak adik nak su…” Aishah sengaja tidak menyebut lengkap perkataan susu
itu.
Memang
tepat dugaan Danisha. “La, tadi baru aje minum. Hari ni aje adik dah minum 6
botol susu tau. Kalau macam ni, bankraplah ibu!” potong Danisha.
“Alah
ibu… satu aje. Nanti nak tidur tak payah minum susu lagi.” Pandai sahaja Aishah
membodek. Tidak padan dengan usianya.
“Tipulah!
Adik cakap aje tak payah, lepas tu nak ibu buat jugak, kan?” Danisha
menjegilkan matanya.
“Memanglah
sebab adik nak cepat besar. Nanti boleh tolong ibu kemas rumas, masak dan cuci
baju.” Lancar sahaja Aishah menuturkannya.
“Tolong
selerakkan rumah ibu adalah,” ujar Danisha sambil menjeling si kecil pula.
“Okeylah.
Kalau ibu tak percaya, tak apalah. Biarlah adik tak besar-besar. Biarlah semua
orang tak sayang adik.” Kini Aishah sudah mula tunjuk muka kasihan.
“Amboi!
Merajuk pulak anak ibu ni. Yalah, yalah… tapi adik minum sampai habis tau,”
pujuk Danisha sambil menggeleng kepala. Kalau Aishah sudah merajuk, memang dia
tak sampai hati hendak biarkan. Memang kasihan apabila memandang wajah
sedihnya.
No comments :
Post a Comment