Saturday, January 11, 2014

Mas Kahwinku RM22.50: Bab 16

SELEPAS makan tengah hari dan bersolat zuhur, Danisha meneruskan tugasnya. Petang nanti dia ada mesyuarat di Taman Tun Dr. Ismail. Buat masa ini, hanya itu sahaja projek yang dia terlibat secara langsung. Selain itu, dia hanya akan memproses tuntutan bayaran daripada kontraktor.

Dahulu, ada sahaja yang buat dia tidak boleh fokus dengan kerjanya. Apabila dia sedang memberi tumpuan kepada kerja yang sepatutnya, ada sahaja kerja urgent yang pak naga mahu dia siapkan. Akhirnya terlepas pandang kerja yang dia buat sebelum ini.

Sekarang ini dia berasa lega kerana kontraktor mahupun subkontraktor tidak lagi bising-bising. Apabila dia memberi komitmen dengan tugasan itu, semua bayaran kepada mereka tidak menghadapi masalah dan tepat pada waktunya. Tiada lagi rungutan pasal bayaran tertunggak.

“Nisha,” panggil Rani yang menuju ke mejanya.

“Ada apa?” soalnya perlahan tanpa memandang sahabatnya itu.

“Datuk suruh kau pergi mesyuarat di Taman Tun tu,” beritahu Rani. Seketika dia membelek fail yang ada di atas meja Danisha pula.

“Aku tahu,” ujarnya sambil meneliti dokumen di tangannya.

“Dah tu, apa tunggu lagi? Pergilah cepat, bos dah tunggu dekat bawah,” suruh Rani.

“La… dah nak pergi ke? Awal lagi,” balasnya sambil mencapai fail projek Taman Tun. Kemudian terpaksa bergegas turun. Dia tidak mahu bosnya tertunggu pula.

“Kut ya pun, janganlah laju sangat Nisha,” tegur Rani apabila melihat Danisha bagai lipas kudung pula. Risau pula dia andai sahabatnya itu terjatuh.

Tiba di lobi, Danisha tidak nampak pula kereta Datuk Khalil. Pantas sahaja tangannya menghubungi Rani.

“Ada apa kau telefon aku?” tanya Rani sebaik mengangkat telefon.

“Mana kereta Datuk? Tak ada pun,” tanya Danisha sambil matanya tercari-cari kereta bosnya.
“Kau tunggu aje, nanti bos ambil kau,” beritahu Rani kemudian terus memutuskan talian.

“Hish dia ni! Kata dah tunggu,” sungut Danisha kemudian mundar-mandir di lobi. Ini yang dia paling tidak suka. Ingatkan tidak mahu orang lain tertunggu-tunggu, sudahnya dia pula yang terpaksa menunggu!

Tiba-tiba sebuah kereta BMW betul-betul berhenti di hadapannya.‘Hampeh punya Rani! Dia kenakan aku rupanya,’ dengusnya dengan perasaan geram.

Danisha masih berdiri dan buat tidak tahu sahaja. Geram sungguh hatinya apabila dipaksa pergi mesyuarat dengan cara begini. Ingatkan dia tidak mahu lagi ada apa-apa kaitan dengan pak naga.

Encik Hisham sudah menurunkan cermin kereta.“Datuk suruh saya gantikan dia untuk hadiri mesyuarat. Kita pergi satu kereta aje,” beritahu Encik Hisham tapi wajahnya memandang ke arah lain.

“Tak apalah Encik Hisham. Saya naik kereta saya ajelah.” Danisha terus menolak.

Dia tahu mesyuarat bermula pukul 2.30 petang dan pastinya berakhir kira-kira pukul 4.30. Kalau naik kereta sendiri, boleh juga dia mengelak dari masuk semula ke ofis dan terus balik ke rumah sahaja.

“Kalau saya dah cakap naik kereta saya, ikut sajalah.” Tiba-tiba Encik Hisham meninggikan suara pula.

“Hmm… yalah,” jawab Danisha. Malas pula hendak bertekak dengan pak naga. Nanti hati dia juga yang sakit.

Dalam kereta dia membatu sahaja. Sekejap memandang ke hadapan, seketika melontarkan pandangan ke luar tingkap pula. Saat ini dia memang serba tidak kena. Tambahan pula apabila perasan Encik Hisham memandangnya dengan ekor mata.

Terasa lambat pula kereta ini bergerak, padahal bukan main laju Encik Hisham pandu. Asyik memotong sahaja, hendak tunjuk handal gamaknya. Dia berbicara sendiri.

Tiba-tiba dia perasan ada mesej masuk, mujur tidak berbunyi. Segera dia membukanya. Daripada Rani rupanya.

Macam mana, best tak duduk sebelah pak naga?
Kau memang toyol punya kawan! - balas Danisha. Dalam hati, dia memang rasa bengang sangat dengan si Rani.
Aku tak kisah, toyol pun toyollah! Janji hati gembira. - balas Rani pula.
Balik nanti, tahulah aku apa nak buat dengan kau. - Tulisnya pantas.
Kau nak buat apa? - soal Rani.
Bengonglah aku, kalau aku beritahu kau! - tulisnya.
Hahaha…. Aku tunggu dengan senang hati. - balas Rani pula.

Danisha mencebik dan tidak membalas apa-apa setelah membaca SMS terakhir. Kemudian dia curi pandang ke arah pak naga pula. Nampak serius sahaja bosnya itu.

Selang beberapa minit, sekali lagi mesej masuk. Pantas sahaja Danisha membukanya. Tersirap darahnya apabila Kak Kathy beritahu Aishah demam. Saat itu juga fikiran jadi tidak tentu. Ini pertama kali Aishah tidak sihat, itu yang buat dia kerisauan.

‘Pagi tadi elok aje Aishah ni, takkanlah boleh demam pulak?’ desisnya dengan resah di kalbu. Begitu pun, dia segera membalas mesej Kak Kathy. Dia beritahu akan balik dengan secepat mungkin selepas mesyuarat nanti.

*****

DALAM mesyuarat, Danisha sudah tidak dapat memberi sepenuh tumpuan kepada isu yang dibincangkan. Sudahlah bahagian teknikal yang dibincangkan dia tidak faham, lagi susah dia hendak menganggar kos berkaitan yang terlibat.

Ini yang buat dia malas. Nanti kena tanya pak naga juga. Nampaknya dia tidak boleh lari juga dari mamat sorang ni. Mujur mesyuarat ditangguhkan tepat pada waktunya. Andai berlanjutan, dia memang terpaksa minta diri.

Dalam perjalanan balik, Danisha sudah tidak senang duduk. SMS kedua daripada Kak Kathy membuatnya bertambah risau. Hendak tak hendak dia terpaksa juga balik ke rumah. Biarlah andai pak naga mahu tinggalkan dirinya di tepi jalan sekalipun.

“Kenapa dengan awak ni?” tanya Encik Hisham apabila menyedari Danisha asyik gelisah sahaja. Memang sejak mesyuarat di pejabat klien lagi dia perhatikan Danisha begitu.

“Boleh tak turunkan saya di perhentian bas selepas lampu isyarat tu,” pinta Danisha walau dalam hati tetap risau andai Encik Hisham tidak mahu berbuat demikian.

“Buat apa nak turun dekat situ?” Sekilas Encik Hisham menoleh ke arahnya.

“Saya nak balik rumah. Anak saya demam dan kena cepat-cepat bawa dia pergi klinik.”

“Anak?” tanya Encik Hisham dengan dahi berkerut. Terkejut dia dengan penjelasan Danisha.

“Er… maksud saya anak buah,” terang Danisha teragak-agak.

“Rumah awak dekat mana?” tanya Encik Hisham lagi.

“Kristal Heights, Sri Gombak,” beritahunya.

“Okey,” balas Encik Hisham sepatah.

Danisha berasa lega mendengarnya, tetapi kereta terus bergerak dan tiada tanda-tanda hendak berhenti.

“Encik Hisham...” panggilnya apabila kereta sudah melepasi perhentian bas yang dia maksudkan.

“Saya hendak hantar awaklah ni,” balas bosnya.

Danisha diam sahaja apabila menyedari kereta yang dipandu memang telah mengambil laluan menuju ke Sri Gombak. ‘Tahu pulak pak naga ni pergi ke Kristal Heights,” desisnya.

*****

TIDAK sampai 10 minit, kereta sudah tiba di pondok pengawal Kristal Heights. Pengawal bertugas terus menaikkan palang apabila Danisha menunjukkan muka dan mengangkat tangannya.

“Senangnya nak masuk ke sini. Senyum dan angkat tangan saja, dah boleh masuk?” Encik Hisham sudah pandang semacam ke arah Danisha.

Danisha tidak pasti itu soalan atau sindiran. Tapi bunyinya macam suara orang yang cem… saja. ‘Eh! Apa kelas dia nak ada perasaan yang satu itu? Aku bukannya sesiapa mahupun teman wanitanya.’ Danisha berbicara sendiri dan turut terasa geli hati dengan kata-kata sendiri.

“Kenapa awak tersenyum pulak? Tadi bukan main risau.” Tiba-tiba Encik Hisham bertanya.

“Tak ada apa-apa,” jawabnya ringkas dan turut terasa segan dengannya.

“Sekarang ni siapa yang tolong tengokkan budak tu?” tanya Encik Hisham pula.

“Sebenarnya dia ada di taska di apartmen ni,” beritahu Danisha.

“Okeylah, saya tunggu awak dekat sini. Pergilah cepat ambil dia,” arah Encik Hisham.

“Tak apalah Encik Hisham.”

“Habis tu, awak nak bawa dia ke klinik dengan apa?” soal Encik Hisham balik.

“Ya tak ya jugak…” Tanpa membuang masa Danisha segera menuju ke taska.

Sampai di taska, terus sahaja dia mendapatkan Aishah yang sedang berbaring. “Anak ibu demam ke, sayang?” Aishah hanya mengangguk kepalanya. Matanya kuyu sahaja dan dia memang tidak bermaya.

“Siannya anak ibu…” ucap Danisha sambil mencium pipi Aishah. Memang terasa suhu badannya yang masih panas.

“Tadi badan Aishah memang panas sangat. Akak dah mandikan supaya panas badan dia berkurang. Baik Danisha terus bawa dia ke klinik,” saran Kak Kathy yang menjaga budak-budak di sini.


“Terima kasih kak,” balas Danisha dan terus mendukung Aishah. Naik semput pula dia dibuatnya. Dia memang tak pernah mendukung Aishah. Tak sangka pula dia si kecil ni berat walau badannya tidaklah berisi sangat. Mujur tidak jauh menuju ke kereta.

YOUR SINCERELY:

SAFIE MOKHTAR


No comments :

Post a Comment