SAMPAI
di kereta, terkejut Danisha apabila Encik Hisham membukakan pintu untuknya.
Tiba-tiba berasa segan pula. Tidak sangka dalam garang pak naga, ada juga sifat
baiknya.
“Kita
nak pergi klinik mana ni?” tanya Encik Hisham sebaik menghidupkan enjin.
“Kita
pergi klinik Dr. Fadzilah, dekat Pinggiran Bt. Caves. Saya dah biasa dengan
doktor tu.” Danisha menjawab pantas.
“Okey,
saya tahu klinik tu.”
“Encik
Hisham tahu?” tanya Danisha pelik. ‘Takkan orang kaya macam dia, pergi klinik
biasa saja apabila sakit pening? Tahi hidung masin betullah dia ni!’ Sempat
juga Danisha mengutuk dalam hati.
Encik
Hisham membiarkan sahaja soalan itu tidak berjawab. Kini dia memberi tumpuan
pada jalan yang sedikit sesak. Bertambah malang lampu isyarat di hujung jalan
tidak berfungsi pula. Kenalah berhati-hati di simpang tiga ini kerana dia
hendak membelok ke kanan.
Sebaik
tiba di klinik, mujur tiada pesakit lain. Danisha berasa lega apabila doktor
beritahu demam Aishah sudah berkurang. Tindakan Kak Kathy memandikan Aishah dan
sentiasa meletakkan tuala basah di dahinya memang membantu mengurangkan panas
badan Aishah.
Dr.
Fadzilah menasihatinya supaya jangan risau sangat. Di rumah nanti, pakaikan
Aishah baju yang lembut dan nipis saja. Itu yang buat Danisha lebih suka
berjumpa Dr. Fadzilah walau ada klinik lain yang lebih dekat dengan
apartmennya.
Berjumpa
dan mendengar bicara Dr. Fadzilah memang sudah buat sakit terus berkurang.
Tidak seperti ada setengah doktor lain yang kadang-kadang menambah risau ibu
bapa tentang penyakit yang anak mereka alami. Padahal bukan sakit teruk sangat
pun, tapi cara doktor itu bercakap macamlah penyakit itu susah hendak sembuh.
“Macam
mana dengan Aishah?” tanya Encik Hisham sebaik Danisha keluar dari bilik
pemeriksaan. Hendak tergelak Danisha melihat wajah bosnya yang macam cemas
pulak. “Tak ada apa-apalah. Demam sikit aje.”
“Alhamdulillah…
ingatkan kenapa lama sangat dalam bilik doktor tu.” Si kecil dipandang dengan
penuh simpati.
“Terima
kasih Encik Hisham sebab hantar kita orang ke klinik,” ucapnya tetapi mata
pandang ke lain. Tidak sanggup pula hendak bertentang mata dengan pak naga.
“Tak
ada hallah. Jom, saya hantar awak balik,” pelawa Encik Hisham pula.
“Tak
apalah. Saya nak naik teksi aje.” Danisha menolak pelawaan bosnya.
“Jangan
nak degil pulak,” marah Encik Hisham sambil menjelingnya.
Akhirnya
Danisha akur juga. ‘Hai… sejak bila pulak pak naga ni bersikap prihatin?’
detiknya.
“Yang
awak tercegat lagi dekat situ, kenapa?” soal Encik Hisham apabila Danisha masih
tidak berganjak.
“Sebenarnya
saya baru teringat yang saya kena ambil anak saya dekat sekolah tahfiz,”
terangnya teragak-agak.
“Apa?
Berapa banyak anak yang awak ada?” tanya Encik Hisham, terkejut.
Danisha
menahan dirinya dari tertawa sebaik melihat reaksi bosnya. Hendak kata muka dia
terkejut beruk, memang melampaulah, kan? Terpaksalah dia menyimpan tawanya.
“Dekat
mana pulak sekolah tu?” tanya Encik Hisham lagi.
“Tak
jauh, dekat apartmen depan tu aje,” jawab Danisha. Matanya tidak sanggup
memandang bosnya yang sememangnya sedang menatap wajahnya.
“Berapa
pulak umur anak awak yang sekolah tu?” Encik Hisham hendak tahu pula.
“Nak
masuk 6 tahun,” jawab Danisha perlahan.
Sekilas
Encik Hisham menjeling Danisha. Agaknya dia tidak menyangka rupanya Danisha
yang brutal ini boleh menjaga anak-anak kecil.
Dalam
kereta Danisha diam sahaja. Dia memeluk erat Aishah yang duduk di atas
ribaannya.
“Macam
mana nak pergi ke sekolah tahfiz tu?” tanya Encik Hisham pula.
“Kejap
lagi Encik Hisham masuk simpang kanan depan tu dan ikut aje jalan tu sampai ke
hujung,” beritahu Danisha.
“Hendak
letak kereta dekat mana ni? Macam tak ada ruang aje,” tanya Encik Hisham ketika
melalui lorong yang sempit. Dia tengok kebanyakan kereta memang double parking.
Tentu sahaja kereta yang sebelah dalam susah hendak keluar apabila dalam
keadaan begitu.
“Tak
apa, sebelah kiri nanti ada tempat letak kereta dekat tanah kosong. Maaflah
sebab buat kereta mahal encik masuk kawasan macam ni,” ucap Danisha sebelum pak
naga mengamuk.
“Tahu
pun…”
“Tapi
bos sendiri yang hendak hantar saya.”
“Yalah,
tak payah pot pet pot pet. Apa nama anak awak tu? Nanti biar saya yang pergi
ambil dia,” ujar Encik Hisham yang turut menawarkan diri untuk ke sekolah.
“Nama
dia Aiman. Encik Hisham masuk melalui pintu tempat mengambil wuduk. Nanti
beritahulah kepada ustazah nak ambil Aiman. Beritahu sekali saya tak dapat
datang sebab jaga Aishah di kereta,” terang Danisha.
“Perlu
ke nak beritahu semua tu?” Berkerut dahi Encik Hisham mendengarnya.
“Kenalah
beritahu. Anak saya dan ustazah bukannya kenal dengan Encik Hisham.”
“Hmm…”
jawab bosnya kemudian keluar dari kereta.
“Encik
Hisham, lagi satu…” panggilnya.
“Apa
lagi?” Encik Hisham mematikan langkah dan menoleh ke arah Danisha yang memang
telah menurunkan cermin kereta.
“Pagi
tadi saya terlupa beri Aiman duit belanja. Biasanya sebelum balik dia beli
makanan di kantin. Pinjam RM 2 dan beri kepada Aiman, boleh?” Terkulat-kulat
Danisha beritahu bosnya.
“Yalah,”
balas bosnya tanpa banyak cakap.
Mata
Danisha memerhati bosnya yang bergerak pantas menuju ke sekolah. Dia perasan
bosnya geleng kepala apabila melihat keadaan sekolah yang masih belum siap
dibina sepenuhnya.
Pastinya
dia pelik bagaimana sekolah boleh beroperasi dalam keadaan begini. Kerja-kerja
plastering di sebahagian luar bangunan 3 tingkat ini masih belum siap lagi
walaupun bahagian dalam memang telah siap.
Sedang
Danisha asyik mengelamun, tiba-tiba dia bagai tidak percaya dengan apa yang
dipandangnya. Encik Hisham menggalas beg Aiman di bahunya? Tangannya pula
memegang kemas tangan Aiman ketika menuruni bukit menuju ke kereta. Biar betul?
“Kenapa
anak ibu lambat keluar?” tanya Danisha ketika Aiman menyalam tangannya di dalam
kereta.
“Nak
beli makanan memanglah kena beratur. Tu yang lambat,” balas Aiman dengan
senyuman manis di bibir comelnya.
“Ni
mesti abang biarkan kawan-kawan potong barisan.” Danisha menduga. Sudah lama
dia perasan Aiman selalu begitu ketika membeli makanan di kantin.
“Tak
apalah. Lagipun abang kan budak baik, macam ayah.” Aiman memuji dirinya.
“Dah,
tak payah nak puji orang yang tak ada tu. Kalau ayah abang tu baik, mesti dia
yang ambil dan hantar abang ke sekolah,” ujar Danisha geram.
“Tak
baik ibu cakap macam tu. Ayah abang memang baik. Ibu aje yang tak tahu.”
“Anak
ibu dah cakap terima kasih kepada Uncle Hisham?” tanya Danisha. Tadi dia
terlupa terus yang mereka menumpang kereta orang. Sebaik mendengar bosnya
berdehem baru perasan. Baru terasa segan sebab asyik membebel sejak tadi.
“Dahlah…
Ibu kan dah selalu ajar abang?”
“Danisha,
tolong beri nombor telefon awak,” pinta bosnya sebaik menurunkan mereka di
Kristal Heights.
“Nak
buat apa? Tak payahlah.” Danisha semakin pelik pula dengan pak naga ni.
“Kereta
awak kan dekat ofis? Esok saya jemput awak di sini.”
“Hah?
Tak susahkan Encik Hisham ke?”
“Beri
sajalah nombor telefon awak tu. Banyak tanya pulak.”
Pantas
sahaja Danisha menulis nombor telefonnya di atas kertas yang bosnya hulurkan.
Dia faham sendiri dengan jelingan bosnya. ‘Apa pasal pulak dia ni baik sangat?’
Danisha tertanya sendiri.
“Selalu
pukul berapa awak hantar Aiman?” tanya Encik Hisham lagi.
“Pukul
6.50 pagi.”
“Okey,
esok saya tolong hantar,” ucap bosnya kemudian terus meninggalkan Danisha
dengan seribu persoalan di kepala. Ingatkan pak naga ini asyik nak berasap
sahaja. Andai dia cerita kepada rakan-rakan di pejabat, mesti mereka tidak
percaya. Akhirnya Danisha tersenyum sendiri.
No comments :
Post a Comment