‘KENAPA
ada duit lagi?’ Danisha semakin pelik. Memang dia tidak jangka akan ada duit
dimasukkan lagi dalam akaunnya. Tidak mungkin orang itu tersilap buat kali
kedua. Kali pertama bolehlah diandaikan tersilap. Apakah tujuan orang itu?
‘Adakah
ayah bebudak itu yang beri? Tapi, bagaimana dia boleh tahu nombor akaun aku?
Aku tak kenal langsung siapa keluarga Aiman dan Aishah. Malah, mak cik yang
menyerahkan mereka juga tidak meminta apa-apa maklumat pasal diri aku,’
detiknya.
Berbagai
persoalan bermain di minda Danisha. Mood untuk bekerja juga sudah terencat. Dia
memang perlukan duit untuk belanja hari-hari, tetapi duit gajinya masih cukup.
Walaupun terpaksa ketepikan kehendak hati, demi anak-anak itu dia tidak kisah.
Tidak membeli apa-apa untuk diri sendiri pun tidak mengapa.
Walaupun
ada ketikanya terdetik juga hendak menggunakan duit itu, tetapi segera
dilupakan. Dibuatnya pemilik sebenar menuntutnya, di mana dia hendak gagau
untuk menggantikannya?
“Ada
orang bank in duit lagi ke?” Rani yang perasan Danisha sedang memegang penyata
ringkas terus bertanya. Seperti biasa dia suka ambil tahu, apatah lagi Danisha
memang pernah bercerita kepadanya.
“Tulah…
Takkan tersalah bank in lagi, kan?” balasnya sambil memandang Rani.
“Kau
dah tanya pihak bank ke?” tanya Rani sambil mencapai penyata yang Danisha
pegang.
“Aku
dah tanya dan minta dia orang check. Duit yang dimasukkan guna borang biasa,
bukan melalui pindahan ataupun cek. Itu yang susah pihak bank nak kesan,”
terang Danisha.
“Kalau
akulah, aku ambil aje. Dah orang nak beri, guna ajelah. Kurang sikit bebanan
kau,” ujar Rani tanpa berfikir panjang.
“Ia
tetap bukan duit aku. Aku tak nak belanja duit yang bukan milik aku untuk
budak-budak tu. Biarlah walau terpaksa berjimat,” ujar Danisha menyatakan
pendiriannya. Susah macam mana sekalipun, tidak sesekali dia guna duit yang
bukan haknya.
“Hmm…
peliknya macam mana dia boleh tahu nombor akaun kau?”
“Itu
lagi satu hal. Siapalah yang baik hati tu, kan? Makin aku fikir, makin serabut
otak aku.” Danisha sudah menongkat dagu di mejanya.
Memang
dia jenuh juga memerah otak. Yang tahu nombor akaun dia hanya pekerja bahagian
akaun syarikat ini. Sofi sudah mengesahkan tiada bonus. Maklumat peribadi
memang sulit dan rahsia. Siapa lagi yang tahu melainkan bosnya. Tapi, takkan
Datuk Khalil pula yang bank in duit? Apa pulak motif dia?
“Aku
rasa orang tu ada rancang sesuatulah, Nisha.” Rani menyatakan apa yang
terlintas di fikirannya. Tidak mungkin senang-senang sahaja orang hendak beri
duit tanpa tujuan tertentu.
“Aku
pun rasa macam tu. Sebab itu aku tak guna duit itu,” beritahunya.
“Kau
kena berhati-hati. Manalah tahu, ini taktik terbaru hendak perangkap orang,”
ujar Rani seperti memikirkan sesuatu pula.
“Tiba-tiba
aku rasa takut pulak. Kau janganlah cakap yang bukan-bukan. Dahlah aku
sorang-sorang jaga bebudak tu.” Kini Danisha juga turut risau.
“Kau
okey lagi sebab apartmen kau berpagar dan ada pengawal keselamatan,” tutur
Rani. Dia pula hanya tinggal di rumah teres biasa. Lebih terdedah kepada bahaya
berbanding dengan apartmen Danisha.
“Tapi
kalau ada yang nak buat jahat, macam-macam cara dia boleh buat,” balas Danisha
pula.
“Kau
pagi-pagi hantar Aiman ke sekolah, harus berjaga-jaga sekarang ni. Kalau ke
mana-mana ada kereta yang ikut kereta kau, terus pergi ke tempat yang selamat.
Nampak aje balai polis, terus ke sana,” nasihat Rani.
“Sekarang
ni apa taktik terbaru orang jahat, ya?” tanya Danisha ingin tahu.
Semenjak
menjadi ibu ekspres, macam-macam informasi dia tidak tahu. Surat khabar dia
tidak baca, berita pula kadang-kadang sahaja dia ikuti. Sepanjang hari dia
memang sibuk dari pagi sampai ke malam.
“Aku
ada jugak dengar, kalau ada yang tiba-tiba bagi kad bisnes, jangan terus
ambil.”
“Kenapa?”
soal Danisha sedikit pelik.
“Dengarnya
kad itu sudah disapu dengan sejenis dadah yang berbahaya.”
“Dadah?
Lepas tu, apa terjadi kalau kita ambil jugak?” tanya Danisha ingin tahu.
“Dia
orang ni sebenarnya berniat jahat hendak merompak atau merogol mangsa,” terang
Rani.
“Tak
faham aku dengan cerita kau ni. Cuba cerita bagi jelas sikit,” pintanya.
“Apabila
dah masuk kereta, mangsa akan sesak nafas kesan dari terhidu dadah yang dicalit
pada kad tu.”
“Lepas
tu?”
“Apabila
mangsa terpaksa memberhentikan kereta, mereka ini akan datang kononnya hendak
menolong. Waktu inilah orang jahat tu nak merompak, merogol, curi kereta dan
macam-macam lagilah,” jelas Rani panjang lebar.
“Takutnya…
Tapi betul ke cerita kau ni?” tanya Danisha untuk kepastian.
“Nak
sahkan betul-betul, kena tanya polislah. Tapi, tak salah kalau kita
berhati-hati. Kalau nak beri kad bisnes mesti ketika berjumpa di pejabat.
Takkan main beri saja dekat orang di tepi jalan, betul tak? Dekat sinilah kita
kena berfikir secara logik.”
“Betul
jugak cakap kau. Orang tak buat bisnes di tempat letak kereta atau pun di tepi
jalan.” Danisha sudah nampak apa yang Rani maksudkan.
“Sebab
itu kena beringat selalu. Malang memang tidak berbau. Sesiapa sahaja boleh jadi
mangsa penjahat ni.” Rani mengingatkan lagi.
“Terima
kasihlah kerana beri aku maklumat tu. Selama ini aku tak pernah terfikir pun.
Lagipun kebanyakan orang yang aku jumpa baik-baik belaka.”
“Memang
ramai orang yang baik, tapi kena berhati-hati jugak. Mana nak tau, baik ada
makna?”
“Betul
cakap kau,” akuinya.
“Okeylah,
aku ada mesyuarat sekejap lagi,” ujar Rani dan terus meninggalkan Danisha
sendirian.
Danisha
sambung termenung. Cerita Rani memang menyedarkan dirinya yang selama ini leka.
Air sungai yang tenang, jangan disangka tiada buaya. Mereka yang jahat ini
boleh sahaja muncul tanpa mengira waktu. Mulai sekarang, dia memang kena
berhati-hati.
*****
“IBU… ibu,” panggil Aiman berkali-kali.
“Ada
apa, abang?” tanya Danisha yang terus tersedar apabila Aiman memanggilnya.
“Badan
abang panas, abang rasa macam demam,” beritahu Aiman.
“Apa?
Abang demam?” soal Danisha balik. Dia bingkas bangun dan terus memasang lampu.
Kemudian segera mendapatkan Aiman.
“Ya
ALLAH… abang, kenapa tak beritahu ibu awal-awal?” tanya Danisha apabila
mendapati badan Aiman sememangnya panas. Dia segera menuju ke dapur untuk
mengambil besen kecil. Setelah mengisinya dengan air, dia kembali ke bilik.
Kemudian
dia mengambil dua tuala kecil lalu mencelupnya ke dalam besen. Setelah
memerahnya, satu dia terus letak di dahi Aiman. Yang lagi satu dia gunakan
untuk menggelap badan Aiman pula agar panas badannya cepat berkurang.
“Ibu…
abang tak tahan. Kaki abang gatal,” adu Aiman sambil menggaru kakinya kemudian
lengannya pula.
“Abang
janganlah garu, nanti tempat lain pun akan rasa gatal,” tegur Danisha.
“Tapi
abang rasa gatal sangat,” keluh Aiman dan tetap menggaru kakinya walau Danisha
melarangnya.
Danisha
berasa kasihan sangat melihat Aiman yang sudah merengek. Tiba-tiba dia
menyedari ada bengkak-bengkak di kaki Aiman.
“Abang,
kenapa kaki abang naik bengkak-bengkak?” tanya Danisha. Dia bertambah risau
apabila bahagian pergelangan tangan turut ada.
“Ibu…
abang nak pergi klinik. Abang dah tak tahan.” Aiman sudah mula menangis.
“Tunggulah
hari siang, baru kita pergi klinik,” pujuk Danisha.
Kini
dia juga sudah tidak keruan. Panas badan Aiman masih tidak juga berkurang
meskipun dia kerap menggelap badannya.
“Tak
boleh ke kita pergi sekarang?” pinta Aiman dengan sayunya.
“Macam
mana nak pergi? Adik tidur, lagipun sekarang ni pukul 3.00 pagi.”
“Ibu…
abang betul-betul tak tahan.” Aiman masih merengek.
“Abang,
jom pergi bilik air. Ibu nak mandikan abang sebab badan abang masih panas
jugak,” ajak Danisha.
“Tapi
kaki dan tangan abang rasa sejuk,” beritahu Aiman pula.
Danisha
sudah serba tidak kena. Baru perasan kaki Aiman memang sejuk. Dia memang berasa
pelik sungguh. Aiman ini demam atau ada penyakit lain?
Seketika
dia memandang Aiman yang masih menangis, kemudian Aishah yang masih lena pula.
Dalam keadaan begini, kepada siapa hendak meminta pertolongan? Kalau dia hendak
membawa Aiman ke klinik, siapa yang nak tolong tengokkan Aishah?
Danisha
sudah buntu. Andai hendak membawa Aishah sekali, dia memang tidak larat hendak
mendukungnya. Mahu meminta pertolongan Sofi, tidak wajar pula mengejutkannya
pagi-pagi begini. Dia juga ada anak kecil, malah sekarang ini suaminya bekerja
di luar daerah.
Danisha
memang sudah tidak sanggup melihat Aiman dalam keadaan kesakitan. Sudahnya dia
tawakal sahaja. Dia segera mencapai telefon bimbitnya. Dia terpaksa juga
meminta bantuan, biarlah andai kena marah sekalipun. Mujur juga dia menyimpan
nombornya.
No comments :
Post a Comment