Saturday, January 11, 2014

Mas Kahwinku RM22.50: Bab 19

PUAS Danisha mendail berkali-kali, tetapi masih tidak berangkat-angkat juga. ‘Takkanlah pekak badak pulak dia ni,’ sungutnya. Sesekali dia menoleh ke arah Aiman yang masih merengek.

 Sudahnya Danisha terus berdiri dan keluar dari bilik. Pada saat kecemasan begini pula talian ada gangguan pula. Dia mencuba lagi dan masih tidak berjawab juga. Akhirnya dia berasa amat lega apabila mendapat respons dari pihak yang dihubungi.

“Helo, siapa ni?” Kedengaran suara yang agak garau menjawab panggilan.

“Maaf Encik Hisham. Ini saya, Danisha.” Dia segera memperkenalkan dirinya.

“Ada apa awak telefon saya? Tahu tak sekarang ni, pukul berapa?” Kedengaran suara Hisham macam marah sahaja. Bukan macam, memang dia marah pun!

“Tahu… tapi saya terpaksa telefon Encik Hisham jugak,” beritahu Danisha. Dia sedar, sesiapapun pasti akan marah andai tidurnya terganggu. Apatah lagi pada pagi-pagi buta begini.

“Ada apa sebenarnya?” tanya Hisham.

“Aiman demam,” beritahunya.

“Aduhai… siang nanti awak bawalah dia pergi ke klinik. Itu pun nak kena ajar ke?” jawab Hisham kemudian mengeluh panjang.

“Tahu… tapi badan dia panas sangat. Saya kena bawa dia berjumpa doktor secepat mungkin,” balasnya walau sedikit geram dengan bosnya.

“Jadi, apa masalahnya? Bawa ajelah dia pergi klinik,” ujar Hisham, sedikit keras suaranya.

“Saya memang boleh bawa dia pergi klinik, tapi siapa nak jaga Aishah? Dia sedang tidur dan saya tak larat nak dukung dia,” beritahu Danisha lagi. Itulah masalah dia yang sebenarnya.

“Awak ni… ada-ada saja! Yalah, nanti saya datang.” Akhirnya Hisham setuju juga.

“Terima kasih banyak-banyak Encik Hisham. Jasa bos akan saya kenang sampai bila-bila,” ucap Danisha dengan sayunya.

“Hmm… Berapa nombor apartmen awak?” tanya Hisham pula.

 “Nombor apartmen saya C-6-8. Cepat datang ya,” beritahunya.

“Okey. Awak terus bersiap, kejap lagi saya terus datang,” pesan Hisham pula.

“Terima kasih sekali lagi,” ucap Danisha sebelum memutuskan talian.

Dia bersyukur sangat apabila Hisham mahu membantunya membawa Aiman ke klinik. Mujur juga Danisha menyimpan nombor bosnya ketika dia menelefon untuk menghantar Aiman ke sekolah tempoh hari. Kalau tidak, entah kepada siapalah dia hendak meminta pertolongan.

Danisha kembali semula ke bilik dan sambung mengelap badan Aiman. Memang kasihan melihat Aiman yang menanggung rasa gatal di kaki dan lengannya. Entah apalah yang menyebabkan dia jadi begitu. ‘Alah agaknya,’ detiknya dalam hati.

*****

TIDAK berapa lama menunggu, kedengaran orang mengetuk pintu. Danisha segera bangun dan menuju ke pintu. Sebaik pintu dibuka, Hisham memang sudah terpacak.

“Cepatnya Encik Hisham sampai?” tanya Danisha terkejut. Rasa macam tidak percaya pula.
“Saya kan naga yang ada sayap!” jawab Hisham, tetapi matanya memandang ke arah lain.

“Abang, cepat. Kita dah nak pergi klinik,” panggil Danisha.

“Saya rasa awak tak payah ikutlah. Biar saya saja yang bawa Aiman ke klinik,” cadang Hisham.

“No way! Dia anak saya, saya kena ikut sekali,” balas Danisha pula.

Hisham mencerlungkan matanya apabila Danisha berkata begitu.

“Tolong jangan pandang saya macam tu,” tegur Danisha apabila menyedari Hisham memandangnya semacam.

“Suka hati awaklah!” ujar Hisham. Dia juga tidak mahu bertekak pada pagi yang hening ini. Nanti mengejutkan jiran Danisha pula. Tidak pasal-pasal mereka kena tegur, lagi memalukan.

Sekejap sahaja Aiman sudah berada di muka pintu, tetapi Danisha masih terpaku.

“Apa yang awak tunggu lagi? Jomlah!” tegur Hisham kehairanan.

“Aishah ada di bilik, Encik Hisham kena dukung dia,” suruh Danisha teragak-agak, baru rasa segan kerana terpaksa menyusahkan bosnya. Sudahlah tadi hampir bergaduh pasal hal yang remeh-temeh.

“Ada-ada aje awak ni,” keluh Hisham sambil membuka kasutnya.

Danisha terpaksa membenarkan Hisham masuk ke dalam rumahnya.

Tanpa membuang masa, Hisham terus masuk dan menuju ke bilik. Perlahan-lahan dia mengangkat Aishah dari pembaringan dan mendukungnya. Aiman pula terus mengikutnya menuju ke pintu lif sementara Danisha mengunci pintu.

Sampai di kereta, Danisha segera duduk di bahagian penumpang. Kemudian Hisham menyerahkan Aishah yang masih lena untuk dipangku. Aiman pula terus duduk di hadapan. Mujur dia okey sahaja walaupun badannya memang masih lemah.

Dalam kereta, Danisha diam sahaja. Dia tidak pula memberitahu Hisham ke klinik mana patut dituju. Dalam keadaan begini, biarlah bosnya yang tentukan sendiri.

*****

SEPULUH minit kemudian, mereka sudah tiba di hadapan klinik. Danisha berasa amat lega. Dalam keadaan terdesak begini, nasib baik ada klinik yang buka 24 jam. Kalau tidak, payah juga hendak ke Hospital Selayang atau ke klinik yang lain.

“Saya rasa awak tunggu dalam kereta aje. Biar saya yang bawa Aiman pergi berjumpa doktor,” ujar Hisham ketika membukakan pintu untuk Aiman.

“Kenapa pulak saya tak boleh ikut?” bentak Danisha. Dia memang patut ikut sama.

“Boleh tak kali ini awak ikut cakap saya? Duduk aje dalam kereta dan jaga Aishah baik-baik!” arah Hisham dengan tegas.

Hendak tak hendak, Danisha terpaksa akur apabila Hisham sudah menjelingnya. Terpaksalah dia menunggu di dalam kereta. Dalam hati, dia tidak putus-putus berdoa agar demam Aiman tidak serius.

Menunggu dalam kereta memang buat dia tidak tenang pula. Walaupun Aiman dan Hisham baru sahaja masuk ke dalam klinik, tetapi dia rasa macam sudah lama sahaja. Dia betul-betul risau dengan tahap kesihatan Aiman yang membimbangkan.

Sedang dia mengelamun, tiba-tiba Aishah sudah terjaga pula. Segera dia membantu si kecil untuk duduk menyandar dengan lebih selesa.

Dalam keadaan mamai, Aishah menggosok matanya berkali-kali. “Kita dekat mana ni, ibu?” tanya si kecil sambil memandang sekeliling.

“Kita dekat klinik. Abang demam sayang,” beritahu Danisha sambil menatap wajah serabai Aishah. Tersenyum dia melihatnya.

“Klinik? Kenapa adik tak pakai tudung?” Tanya si kecil lagi.

Aduhai… dalam keadaan begini, si kecil masih teringat tudungnya. Memang anak solehah betul!

“Adik ni… ibu dah kelam-kabut nak pergi klinik. Mana ingat pasal tudung adik?” jawab Danisha sedikit geram. Tidak sangka betul dia dengan si Aishah ini, mengalahkan orang dewasa pula.
“Ibu pun tak sempat pakai tudung jugak ke?”

Pertanyaan si kecil benar-benar buat Danisha terkejut bukan kepalang. Dia segera meraba kepalanya. ‘Ya ALLAH! Macam mana boleh terlupa ni? Patutlah Encik Hisham menyuruh aku tunggu dalam kereta sahaja.’ Danisha mengutuk diri sendiri.

Saat ini, dia juga sudah menggelabah. Bagaimana dia mahu berhadapan dengan bosnya nanti? Alahai, malulah dia. Tanpa membuang masa dia segera mencari sesuatu di dalam kereta Hisham.

Tiba-tiba Danisha terpandang songkok di dashboard belakang. Di bawahnya ada kain pelekat. Dia segera mencapai kain itu. Terpaksalah dia guna kain pelekat itu untuk menutup kepalanya seperti anak dara berkerudung dalam cerita P. Ramlee. Dia memang sudah terdesak sungguh!

Tidak berapa lama kemudian, kelihatan Aiman dan Hisham sudah keluar dari klinik. Danisha berasa amat lega.

Perlahan-lahan Hisham membantu Aiman untuk masuk ke dalam kereta. Seketika wajahnya berubah dan berasa pelik sebaik terpandang Danisha.

“Awak pakai kain pelekat saya?” tanya Hisham sebaik masuk ke dalam kereta.

“Aiman okey ke?” soal Danisha pula tanpa mempeduli pertanyaan Hisham.

“Awak jangan risaulah, dia dah okey. Panas badannya sudah berkurang,” beritahu Hisham bagi mengurangkan kerisauan Danisha.

“Macam mana dengan bengkak-bengkak di kaki dan tangan dia?” tanya Danisha lagi.

“Tak ada bendalah. Balik nanti pakaikan dia baju yang nipis dan longgar. Jangan lupa pakaikan dia sarung kaki sekali. Doktor kata bengkak-bengkak tu akan hilang sendiri. Awak jangan risau sangat,” ujar Hisham sambil tersenyum-senyum.

“Yang Encik Hisham senyum-senyum ni, kenapa?” tanya Danisha sedikit pelik.

“Itu kain pelekat saya, kan? Hisham mengulangi pertanyaannya tadi.

“Hmm… saya pinjam,” jawab Danisha dengan muka tebal. Dia memang berasa malu, semalu-malunya dengan Hisham.

“Sebab itulah saya suruh awak duduk saja dalam kereta, tapi degil bukan main,” Hisham sudah tersenyum meleret pula.

Danisha diam sahaja. Dia memang sudah tidak tahu hendak letak mukanya di mana. Bertambah segan apabila perasan yang Hisham masih memandangnya.

Sampai di apartmen, Danisha terpaksa sekali lagi meminta bantuan Hisham. Tadi, dia memang terlupa membawa selipar Aishah. Tanpa banyak soal, Hisham mendukung Aishah sampai ke muka pintu.

“Terima kasih sekali lagi Encik Hisham. Maaf sangat-sangat kerana asyik menyusahkan saja,” ucap Danisha sambil menundukkan kepalanya. Dia memang rasa segan hendak bertentang mata.

“Tak ada hallah. Jangan lupa kunci pintu,” pesan Hisham pula sambil tersengih.

“Hmm… nanti saya pulangkan kain pelekat ni,” tutur Danisha ketika Hisham mahu beredar.

“Dah alang-alang awak pinjam, nanti tolong basuh sekali. Dah seminggu saya tak basuh kain pelekat tu,” pesan Hisham dan terus cepat-cepat berlalu menuju ke pintu lif.

Danisha terlopong mendengarnya. “Kurang asam punya bos! Patutlah kain ini berbau semacam,” sungut Danisha sambil menanggalkannya. Kemudian dia mencampak kain itu ke lantai. Selepas itu dia menyepak-nyepak kain itu dengan perasaan yang sangat geram.

“Kenapa dengan kain itu, ibu?” tanya Aiman yang terkejut dengan kelakuan Danisha. Aishah juga sama terkejut.

“Tiba-tiba ada lipas pulak, tu yang ibu sepak sebab nak halau lipas tu.” Ada sahaja akal Danisha.

“Lipas?” Aiman dan Aishah serentak menjerit dan segera berlari menuju ke bilik.

Danisha hanya tertawa. Aiman yang sakit boleh pula laju berlari. Rupanya bebudak dua orang itu takut akan lipas. Dirinya pula, tetap terkena dengan pak naga. Hampeh betul! Dia berbicara sendiri.

YOUR SINCERELY:

SAFIE MOKHTAR


No comments :

Post a Comment