Saturday, January 11, 2014

Mas Kahwinku RM22.50: Bab 20

PAGI Ahad, Danisha sudah tidak tertanggung menahan kesakitan. Tiba-tiba, dia berasa kepalanya berat sungguh dan berdenyut-denyut. Semua ini gara-gara semalaman menjaga Aiman.

Selepas balik dari klinik, dia memang tidak boleh melelapkan mata. Dia hanya tidur-tidur ayam sahaja.

Dia memang risau andai Aiman demam semula walaupun dia sudah pun beransur pulih.

Apabila angin sudah sampai di kepala, memang buat dia rasa teruk sangat. Mahu tak mahu, dia terpaksa juga menelan panadol. Tidak lama selepas dia meletakkan kepala, terus dia terlelap.

Danisha memang tidur mati sungguh! Bunyi telefon yang berdering berkali-kali juga tidak mampu mengejutkannya. Aiman yang menyedarinya, terus masuk ke bilik apabila telefon masih berbunyi.

Melihat ibunya yang masih tidak sedar, dia menjawab panggilan itu.

Siapa tahu, atuk yang menelefon ibunya. Nanti orang tua itu risau pula. Rupa-rupanya Encik Hisham yang menelefon bertanyakan khabar Aiman.

*****

PUKUL 3.00 petang, Danisha sedar sendiri. Sakit yang dirasa memang telah berkurang. Perlahan-lahan, dia bangun dari pembaringan. Dia duduk sebentar sebelum menjenguk ke luar bilik.

Kelihatan Aiman menonton televisyen, sementara Aishah sudah tertidur di sofa. Melihat jam di dinding, baru perasan rupanya sudah agak lama dia tertidur. Kasihan pula dengan budak-budak itu, pasti mereka sudah lapar.

Saat dia melangkah menuju ke dapur, baru perasan ada makanan di atas meja. Dari mana datangnya? Dia tertanya sendiri. Ada bubur nasi juga nasi briani. Takkan achik tingkat 3 yang beri semua itu?

Nasi briani dalam bungkusan, lauknya pula masih dalam plastik. Andai achik yang beri, mesti dalam bekas. Jirannya itu tidak pernah memberi makanan yang dia beli. Semuanya pasti dia masak sendiri.

“Ibu dah bangun?” tegur Aiman sambil menghampirinya.

“Siapa beri semua makanan ni?” tanya Danisha dan terus duduk di kerusi.

“Bubur nasi ni, nenek bagi untuk ibu,” beritahu Aiman.

“Nasi briani?” tanya Danisha sambil pandang Aiman.

“Bos ibu yang hantar.”

“Macam mana pulak dia boleh hantar?” tanya Danisha, terkejut.

"Tadi telefon ibu berbunyi banyak kali, jadi abang jawablah. Rupanya bos ibu yang telefon. Abang cakaplah ibu tidur sebab ibu pening,” cerita Aiman tanpa berselindung.

“Abang beritahu dia yang abang lapar ke?” tanya Danisha lagi.

“Tak. Bila bos ibu tanya abang dah makan ke belum, abang cakaplah belum,” ujar Aiman berterus terang.

“La… kenapa abang cakap macam tu?” Suara Danisha sudah berubah nada, sedikit meninggi.

“Kan ibu yang ajar, jangan cakap bohong dengan orang,” tutur Aiman sambil menatap wajah ibunya.

“Adik pulak, macam mana dia boleh tertidur? Siapa yang buat susu untuk adik?” tanya Danisha apabila menyedari ada susu yang berbaki dalam botol di sebelahnya.

“Semasa nenek datang hantar bubur, Aishah dah haus sangat. Abang minta tolong nenek buatkan. Abang tak tahu buat sendiri, lagipun abang takut terkena air panas,” terang Aiman.

“La… Kenapa abang tak kejutkan ibu? Malulah ibu kalau macam ni. Asyik susahkan orang aje,” sungut Danisha pula. Sudahlah Achik Jamaliah bersusah payah menghantar makanan, terpaksa buatkan susu untuk Aishah pula.

“Abang dah cuba kejutkan ibu banyak kali, tapi ibu tak gerak jugak.” Aiman memberikan alasannya agar tidak terus-terusan kena tegur dengan Danisha.

“Ibu tengok nasi ni tak bersentuh pun. Kenapa abang tak makan?” tanya Danisha ketika membuka bungkusan nasi briani.

“Abang tunggu ibu,” jawab Aiman perlahan sambil menundukkan kepalanya.

“Ya ALLAH Aiman! Kalau lain kali abang lapar, makan aje. Tak payah tunggu ibu,” ujar Danisha. ‘Payah sungguh dengan budak lurus bendul ini,’ keluhnya.

“Abang nak makan dengan ibu. Lagipun abang boleh tahan lapar,” balas Aiman pula.

Mata Danisha sudah berkaca saat mendengar penjelasan Aiman. Wajah si abang ditatap hiba.

“Abang, janganlah baik sangat sampai seksa diri sendiri. Lain kali tak payah buat macam tu. Makan aje bila rasa lapar, ibu takkan marah,” tuturnya sambil menyeka air mata yang sudah bergenang.

“Tapi abang nak makan dengan ibu jugak.”

“Aiman, Aiman… susah betul bercakap dengan anak yang baik sangat ni,” keluh Danisha. “Pergi ambil pinggan, boleh kita makan sama-sama,” sambungnya.

Aiman melangkah perlahan menuju ke dapur. Danisha mengurut dadanya. Saat begini, bermacam yang dirasa. Kasihan kepada Aiman dan Aishah kerana dapat ibu angkat seperti dirinya. Anak-anak ini sepatutnya gembira bersama keluarga dan tidak melalui kepayahan bersama dengannya.

*****

SELEPAS makan bersama Aiman, Danisha duduk bersantai di depan TV pula. Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi. Rupa-rupanya, achik kesayangan Danisha yang menelefon bertanya khabar.

“Nisha dah sihat?” tanya Achik Jamaliah yang peramah dan baik hati.

“Dah kebah sikit. Terima kasih achik sebab hantar makanan untuk kami,” ucap Danisha.

“Tak ada hallah. Petang nanti achik hantar bubur ayam pulak.”

“Achik, janganlah susah-susah.” Danisha sudah berasa segan dengannya.

“Tak susah mana pun. Pak cik memang nak achik masak sup ayam. Dah alang-alang ada sup tu, terus buat bubur untuk Nisha,” beritahu Achik Jamaliah.

“Saya dah tak tahu nak cakap apa. Terima kasih banyak-banyak, achik.” Danisha memang terharu sangat dengan keprihatinan Achik Jamaliah. Memang jiran terbaik yang pernah dia jumpa!

“Yalah, Nisha tu jaga diri baik-baik,” pesan Achik Jamaliah sebelum memutuskan talian.

Seketika, Danisha menggelap air mata yang sudah menitis di pipinya. ‘Syukur ya ALLAH kerana menghadirkan insan yang baik-baik dalam hidupku.’ Danisha memanjat kesyukuran di dalam hati. Entahlah, hari ini banyak perkara yang menyentuh hatinya.

“Kenapa ibu menangis? Ibu sedih ke?” tanya Aiman sambil pegang lengan Danisha.

“Taklah. Ibu sebenarnya rasa gembira sangat. Ada jiran yang baik dan anak-anak yang baik jugak,” puji Danisha, kemudian terus mencium pipi Aiman berkali-kali.

“Abang pun rasa gembira jugak sebab ada ibu yang baik.” Giliran Aiman pula memuji Danisha.

“Kenapa abang seorang budak berumur 6 tahun dan bukannya seorang lelaki dewasa?” Tiba-tiba Danisha bertanya.

Matanya tidak lepas dari memandang wajah comel Aiman. Perangai dan sikapnya memang terpuji. Tidak pernah melukakan hatinya, jauh sekali mendatangkan kemarahan.

“Kenapa ibu cakap macam tu?” Aiman sudah berasa pelik mendengarnya.

“Kalaulah abang berumur 30 tahun, hari ini jugak ibu pinang abang.” Sengaja Danisha hendak bergurau.

“Hah? Ibu nak pinang abang, buat apa?” Aiman sudah tercengang.

“Sebab nak kahwin dengan abanglah! Abang mempunyai ciri-ciri lelaki idaman ibu,” jawab Danisha dengan senyuman manis menguntum di bibir.

“Abang boleh kahwin dengan ibu ke?” Aiman sudah tunjuk mukablur, tetapi tetap tersenyum.

“Memanglah kita boleh berkahwin, tapi kalau abang tu memang seorang lelaki dewasa,” terang Danisha.

“Tapi, abang nak jadi anak ibu selama-lamanya,” ucap Aiman pula.

Kini, tangan Danisha dia genggam seeratnya bagai tidak mahu dilepaskan.

“Ibu cakap aje. Memang abang akan jadi anak ibu selama-lamanya,” ujar Danisha sambil mencubit geram pipi Aiman yang bijak.

“Nanti ibu nak kahwin ke tak?” tanya Aiman pula. Wajahnya menunjukkan sedikit kerisauan.

“Kalau boleh, memanglah ibu nak kahwin jugak. Ada keluarga dan anak sendiri,” Danisha meluahkan hasrat hati yang terpendam.

“Kalau berjumpa dengan ayah abang, apa kata ibu kahwin aje dengan ayah abang,” cadang Aiman dengan bersungguh-sungguh.

“Ah! Tak naklah ibu kahwin dengan ayah abang tu.” Danisha terus menolak.

“Kalau abang seorang yang baik, ayah abang tentu aje 10 kali lebih baik.” Pandai pula si Aiman mengayat ibunya. Kalah orang dewasa.

“Dah, tak payah nak rekomen ayah abang yang entah di mana-mana tu.” Danisha sudah menjuih bibirnya tanda tidak suka.

“Tak kenal, maka tak cinta,” tutur si kecil lagi, macamlah tahu sangat rencah kehidupan ini.

“Amboi, di mana abang belajar semua tu?” tanya Danisha. Geli hatinya dengan bicara Aiman.

“Macam ibulah, semua orang ingat ibu seorang yang brutal. Tapi kalau dah kenal, baru tahu sebenarnya ibu seorang yang penyayang dan cantik sangat,” puji Aiman dengan ikhlas.

“Ibu cantik ke?” soal Danisha balik. Semakin lebar senyuman di bibirnya.

“Ibu memang seorang yang cantik. Bertambah manis apabila memiliki hati yang baik dan penyayang.”

Pujian Aiman memang boleh membuat sesiapa sahaja tertawan dengannya. Danisha sendiri, sudah tertawa mendengar pujian ustaz kecil ini.

“Ibu dah sihat dan tak pening-pening lagi ke?” tanya Aiman yang gembira melihat Danisha tertawa.

“Pening ibu terus hilang dengan pujian anak ibu yang bijak ni,” balas Danisha.

“Demam abang juga cepat sembuh kerana kasih dan sayang ibu,” puji Aiman lagi.

Danisha tertawa lagi sampai keluar air mata. Perasaan gembira dan terharu bercampur-baur. Hari ini, dia memang berasa seronok sekali. Semua masalah bagai melayang ditiup angin.


YOUR SINCERELY:

SAFIE MOKHTAR


No comments :

Post a Comment