SEJAK
Encik Hisham membantu Danisha tempoh hari, entah kenapa ada perasaan lain yang
datang berkunjung. Saat ini, dia telah nampak sisi lain pak naga yang orang
lain tidak tahu. Dia memang tidak pernah bercerita kepada sesiapa pun pasal pak
naga yang pernah datang ke apartmennya. Pulak tu bukan sekali, malah dua kali!
Andai dia bercerita sekalipun, siapa yang akan percaya?
Apa
yang paling dia segan dengan pak naga, pasti sahaja pasal dia kelam-kabut
sampai terlupa pakai tudung. Mujur sudah pukul 3.00 pagi. Jadi, dia langsung
tidak terserempak dengan penghuni apartmen Kristal Heights. Kalau tidak, memang
seminggu dia tidak keluar rumah. Dengan rambut serabai dan langsung tidak basuh
muka, entah apalah tanggapan pak naga terhadap dirinya.
Tiba-tiba,
telefon di atas mejanya berbunyi. Tanpa membuang masa, Danisha terus
menjawabnya. “Assalamualaikum…” ucapnya.
Seketika,
dia terdiam mendengar butir bicara orang sebelah sana yang tidak berapa jelas.
“Oo…
Nak cakap dengan Encik Hisham? Sebentar ya,” ujarnya sambil menjenguk ke bilik
pak naga. Ternyata dia tiada di biliknya, mungkin sebab itu juga panggilan
disambungkan ke tempatnya.
“Maaf
cik, dia tiada di biliknya. Boleh cik hubungi dia selepas lunch?” sarannya.
Pemanggil
tidak bersuara, sebaliknya terus meletakkan telefon. Danisha mencebik apabila
bicaranya tiada respons.
“Siapa
yang telefon?” tanya Iman ingin tahu.
“Entahlah!
Panggilan sesat cari abang naga,” jawab Danisha sambil meneruskan kerjanya.
“Nisha,
tolong ulang sekali lagi,” pinta Iman sambil menoleh ke arah sahabatnya itu.
Rasanya dia tidak tersilap mendengar.
“Ada
orang cari pak naga!” jawabnya malas. Tiba-tiba, dia berasa geram pula.
“Tapi,
aku dengar macam kau sebut lain aje,” duga Iman yang kini telah tersengih.
“Habis
tu, apa yang kau dengar?” soal Danisha sambil menoleh ke arah Iman.
“Kau
sebut abang naga, bukan pak naga!” sebut Iman sambil menaikkan keningnya.
“Kau
salah dengarlah tu. Masa bila pulak aku panggil dia macam tu?” sangkal Danisha
dan cuba mengingat kembali. ‘Ke aku memang tersalah cakap?’ desisnya, tetapi
tetap berlagak biasa.
“Kalau
kau panggil dia abang naga sekalipun, apa salahnya kan? Cepat sikit korang
berbaik. Tak adalah macam orang asing dalam pejabat ni.” Sengaja Iman mengusik
sahabatnya itu.
“Pembetulan,
aku tak bergaduh dengan dia. Dia yang cari pasal dengan aku,” ujar Danisha.
Tangannya ligat sahaja menyusun dokumen yang sudah dicetak. Selepas ini, dia
kena hantar ke bahagian akaun pula. Terasa lega apabila satu kerja telah
selesai.
“Hmm…
aku nak tengok sampai bila korang boleh bertahan membisu begini.”
“Tak
payahlah kau susah-susah tunggu. Aku boleh aje bercakap dengan dia. Dia aje
yang ego tak bertempat,” tutur Danisha.
“Percayalah
cakap aku, nanti kau yang makan hati sendiri!” ujar Iman pula.
“Kau
cakap pasal apa ni? Tak faham aku.” Danisha sudah pening dengan bicara Iman
yang bagai berteka-teki. Bertambah sakit hati apabila dia tersengih pula.
“Kita
tengok ajelah nanti.” Iman sengaja buat Danisha panas hati dan tertanya-tanya.
“Suka
hati kaulah nak kata apa,” balas Danisha sambil bangun menuju ke mesin
pencetak. Rupanya masih ada dokumen yang tertinggal di situ.
“Tidak
salah sesekali berhati batu, tegap dan kukuh. Namun, tiba masanya tetap
menyembah bumi. Takkan nak tunggu masa itu baru sibuk luahkan perasaan di hati?
Nanti menyesal tak sudah. Fikir-fikirkan…” sebut Iman.
Danisha
menjeling Iman. “Tak habis lagi ke?” marahnya.
“Janganlah
marah, aku sekadar mengingatkan. Tak ada niat lain pun.”
Danisha
meraup wajahnya. Tidak semena-mena, dia teringat pula lirik lagu lama yang
turut menyentuh hatinya. Sering mendengarnya berulang-ulang kali tanpa rasa
jemu. Namun, tidak mahu mengakui kebenaran yang tersirat.
‘Rasa
cinta pasti ada pada makhluk yang bernyawa. Sejak lama hingga kini, tetap suci
dan abadi. Takkan hilang selamanya, sampai datang akhir nanti. Renungkanlah…’
Danisha
menarik nafas panjang dan cuba menyelami perasaan sendiri. Dia turut termenung
di mejanya. Kain pelekat pak naga sudah dia basuh, cuma hendak pulangkan
sahaja. Namun, sampai ke hari ini kain itu masih dengannya.
Setiap
hari dia membawanya ke pejabat, tetapi masih tidak serahkan kepada tuan yang
punya. Kononnya menunggu waktu yang sesuai, namun sampai ke sudah pejabat ini
sentiasa ada orang. Apabila ada peluang, bilik pak naga pula berkunci.
Sewaktu
berselisih, dia pula tidak tercakap. Apatah lagi apabila pak naga buat tak
nampak dia pula. Memang dia berasa geram juga, tetapi hendak buat macam mana?
Diri dia yang mulakan perang dingin di pejabat. Sudahnya, kain pelikat itu dia
simpan dalam laci mejanya sahaja.
*****
“AYAH
AI! Apa pasal tiba-tiba pak naga handsome pulak aku tengok,” puji Iman sambil
duduk berteleku di mejanya.
Dalam kesibukan menjalankan tugas, tetap mahu
bergosip dan berborak juga. Andai tidak melakukannya, bagai ada yang tidak kena
dengan harinya.
“Ayah
ai? Kau cakap pasal apa ni?” Danisha berasa pelik pula apabila Iman berkata
begitu.
“Kau
ni lembap betullah!”
“Yang
kau cakap ayah ai tu, kenapa?” tanya Danisha.
“Dah
semua orang asyik cakap mak ai aje, apa salahnya aku tukar pulak?” jawab Iman
bersahaja.
“Macam-macamlah
kau ni,” sungut Danisha. Ingatkan apalah tadi.
“Kau
tak nak tengok ke, bos kita tu? Gaya dia bukan main segak, berkarisma gitu.”
Entah apalah mimpi Iman malam tadi, sampai memuji sakan pak naga.
Danisha
diam sahaja dan tidak memberi sebarang respons. Tapi dalam hati, terpaksa akui
juga yang pak naga memang tampak berkarisma sejak dua menjak ini. Sekali sekala
kena jadi hipokrit juga. Lain di mulut, lain di hati! Tidaklah ada yang tahu
rahsia hati.
Sejak
kebelakangan ini, entah kenapa dia memang berasa lain. Marahnya telah bertukar
suka. Rasa bencinya kepada pak naga sudah hilang hari demi hari. ‘Apa sudah
jadi ni? Takkanlah sebab dia dah tolong aku, hati ini dah mula cair?’ Danisha
berbicara sendiri.
Saat
ini, dia merasakan betapa sukarnya mentafsir perasaan diri sendiri. Tidak
nampak wajah pak naga, membuat dia tertanya-tanya. Diam dirinya menyebabkan
jiwa Danisha bertambah sesak.
“Ada
sesiapa cari saya ke?” tanya Encik Hisham yang kini berdiri antara kubikel
Danisha dan Iman.
Dada
Danisha berdebar dalam sekelip mata. Saat itu juga dia jadi kurang selesa
apabila terasa dirinya diperhatikan Encik Hisham. Pak naga memang sudah jarang
mahu ke kubikel mereka. Apa hal pula hari ini dia mahu berkunjung ke sini?
‘Hmm…
tak ada,” Iman tolong jawab walaupun pertanyaan itu bagai dituju kepada
Danisha.
“Tak
apalah,” ucap Encik Hisham.
Sekilas,
dia memandang Danisha yang tunduk sahaja sebelum berlalu menuju ke biliknya.
Apabila
Encik Hisham bertanya, baru Danisha teringat panggilan daripada perempuan tadi. ‘Andai tiada langsung rasa di hati, kenapa ada debaran saat dia di sisi? Siapa
perempuan tadi sebenarnya? Isteri dia? Tunang dia? Apakah aku memang telah
menyimpan perasaan terhadapnya?’ Tiba-tiba Danisha bermonolong sendiri.
No comments :
Post a Comment