TIBA-TIBA,
Danisha bagai berperang dengan perasaan sendiri. Dengarnya, Encik Hisham
outstation entah berapa lama. Danisha tidak sanggup bertanya kepada staf lain.
Tidak juga dengan Iman. Dia mengharapkan Kak Esah membuka mulut. Namun, penat sahaja
dia menunggu.
Entah
kenapa, tiba-tiba sahaja dia sudah jadi perindu wajah pak naga. Entah apalah
yang naga sakti sembur ke mukanya sampai dia asyik teringatkan dirinya. Andai
Rani dan Iman tahu, mahu roboh bangunan di Prima Sri Gombak. Tasik Chini pun
boleh kering sebab pak naga pun sama terkejut!
Setiap
kali bersua, jantung sudah mula tidak buat kerja dengan betul. Asyik hendak
berjoget tidak menentu. Andai lagu balada, okey lagi. Tapi, selalunya lagu
raplah pulak. Nasib baik kaki dan tangan tak bergerak sendiri!
Padahal,
sebelum ini tidak rasa apapun.Mahu pandang mukanya pun tak ingin. Sekarang, mengalahkan
pungguk yang rindukan bulan pula. Ada kalanya, dia berasa rimas dengan usikan
Iman dan Rani. Namun, jauh di sudut hati tetap tidak dapat menolak perasaan
yang tiba-tiba menjengah.
*****
“IMAN…”
panggil Rani yang tiba-tiba sahaja muncul di kubikelnya.
“Ada
apa? Sekarang belum pukul 10.00 lagi, kau dah nak buka siaran gosip ke?” Iman
bertanya malas.
Dia
sedang sibuk, ketika ini pula Rani Mukerji mahu bergosip. Perempuan yang
seorang ini memang tidak boleh hidup andai tidak menyinggah di tempatnya.
“Kau
perasan tak, sekarang ni ada ‘Mulan’ di ofis kita ni?” tanya Rani beria-ia.
Tangannya pantas menarik kerusi lipat yang memang khas untuk dirinya ketika
bertandang di tempat Iman.
“Mulan?”
tanya Iman sambil menoleh ke arahnya. Dalam sibuknya, tetap mahu ambil tahu
juga. Ini pasti cerita sensasi, kalah cerita artis.
“Kau
ni Iman… lembap betullah! Alah, Pahlawan wanita yang brutal tu,” ujar Rani
sambil memberi isyarat mata ke arah Danisha yang kelihatan begitu serius
membuat kerja.
“Oh,
Mulan tu! Ha’ah, aku pun perasan jugak. Rasanya sejak dua menjak ni, dia
seperti rindukan naga saktinya,” balas Iman sambil tertawa. Dia juga sudah
melupakan seketika tugasan yang berlambak.
“Tulah
pasal… sejak naga sakti hilang dan lenyap dari alam maya ini, dia pun macam
geng-geng angau dan tungau jugalah.” Rani sudah tidak mampu menahan tawanya.
Dia memang sengaja gelak kuat-kuat.
“Kau
orang berdua ni, dah kenapa?Memang sengaja nak perli aku, kan?” Danisha yang
sudah tidak tahan akhirnya bersuara.
Dia
memang tidak boleh buat tidak tahu dan berpura-pura tidak mendengar perbualan
mereka berdua. Bohonglah kalau dia tidak terasa hati disindir begitu.
“Tak
adalah. Kita orang cuma cakap aje,” balas Rani pula agar tidak ketara sangat.
Padahal, mereka sememangnya sedang memerli Danisha yang masih mahu berlakon
tidak faham.
“Kalau
kau terasa, memang patut pun, kan?” ujar Iman pula.
“Kita
orang bukan apa, tiba-tiba rasa kesian pulak dengan kau. Asyik-asyik jenguk
bilik pak naga, tapi tak nak bertanya dengan kita orang,” sampuk Rani pula.
Bukan
dia tidak perasan gelagat Danisha, sahabat baiknya itu. Marah-marah juga,
apabila orang tu tiada di hadapan mata, tetap juga mencari.
“Waktu
bila pulak aku asyik-asyik jenguk bilik pak naga tu? Pandai aje korang reka
cerita,” sangkal Danisha pula dan cuba berlagak selamba.
“Kita
ni satu ofis, tak payah nak sembunyi perasaan di kalbu. Kalau kau rindu nak
bergaduh dengan dia, cakap ajelah,” usik Rani.
“Tolong
sikit, ya. Aku lagi suka dia tak ada. Aman dunia.” Laju sahaja Danisha
menjawabnya.
“Dunia
memang aman, tapi kau tetap tercari-cari. Jangan bohong dengan kita oranglah.
Mata kami berdua ni memang tidak pernah salah melihat.” Iman pula mencelah sambil
tersengih.
Danisha
meraup wajahnya. Bicara rakan-rakannya memang tidak salah, cuma dia yang tidak
mahu mengakuinya. Dia sendiri tidak pasti kenapa sejak dia kenakan pak naga,
hatinya tidak tenang.
Bermacam
di fikiran apabila Encik Hisham memang tidak pernah menyuruhnya buat apa-apa
tugasan. Malah, telah mengambil staf baru pula. Dahulu, semasa lelaki itu
menyuruhnya buat itu ini, terasa diri dibuli. Apabila lelaki itu tidak peduli,
berasa lain pula.
Tidak
dinafikan, dia memang rasa sentap sekejap. Sekarang ini, dia bertambah runsing
apabila tiba-tiba sahaja pak naga tidak datang ke ofis. Padahal, perlu apa dia
memikirkan lelaki itu? Namun, lelaki itu juga yang sering bermain di minda.
Entah kenapa, hatinya tertanya-tanya sewaktu ketiadaannya.
“Tengok
tu, dah berangan pulak dia!”
Teguran
Rani menyedarkan Danisha dari lamunan. Dalam masa yang singkat, sempat pula dia
memikirkan hal lelaki itu. ‘Aduhai, aku ni memang sudah parah!’ desisnya.
“Cinta
tak ada peraturan, Nisha. Kau boleh aje jatuh cinta dengan orang yang selama
ini kau benci.” Rani tidak habis-habis hendak mengusik Danisha.
“Apa
yang kau merepek ni? Kau ni memang tak ada kerja ke, Rani?” tanya Danisha
sambil menjelingnya.
“Okeylah,
aku faham kau nak halau aku. Aku memang nak sambung kerja yang menimbun tu,”
jawab Rani yang sudah faham sendiri apabila kedatangannya bagai tidak dilayan.
“Baguslah
kalau kau pun dah sedar. Aku tengok, surat dan dokumen yang perlu dimasukkan
dalam fail sudah macam apartmen tingginya,” sampuk Iman, sengaja hendak menegur
Rani pula.
“Alah,
semua tu kacang aje. Tutup mata pun aku boleh siapkan.” Rani juga tidak mahu
mengalah.
“Banyaklah
kau punya alasan!” tegur Danisha.
“Sebelum
terlupa, sajalah nak beritahu kau…”Sengaja Rani tidak menghabiskan
kata-katanya.
“Apa
lagi?” tanya Danisha dengan perasaan geram.
“Biarlah
merindu, asalkan tak jemu. Tapi jangan pendam lama-lama, nanti orang tak tahu,”
ucap Rani kemudian mengenyitkan matanya.
Danisha
tidak memberi sebarang respons. Dia hanya memandang Rani yang berlalu menuju ke
kubikelnya. Seketika, dia bagai tidak tahu apa yang patut dilakukan. Bukan
tidak ada tugasan yang hendak disiapkan, cuma hatinya sudah ke laut. Ketika
ini, dia memang sudah tidak boleh memberi tumpuan kepada kerjanya.
No comments :
Post a Comment